Tahun Kesedihan Nabi Muhammad

Izuan
Tahun kesedihan

Tahun Kesedihan atau Tahun Dukacita (Bahasa Arab: عام الحزن; ‘Amul al-Huzn) ialah tahun kematian Abu Thalib dan Khadijah, tahun yang sedih kerana kehilangan dua sosok yang sentiasa memberi semangat dalam usaha dakwah Nabi Muhammad. Peristiwa ini terjadi pada tahun ke 10 kenabian, lebih kurang 619/620 Masihi.

Kematian mereka berdua terjadi setelah berakhirnya sekatan ekonomi dan pemulauan terhadap Rasulullah dan Bani Hasyim. Atas faktor tua dan kekurangan makanan ketika pemulauan Bani Hasyim, kesihatan mereka terjejas teruk.

Kematian Abu Talib

Abu Talib adalah salah seorang bapa saudara Muhammad, dan merupakan pemimpin suku Banu Hashim. Dia membesarkan Muhammad dalam keluarganya sendiri setelah kematian datuk Muhammad, Abdul Muttalib. Sebagai pemimpin suku, dia menjadi pelindung Muhammad dalam sistem kesukuan di Arab, dan terus mempertahankan anak saudaranya. Menurut kebiasaan di Mekah pada waktu itu, jaminan atau perlindungan suku seperti ini tidak dapat dilanggar, sehingga musuh tidak dapat mencederakan Nabi Muhammad.

Sa`id bin al-Musayyab telah menceritakan kepada saya daripada ayahnya, beliau berkata: “Bila Abu Talib hampir mati, Rasulullah s.a.w. pun pergi kepadanya. Didapati ada bersamanya Abu Jahal dan ‘Abdullah bin Abi Umayyah bin al-Mughirah lalu Rasulullah s.a.w. pun berkata: “Wahai pakcik! Katakan لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ satu ucapan yang aku akan menjadi saksi untuk engkau dengannya di sisi Allah.”

Abu Jahal bin dan ‘Abdullah bin Abi Umayyah berkata: “Wahai Abu Talib! Adakah engkau sudah benci kepada agama ‘Abd al-Muttolib?” Begitulah Rasulullah s.a.w. terus mengemukakan kalimah لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ kepadanya dan dia pula mengulangi ucapan tadi sehingga Abu Talib berkata di akhir ucapannya ialah dia berada di atas agama `Abd al-Muttolib lalu Rasulullah s.a.w. pun berkata: “Sesungguhnya demi Allah! Aku akan meminta ampun untuk engkau selagi aku tidak dilarang daripadanya.” Selepas itu Allah s.w.t menurunkan ayat: 

مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذِينَ آمَنُوا أَنْ يَسْتَغْفِرُوا لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُوا أُولِي قُرْبَى مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُمْ أَصْحَابُ الْجَحِيمِ

(Maksudnya: Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka)

(At-Taubah : 113)

Dan Allah s.w.t menurunkan berkenaan Abu Talib, Allah mengatakan kepada Rasulullah s.a.w,

{ إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ }

(Maksudnya: Sesungguhnya Engkau (Wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam)

(Al-Qasas : 56)

Maka timbullah persoalan tentang status Abu Talib samada meninggal dalam keadaan Islam atau Kafir. Tetapi isu berkenaan tidak akan dibahaskan di sini.

Kematian Saidatina Khadijah

Lebih kurang dua atau tiga bulan selepas kematian Abu Talib, Khadijah pula kembali ke rahmatullah, kewafatan beliau ialah di dalam bulan Ramadhan tahun kesepuluh kebangkitan Rasulullah, dalam lingkungan usia lima puluh enam tahun manakala Rasulullah berusia lima puluh tahun.

Kesedihan Rasulullah ketika Khadijah meninggal tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Sesungguhnya Khadijah adalah ni’mat dan anugerah yang teragung kepada Rasulullah, beliau bersama-sama Rasulullah untuk selama suku abad melimpahkan kasih sayang terhadap Baginda, di saat-saat genting dan meruncing, menyokong Baginda di waktu-waktu sulit, malah beliau menolong Baginda menyebar ajaran dan risalahnya, bersama-sama Rasulullah ke medan jihad suci, berkongsi kemewahan dan kesusahan dengan harta dan keringatnya.

Saidatina Khadijah juga pernah diiktiraf oleh Nabi Muhammad SAW sebagai wanita terbaik melalui hadith yang diriwayatkan oleh Saidina Ali bin Abu Tolib R.A:

خَيْرُ نِسَائِهَا مَرْيَمُ ابْنَةُ عِمْرَانَ ، وَخَيْرُ نِسَائِهَا خَدِيجَةُ

Maksudnya“Wanita terbaik yang pernah ada ialah Maryam binti Imran dan Khadijah.”

Sahih al-Bukhari (3432) dan Sahih Muslim (2430)

Menurut Imam al-Nawawi, difahami daripada hadith ini bahawa Maryam dan Khadijah merupakan wanita terbaik pada zaman masing-masing. (Rujuk Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim 15/176)

Ujian Semakin Berat Pada Tahun Kesedihan

Dua peristiwa sedih yang menekan, berturut mengoncang perasaan Baginda dan menyayat hati naluri Rasulullah, dari situ gangguan kaum Quraisy semakin berat menimpa Rasulullah, mereka lebih berani lagi dari masa yang lampau, terang-terangan mengancam Baginda dengan kenakalan dan penyiksaan.

Selepas kematian Abu Talib, Baginda semakin bertambah duka nestapa, hingga terasa berputus asa dengan mereka, lalu Baginda keluar ke Taif dengan harapan di sana penduduknya akan menyahut seruannya dan membantu menghadapi kaum Quraisy, malang di sana tiada siapa yang mahu menyokong dan membantu, malah yang didapati penentangan yang lebih pahit lagi, Baginda mengalami lebih teruk lagi, dari apa yang diharap dari kaumnya.

Oleh kerana bertubi-tubi penyiksaan di tahun kesedihan Rasulullah ini, maka Baginda menamakan tahun berkenaan dengan tahun kesedihan, dan tahun ini memang terkenal di dalam sejarah Islam. Tahun kesedihan dan isra mikraj ada hubungan rapat kerana, ibadat solat menjadi sumber kekuatan baru buat Baginda SAW.

Wallahua’lam

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini