Sirah Nabi – Wahyu Pertama Di Gua Hira(610M)

Izuan
Wahyu pertama

Beberapa tahun sebelum mendapat wahyu pertama, menjelang usia empat puluh tahun, Rasulullah SAW semakin menjauhkan diri daripada kaum Quraisy kerana jiwa beliau tidak serasi dengan budaya Arab ketika itu yang minum arak, berjudi dan menyembah berhala.

Sebelum diangkat menjadi rasul, Nabi Muhammad lebih gemar menyendiri di Gua Hira yang terletak di Bukit al-Nur yang jaraknya lebih kurang dua batu(3.2km) dari bandar Makkah. Gua ini cukup selesa untuk 2-3 orang dan panjangnya lebih kurang empat hasta. Ketika beruzlah(menyendiri), baginda banyak meluangkan masa beribadat dan memikirkan tentang kejadian alam.

Gua hira
Pintu masuk gua Hira’ di Jabal Nur

Perbuatan ini diketahui oleh keluarga Baginda, dan pernah suatu ketika Baginda tinggal di sana selama sebulan. Jika ada fakir miskin yang menziarahinya, Baginda akan menjamu mereka. Keputusan Rasulullah untuk beruzlah itu merupakan sebahagian dari rencana oleh Allah s.w.t untuk Baginda sebagai persiapan untuk mendapat wahyu pertama dari ilahi.

Malah ianya sesuatu yang tidak dapat tidak akan dialami oleh mana-mana insan yang hebat untuk membentuk jiwa yang kental. Jiwa seperti ini harus berikhtila’ dan beruzlah untuk beberapa ketika memutus hubungan dari kesibukan dunia, permasalahan manusia dan keseronokan dunia yang melalaikan.

Perbuatan menyendiri ini berlangsung selama lebih kurang 3 tahu, sehinggalah turun wahyu pertama kepada Nabi Muhammad SAW.

Hadis Tentang Wahyu Pertama

Riwayat yang menyebutkan tentang Nabi SAW menerima wahyu pertama di Gua Hira’ kemudian setelah itu pulang ke rumah untuk menceritakan apa yang berlaku kepada Khadijah merupakan riwayat yang mutawatir dan tidak boleh disangkal lagi.

Aisyah R.A. berkata :

Maksudnya : “Wahyu pertama yang turun kepada Rasulullah SAW adalah  mimpi yang benar yang diperlihatkan di dalam tidur. Baginda melihat seperti adanya Cahaya waktu subuh. Baginda pernah datang ke gua Hira’ lalu Baginda bersendiri iaitu untuk beribadah beberapa malam. Baginda juga mempersiapkan bekalan untuk perkara tersebut. Kemudian Baginda SAW pulang menemui Khadijah dan mempersiapkan bekal untuk Baginda sehinggalah datang kepada Baginda perkara yang tidak disangka-sangka oleh Baginda di Gua Hira’.

Malaikat datang kepada Baginda lalu berkata : Bacalah. Maka Nabi SAW berkata kepada malaikat : Aku tidak boleh membaca. Lantas dia memegang dan memeluk aku sehingga kau merasa sesak. Lalu dia melepaskan. Nabi SAW berkata : Aku tidak boleh membaca. Lantas dia memegang dan memeluk aku erat kali yang kedua sehingga aku merasa sesak. Lalu dia berkata : Bacalah. Nabi SAW berkata : Aku tidak boleh membaca. Lalu dia memegang dan memeluk aku erat buat kali yang ketiga kemudian dia melepaskan aku. Maka Nabi SAW membaca اقرأ باسم ربك الذي خلق sehinggalah sampai kepada ayat علم الإنسان ما لم يعلم.

Lantas selepas daripada itu, Baginda pulang dalam keadaan resah yang teramat sehingga Baginda masuk menemui Khadijah. Lalu Baginda berkata kepada Khadijah : Selimutkan aku, selimutkan aku sehingga hilang keresahan Baginda. Lalu Baginda SAW berkata kepada Khadijah : Wahai Khadijah, apa sudah terjadi kepadaku. Lantas Baginda menceritakan apa yang berlaku. Baginda berkata : Aku takut akan diriku (kalau-kalau terjadi apa-apa). Maka Khadijah berkata kepada Baginda : Jangan begitu, Allah sesekali tidak akan mengecewakan kamu. Sesungguhnya kamu meyambungkan hubungan kekeluargaan, bercakap yang benar, membantu anak yatim, memuliakan tetamu dan membantu orang yang benar.

Kemudian Khadijah pergi bersama Baginda untuk bertemu dengan Waraqah Bin Naufal Bin Asad Bin Abdul Uzza Bin Qusai Bin Kilab. Beliau ialah saudara lelaki kepada ayahnya. Beliau memeluk agama Nasrani ketika Jahiliyyah, menulis dalam bahasa arab dan juga menulis Injil. Beliau juga sudah mencapai umur yang sangat tua dan juga buta. Maka Khadijah berkata kepada beliau : Wahai pak cik dengarlah apa yang ingin diperkatakan oleh anak saudaramu ini. Maka Waraqah berkata : Wahai anak saudaraku, apakah yang telah kamu lihat.

Lantas Nabi SAW menceritakan apa yang telah berlaku. Waraqah berkata : Itu adalah Malaikat Jibril yang telah diturunkan kepada Musa. Andai kata aku masih muda dan hidup ketika mana  kaummu menghalau kamu satu hari nanti. Maka Nabi SAW berkata : Adakah mereka akan mengeluarkanku. Waraqah berkata : Ya. Tidak ada seorang pun yang pernah mengalami sepertimana kamu. Jika aku sempat, maka aku akan bantu kamu semaksimum mungkin…”

Riwayat Al-Bukhari (3, 6982)

Berdasarkan hadis di atas wahyu pertama ialah surah Al-Alaq ayat 1-5.

image

Wallahua’lam

Rujukan – muftiwp, Ar-Raheeq al-Makhtum, Sirah Nabawiyah karangan Syeikh Syafiurrahman al-Mubarakfuri

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini