Sirah Nabi – Nabi Muhammad Sebelum Menjadi Rasul

Sebelum menjadi rasul

Sebelum menjadi Rasul, Nabi Muhammad merupakan seorang pemuda yang mempunyai akhlak terbaik. Pada diri Baginda, terkumpul seluruh keistimewaan dan sifat mulia yang ada pada manusia.

Baginda merupakan seorang pemikir yang cerdas, mempunyai pandangan yang tajam, bijaksana, keupayaan menyelesaikan masalah, banyak berdiam dan selalu berfikir.

4 sifat mulia yang utama ialah Siddiq(membenarkan), amanah, tabligh(meyampaikan) dan fatonah(bijaksana). Sifat ini diakui sendiri oleh puak Quraisy sehinggakan mereka memberi gelaran ‘Al-Amin’ kepada Baginda SAW. Dengan sifat yang mulia ini, baginda telah menjadi orang yang dipercayai ketika peristiwa peletakan Hajarul Aswad.

Dengan peribadi yang mulia ini, Baginda menyantuni semua lapisan masyarakat tidak kira miskin atau kaya, muda dan tua.

Sekiranya didapati kebaikan tanpa teragak-agak Baginda menyertai mereka, kalau tidak Baginda akan mengutamakan uzlahnya.

Sebelum menjadi Rasul, Nabi Muhammad terpelihara daripada:
  • Meminum arak
  • Memakan sembelihan berhala
  • Menyertai perayaan-perayaan berhala atau eksponya

Sejak awal-awal lagi Baginda memang membencikan penyembahan-penyembahan yang karut dan batil ini, hingga tidak ada suatu pun yang paling dibenci Baginda selain dari berhala-berhala. Baginda tidak dapat menahan kesabarannya apabila mendengar orang bersumpah dengan berhala al-Lata dan al-Uzza.

Sesungguhnya, Allah menjaga Rasulullah daripada melakukan perkara yang keji ini. Sepertimana manusia biasa, Rasulullah juga mempunyai naluri untuk menikmati keseronokan dunia ini. Tetapi setiap kali timbul keinginan itu, Allah SWT akan menjaga Rasulullah dengan menghilangkan rasa itu.

Mengikut riwayat Ibn al-Athir :

“Sabda Baginda: Aku tidak pernah berhasrat dengan apa yang dilakukan oleh orang jahiliah selain dua kali sahaja, namun kesemuanya Allah s.w.t menghalang daku dari meneruskannya, lepas itu tidak pernah aku idam-idamkan lagi, hinggalah Allah mengurniakan daku dengan risalahNya.

Di suatu malam aku telah berkata kepada budak suruhan yang mengembala ternakan bersama ku di pinggir Makkah: Boleh tak kalau kamu tolong menjaga kambing-kambingku ini, sehingga dapat ku masuk ke kota Makkah dan berjaga malam seperti pemuda-pemuda lain. Jawab budak itu, Ya! kau boleh pergi. Daku pun keluar sehingga apabila aku sampai ke rumah pertama ku pun mendengar alunan alat permainan, ku bertanya orang di situ: Apa keramaian semua itu? Jawab mereka itulah keramaian majlis perkahwinan Si Fulan dengan perempuan Fulan.

Daku pun duduk mendengarnya, tetapi Allah telah menutupkan telingaku dan daku pun terlena. Kepanasan matahari telah mengejutkan ku dari tidur tadi. Bila ku pulang menemui teman ku, di mana beliau bertanya apa ceritanya, ku pun mencerita segala-galanya, hal yang sama ku cuba di suatu malam yang lain, namun setelah ku sampai ke Kota Makkah hal yang sama terjadi pada ku selepas itu daku tidak pernah mencuba lagi.”


Al-Bukhari telah meriwayatkan dari Jabir bin Abdullah dengan katanya: Ketika pembinaan semula Kaabah, Rasulullah telah turut serta bersama al-Abbas, kerja mereka mengangkut batu-batu. Al-Abbas berkata kepada Rasulullah: Sangkutkan kain kau itu ke tengkok supaya dapat menghindar dari terkena batu-batu, bila Baginda berbuat demikian Baginda terus pengsan dan jatuh ke tanah, dua matanya terjegil ke langit, setelah sedar terus Baginda melaung, kain ku! kain ku! lalu dipakaikan kainnya ke badannya, dalam satu riwayat lain mengatakan: Selepas kejadian itu tidak lagi dilihat aurat Baginda.

Rasulullah mempunyai keistimewaan di kalangan kaumnya, dengan akhlak-akhlak terpuji, pekerti-pekerti mulia dan sifat-sifat terpuji. Baginda tokoh termulia di kalangan bangsanya, elok perangai, tinggi sikap kejiranan, kesabaran yang tinggi, benar percakapan, lemah lembut pergaulan, bersih jiwa, murah pemberian, mulia pekerjaan, menepati janji, beramanah dan bertanggungjawab hingga mereka menggelarnya sebagai “al-Amin ” kerana Baginda memiliki pekerti dan sifat-sifat yang disenangi.

Baginda adalah sepertimana yang disifatkan oleh Khadijah sebagai:

“Seorang yang sentiasa menanggung beban, membantu orang yang kesempitan, memberi makan kepada tetamu dan menolong menegak kebenaran “.

Wallahua’lam

Rujukan : Ar-Raheeq al-Makhtum, Sirah Nabawiyah karangan Syeikh Syafiurrahman al-Mubarakfuri

0 Comments
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini