Saidatina Khadijah Binti Khuwailid Isteri Rasulullah

Izuan
saidatina khadijah

Saidatina Khadijah ialah wanita pertama yang menjadi isteri Nabi Muhammad SAW, wanita dari keturunan yang mulia, kaya raya tetapi mempunyai hati yang suci dan ikhlas mencintai Rasulullah SAW. Selain dari menginfakkan semua hartanya, Khadijah menjadi penyokong no. 1 kepada perjuangan Rasulullah.

Biodata Saidatina Khadijah

Khadijah merupakan anak kepada Khuwailid ibn As’ad dan Fatimah binti Za’idah. Khadijah dilahirkan di rumah yang mulia dan terhormat, pada tahun 68 sebelum hijrah. Khadijah tumbuh dalam lingkungan yang keluarga yang mulia, sehingga akhirnya setelah dewasa ia menjadi wanita yang cerdas, teguh, dan berperangai luhur. Karena itulah banyak laki-laki dari kaumnya yang menaruh perasaan padanya.

Sebelum berkahwin dengan baginda, beliau pernah menjadi isteri kepada Atiq bin Abid dan Abi Halah dan telah mempunyai empat anak, dua dengan suaminya yang bernama Atiq, dan dua ketika bersama Abi Halah. Kedua suaminya itu meninggal dunia terlebih dahulu, menjadikan Khadijah janda.

Antara gelaran Khadijah ialah at-Thahirah, yaitu “yang bersih dan suci”. Nama at-Thahirah itu diberikan oleh sesama bangsa Arab yang juga terkenal dengan kesombongan, keangkuhan, dan kebanggaannya sebagai laki-laki. Karenanya perilaku Khadijah benar-benar patut diteladani hingga ia menjadi terkenal di kalangan mereka.

Kisah Khadijah Melamar Rasulullah SAW

Ibn Ishak menceritakan:

Khadijah binti Khuwailid, adalah seorang wanita peniaga, mempunyai kedudukan termulia dan pelbagai harta, biasanya beliau menawar peniaga-peniaga untuk berniaga dengan hartanya, dengan berkongsi keuntungan, terutamanya orang Quraisy memang terkenal sebagai ahli perniagaan.

Sebaik sahaja perkhabaran mengenai diri Rasululullah dengan keimanan dan kebenaran pertuturan Baginda, serta ketinggian akhlak mulia, tanpa berlengah beliau mengantar utusan, menawarkan kepada Baginda untuk keluar berniaga dengan hartanya ke negeri Syam, beliau menjanjikan Baginda untuk memberi gaji lebih lumayan dari yang biasa diberi kepada peniaga-peniaga lain.

Beliau telah menghantar budak suruhannya bernama Maisarah untuk mengiringi Rasulullah, tawaran itu telah diterima oleh Rasulullah dengan baik. Baginda pun keluar ke sana bersama Maisarah hingga tiba ke negeri Syam.

Sekembalinya Rasulullah ke Makkah dari perjalanannya, Saidatina Khadijah mendapati hartanya terjaga dengan penuh amanah dan berkat, sesuatu yang pertama kali dilihatnya.

Kemudian setelah mendengar cerita-cerita yang dilaporkan oleh budak suruhannya Maisarah, mengenai keperibadian Nabi Muhammad SAW di sepanjang pergaulannya di sana, dengan perangai yang lemah lembut, budi pekerti yang mulia, berfikiran waras, minda penuh kepintaran dan perwatakan yang jujur, Khadijah merasakan beliau sudah berjumpa dengan mutiara kehilangannya.

Sebelum ini pembesar-pembesar dan pemuka-pemuka Quraisy amat perihatin untuk mengawini beliau, namun kesemua lamaran dan permintaan mereka ditolak.

Tanpa membuang masa, beliau menyatakan hasrat dan cita-citanya itu kepada sahabat karibnya Nafisah binti Manyah, Nafisah bertanggungjawab menemui Rasulullah untuk memberitahu hasrat Khadijah kepada Baginda, untuk mengahwininya.

Rasulullah pun mempersetujui hasrat Khadijah dan menerima untuk berkahwin dengannya. Baginda pun memberitahu persetujuan tadi kepada bapa-bapa saudaranya, dengan itu mereka semua telah datang menemui bapa-bapa saudara Khadijah dan terus meminang Khadijah untuk Rasulullah (s.a.w).

Tidak berapa lama upacara perkahwinan pun dilangsungkan, upacara akad nikah ini telah dihadiri oleh Bani Hashim dan kepala-kepala Bani Mudhar. Perkahwinan terlaksana selepas dua bulan kepulangan Baginda dari negeri Syam, mahar perkahwinan ialah dua puluh ekor unta betina. Walaupun usia Khadijah ketika itu sudah meningkat empat puluh tahun namun antara wanita-wanita lain, beliaulah seafdal-afdal wanita dari segi nasab keturunannya, harta dan pemikiran.

Beliau merupakan isteri Nabi Muhammad s.a.w. yang tidak pernah dimadukan kerana kesemua isterinya yang dimadukan adalah berlaku selepas daripada wafatnya Khadijah. Di samping itu, kesemua anak Nabi Muhammad kecuali Ibrahim anak dari Mariah al-Qibtiyyah adalah kandungannya.

Sifat Utama Saidatina Khadijah

1. Akhlak yang terpuji

Beliau memiliki akhlak yang baik dan terpuji. Dalam kehidupan sehari-hari beliau sentiasa menjaga kesucian dan martabat dirinya serta menjauhi adat-istiadat yang tidak senonoh wanita Arab jahiliah ketika itu sehingga diberi gelaran “At Thahirah” Ini bersesuaian dengan firman Allah “Wanita yang baik untuk laki-laki yang baik”.

2. Pemikiran yang tajam.

Khadijah juga memiliki pemikiran yang tajam dan bercita-cita tinggi. Sifat ini amat sesuai untuk seorang wanita yang akan menjadi contoh seluruh ummat Islam. Inilah sifat yang patut ada dalam diri setiap wanita, agar mampu melahirkan anak-anak yang akan menjadi pejuang agama Islam.
Lihatlah cara beliau menyelesaikan masalah Rasulullah dengan merujuk kepada Waraqah bin Naufal, orang yang lebih tahu daripada beliau. Itulah panduan kita dalam hidup ini, bertanyalah kepada orang yang lebih tahu apabila menghadapi apa-apa masalah.

3. Pemurah dan dermawan.

Beliau terkenal dengan sifat pemurah, sentiasa bersedia membantu orang-orang yang lemah dan tidak berupaya. Tambahan lagi beliau memiliki pendapatan sendiri, jadi beliau mampu melakukannya dengan mudah.

4. Memiliki Sifat keibuan dan penyayang.

Inilah sifat-sifat yang amat diperlukan oleh seorang lelaki seperti Rasulullah. Baginda mampu menumpang kasih dari isteri baginda. Sifat ini juga amat diperlukan oleh setiap lelaki, sekiranya isteri mampu melayan mereka dengan baik dan penuh kasih sayang, mereka tidak akan berpaling mencari yang lain. Dalam satu nasihat “Jadikanlah suamimu itu ibarat anak sulungmu”. Iaitu kita memberi sepenuh kasih sayang kepada suami ibarat kita melayan anak sendiri.

Kewafatan Khadijah

Ketika Kaum Musyrikin Makkah buntu mencari jalan untuk menghentikan dakwah Rasulullah, mereka bertindak memboikot Bani Hasyim. Rentetan dari peristiwa pemulauan Bani Hasyim, kesihatan Saidatina Khadijah dan bapa saudaranya, Abu Talib terkesan. Mereka telah wafat tidak lama selepas itu pada tahun yang sama, dan tahun itu digelar Tahun Kesedihan.

Semakin hari, kondisi badannya semakin menurun, sehingga Rasulullah Shallallahu alaihi wassalam semakin sedih. Dalam sakit yang tidak terlalu lama, dalam usia enam puluh lima tahun Khadijah. Khadijah dikuburkan di dataran tinggi Mekah, yang dikenal dengan sebutan al-Hajun. Rasulullah Shallallahu alaihi wassalam sendiri yang mengurus jenazah istrinya dan kalimat terakhir yang beliau ucapkan ketika melepas kepergiannya adalah: “Sebaik-baik wanita penghuni surga adalah Maryam binti Imran dan Khadijah binti Khuwailid.”

Wallahua’lam

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini