Rasulullah Berkahwin Dengan Khadijah

Izuan
berkahwin dengan khadijah

Kadang-kadang pasti ada yang tertanya bagaimana Rasulullah berkahwin dengan Khadijah, seorang wanita yang kaya, daripada keturunan yang baik dan pintar. Tambahan lagi perbezaan umur mereka ialah lebih kurang 15 tahun.

Jom sama-sama menelusuri sirah nabi ini! Semoga bermanfaat.

Rasulullah Menolong Perniagaan Khadijah

Rasulullah (s.a.w) tidak mempunyai satu pekerjaan yang tetap dipermulaan mudanya, namun demikian beberapa riwayat sering mengaitkan kerja Rasulullah di permulaan usia remajanya, sebagai penternak, mengembala kambing keluarga Bani Saad, dan di Makkah pula mengambil upah dari penduduk Makkah dengan beberapa qirat. Ketika Baginda meningkat dua puluh lima tahun, Baginda keluar ke negeri Syam sebagai peniaga dengan modal daripada Khadijah (r.a).

Ibn Ishak menceritakan:

Khadijah binti Khuwailid, adalah seorang wanita peniaga, mempunyai kedudukan termulia dan pelbagai harta, biasanya beliau menawar peniaga-peniaga untuk berniaga dengan hartanya, dengan berkongsi keuntungan, terutamanya orang Quraisy memang terkenal sebagai ahli perniagaan.

Sebaik sahaja perkhabaran mengenai diri Rasululullah dengan keimanan dan kebenaran pertuturan Baginda, serta ketinggian akhlak mulia, tanpa berlengah beliau mengantar utusan, menawarkan kepada Baginda untuk keluar berniaga dengan hartanya ke negeri Syam, beliau menjanjikan Baginda untuk memberi gaji lebih lumayan dari yang biasa diberi kepada peniaga-peniaga lain.

Beliau telah menghantar budak suruhannya bernama Maisarah untuk mengiringi Rasulullah, tawaran itu telah diterima oleh Rasulullah dengan baik. Baginda pun keluar ke sana bersama Maisarah hingga tiba ke negeri Syam.

Berkahwin Dengan Khadijah

Sekembalinya Rasulullah ke Makkah dari perjalanannya, Saidatina Khadijah mendapati hartanya terjaga dengan penuh amanah dan berkat, sesuatu yang pertama kali dilihatnya.

Kemudian setelah mendengar cerita-cerita yang dilaporkan oleh budak suruhannya Maisarah, mengenai keperibadian Nabi Muhammad SAW di sepanjang pergaulannya di sana, dengan perangai yang lemah lembut, budi pekerti yang mulia, berfikiran waras, minda penuh kepintaran dan perwatakan yang jujur, Khadijah merasakan beliau sudah berjumpa dengan mutiara kehilangannya.

Sebelum ini pembesar-pembesar dan pemuka-pemuka Quraisy amat perihatin untuk mengawini beliau, namun kesemua lamaran dan permintaan mereka ditolak.

Tanpa membuang masa, beliau menyatakan hasrat dan cita-citanya itu kepada sahabat karibnya Nafisah binti Manyah, Nafisah bertanggungjawab menemui Rasulullah untuk memberitahu hasrat Khadijah kepada Baginda, untuk mengahwininya.

Rasulullah pun mempersetujui hasrat Khadijah dan menerima untuk berkahwin dengannya. Baginda pun memberitahu persetujuan tadi kepada bapa-bapa saudaranya, dengan itu mereka semua telah datang menemui bapa-bapa saudara Khadijah dan terus meminang Khadijah untuk Rasulullah (s.a.w).

Tidak berapa lama upacara perkahwinan pun dilangsungkan, upacara akad nikah ini telah dihadiri oleh Bani Hashim dan kepala-kepala Bani Mudhar. Perkahwinan terlaksana selepas dua bulan kepulangan Baginda dari negeri Syam, mahar perkahwinan ialah dua puluh ekor unta betina. Walaupun usia Khadijah ketika itu sudah meningkat empat puluh tahun namun antara wanita-wanita lain, beliaulah seafdal-afdal wanita dari segi nasab keturunannya, harta dan pemikiran.

Siti Khadijah merupakan isteri pertama kepada Rasulullah. Dan Baginda tidak mengahwini mana-mana perempuan pun semasa hayatnya, sehinggalah Khadijah meninggal dunia.

Anak Nabi Muhammad ada tujuh orang, kesemuanya adalah dari Khadijah (r.a) kecuali Ibrahim dari Mariah al-Qibtiyah, anak pertamanya bernama Qasim, dengannya Rasulullah digelar Abu al-Qasim, kemudian Zainab, Rukiah, Umi Kalthum, Fatimah dan Abdullah, beliau bergelar sebagai al-Tayyib dan al-Tahir, anak lelakinya kesemuanya meninggal semasa kecil.

Manakala anak-anak perempuannya kesemuanya sempat bersama Baginda ketika dilantik menjadi Rasul utusan Allah, kesemua mereka memeluk Islam dan kesemua mereka berhijrah, semua mereka ini wafat semasa hayat Baginda kecuali Fatimah seorang sahaja yang wafat selepas kewafatan Baginda enam bulan kemudian.

Subscribe
Notify of
0 Comments
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini