Kenapa Rasulullah Kahwin Ramai Lebih 4 Orang?

Izuan
rasulullah kahwin ramai

Pernah terpikir tak kenapa Rasulullah kahwin ramai? Nabi Muhammad mempunyai 11 orang isteri.

Soalan ini juga seringkali menjadi modal orang bukan Islam untuk mendakwa bahawa Nabi kita mempunyai nafsu syahwat yang tinggi, jadi kita perlu belajar supaya tidak berlaku salah faham di sebalik tindakan Rasulullah berpoligami.

Bilangan Isteri Nabi

Istri Nabi ada sebelas kesemuanya. Mereka ialah :

  • Khadijah Binti Khuwailid R.anha
  • Saudah Binti Zam’ah anha
  • Aisyah Binti Abu Bakar R.anha
  • Hafsah Binti Umar R.anha
  • Zainab Binti Khuzaimah R.anha
  • Ummu Salamah Hind Binti Abu Umayyah Al-Makhzumiah R.anha
  • Ummu Habibah Ramlah Binti Abi Sufyan R.anha
  • Juwairiyah Binti Al-Harith R.anha
  • Maimunah Binti Al-Harith Al-Hilaliyah R.anha
  • Sofiyyah Binti Hayyi Bin Akhtab R.anha
  • Zainab Binti Jahsy R.anha

Sebab Rasulullah kahwin lebih daripada empat

Perbuatan Nabi berkahwin lebih daripada empat sebenarnya bukanlah menghalalkan apa yang diharamkan kepada sekalian umat manusia lain. Tetapi sebenarnya, ketika itu syariat masih belum menghadkan perkahwinan kepada empat orang isteri dalam satu masa.

Pada masa itu, sudah menjadi amalan penduduk Arab berkahwin ramai lebih daripada empat, mengikut kepentingan dan hawa nafsu tanpa ada garis panduan tentang kebajikan isteri dan keluarga. Sehinggalah Allah mensyariatkan supaya dibenarkan seorang lelaki berkahwin hanya empat wanita saja dalam satu masa demi menjaga kebajikan para isteri.

Jabatan Fatwa Kebangsaan Mesir (Dar al-Ifta al-Misriyyah) pula pernah mengeluarkan satu artikel khusus bagi menjawab persoalan mengapa baginda SAW berkahwin lebih daripada empat isteri.

Menurut institusi fatwa bertaraf dunia ini, perkahwinan Nabi Muhammad SAW adalah berlegar pada tiga faktor iaitu kemasyarakatan, pensyariatan dan politik.

Kahwin Atas Faktor Kemasyarakatan

Perkahwinan Rasulullah SAW dengan Saidatina Khadijah binti Khuwailid atas faktor kemasyarakatan kerana masyarakat mengharapkan pasangan suami isteri adalah mereka yang matang dari sudut pemikiran dan pengurusan rumah tangga.

Baginda SAW semasa berkahwin dengan Saidatina Khadijah berusia 25 tahun. Baginda bersama isteri tercinta ini tanpa berpoligami selama 25 tahun iaitu sehingga kewafatan Saidatina Khadijah.

Selepas kewafatan Saidatina Khadijah, Nabi SAW mengahwini Saidatina Saudah bin Zam’ah yang merupakan seorang janda. Ini kerana selepas kemangkatan Saidatina Khadijah, Rasulullah memerlukan isteri yang baharu untuk menjadi ibu bagi menjaga empat puteri baginda yang masih kecil hasil perkongsian hidup baginda dengan Saidatina Khadijah.

Seterusnya pada tahun 3 Hijriah, baginda mengahwini Saidatina Hafsah puteri Saidina Umar bin al-Khattab yang baru sahaja kematian suaminya. Perkahwinan ini bertujuan memuliakan dan menggembirakan hati Saidina Umar yang berusaha mencari suami baru terbaik buat puteri beliau.

Pada tahun 4 Hijriah pula, Rasulullah SAW mengahwini Saidatina Zainab binti Khuzaimah yang baru sahaja kematian suami yang gugur syahid di medan Uhud. Pada tahun yang sama juga, Nabi Muhammad SAW mengahwini Saidatina Ummu Salamah atau nama sebenar beliau Hind binti Umayyah yang kematian suami di samping memiliki anak-anak yang masih kecil.

Maka jelaslah bahawa perkahwinan-perkahwinan di atas antara tujuannya adalah untuk menjaga para isteri sahabat baginda yang telah gugur di medan perang agar para isteri yang ditinggalkan dan anak-anak yang menjadi yatim dapat dibela nasibnya oleh Rasulullah SAW.

Kahwin Atas Faktor Pensyariatan

Perkahwinan Rasulullah SAW dengan Saidatina Aisyah puteri Saidina Abu Bakar al-Siddiq adalah berasaskan faktor pensyariatan kerana baginda telah bermimpi bahawa baginda mengahwini Saidatina Aisyah.

Dari Aisyah radhiyallahu ‘anha, ia berkata: Rasulullah ﷺ bersabda:

“Aku diperlihatkan kamu dalam tidur (bermimpi) dua kali. Seseorang membawamu dalam balutan sutera kemudian berkata ‘Ini adalah istrimu, bukalah (sutera) itu!’  Ternyata itu adalah engkau, maka aku katakan ‘Kalau ini datangnya dari Allah, maka Dia pasti akan menetapkannya (untukku).” (HR. Bukhari)

Maka menerusi mimpi ini, tahulah kita bahawa Allah memerintahkan Nabi SAW mengahwini puteri Saidina Abu Bakr al-Siddiq sekalipun jarak usia antara baginda dan Saidatina Aisyah adalah jauh. Ini sekali gus menjawab kritikan segelintir pihak yang mempertikaikan perkahwinan Rasulullah SAW dengan Saidatina Aisyah.

Seterusnya perkahwinan Rasulullah SAW dengan Saidatina Zainab binti Jahsy pada tahun 5 Hijriah yang telah diceraikan oleh bekas suaminya Saidina Zaid bin Harithah yang merupakan anak angkat Rasulullah SAW juga atas faktor pensyariatan.

Ini kerana Allah ingin menyatakan kepada umat Islam bahawa tidak berdosa sekiranya ayah angkat mengahwini isteri anak angkatnya setelah berlaku perceraian. Maka Allah memerintahkan Nabi Muhammad SAW menjelaskan perkara ini secara praktikal.

….Kemudian setelah Zaid selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (dengan menceraikannya), Kami kahwinkan engkau dengannya supaya tidak ada keberatan atas orang-orang yang beriman untuk berkahwin dengan isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (lalu menceraikannya). Dan sememangnya perkara yang dikehendaki Allah itu tetap berlaku. (Surah al-Ahzab: 37)

Kahwin Atas Faktor Politik

Rasulullah telah menikahi beberapa perempuan dengan tujuan melembutkan hati para pemimpin dan qabilah disekeliling Nabi. Seperti sedia maklum, apabila manusia menikah dengan perempuan dari satu kabilah atau dari satu keluarga, maka aka ada hubungan kekerabatan dan persemendaan, dan secara semula jadi akan saling tolong menolong dan membela antara satu sama lain. Inilah salah satu hikmah pernikahan Baginda dengan isteri-isterinya.

Pertama, pernikahan baginda dengan Sayyidah Juwairiah binti al-Harith, pimpinan Bani Mustaliq. Juwayriyah Al-Harith adalah seorang yang dibanggakan oleh ahli keluarga dan kaumnya. Dia ingin menyerahkan dirinya kepada Baginda SAW dengan membantu dari sudut harta, kemudian Rasulullah ingin menikahi dan Juwayriyah menerimanya, maka berkahwinlah mereka berdua. Orang-orang muslim waktu itu berkata: ‘Adakah Rasulullah telah menjadi keluarga kami? Selepas itu, mereka banyak memerdekakan budak yang berada dalam tanggungannya. Maka ketika kaum Bani Mustaliq melihat marwah yang baik ini, akhirnya mereka semua masuk Islam, masuk agama Allah SWT, dan menjadi orang-orang mukmin.

Kedua, pernikahannya dengan Safiyah binti Huyay bin Akhtab yang ditahan selepas kematian suaminya pada perang Khaibar. Masa itu, Safiyah menjadi tawanan sebahagian sahabat muslim. Safiyah ini adalah wanita mulia dari Bani Quraizah, tidak layak sebarang keputusan kecuali dari Rasulullah SAW, maka mereka mengadu kepada Baginda mengenai perkara itu, dan Rasulullah memanggil dan memberi dua pilihan kepada Safiyah:

Pertama, dibebaskan dan dijadikan isteri baginda. Kedua, dibebaskan dan berjumpa dengan ahli keluarganya. Safiyah memilih yang pertama ingin menjadi isteri Rasulullah SAW. Itu kerana dia melihat pada keperibadian yang agung, baik pergaulannya pada diri Rasulullah SAW. Kemudian Safiyah pun masuk Islam dan ramai orang yang mengikutinya masuk Islam.

Wallahua’lam

Subscribe
Notify of
0 Comments
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini