Sirah Nabi – Peletakan Hajarul Aswad

Izuan
Peletakan hajarul aswad

Pada kisah ini, kita dapat lihat kebijaksanaan Nabi Muhammad ketika menyelesaikan masalah peletakan Hajarul Aswad.

Peristiwa ini terjadi beberapa tahun sebelum Nabi Muhammad dilantik menjadi Rasul.

Semoga bermanfaat!

Banjir Besar dan Pembinaan Kaabah

Pada sekitar 600 Masihi, Mekah telah dilanda banjir besar, air yang mengalir deras hampir-hampir merobohkan Kaabah. Kaabah merupakan bangunan yang penting bagi masyarakat Arab ketika itu dan dianggap tempat suci.

Kaum Quraisy sebagai penjaga Kaabah merasakan perlu untuk memperbaharui bangunan itu, kerana Kaabah merupakan kebanggaan mereka. Demi menjaga maruah, mereka bersetuju untuk membaik pulih Kaabah. Untuk menjaga kesucian Kaabah, tugas membaiki hanya diserahkan kepada golongan yang baik, orang yang tidak menzalimi orang lain, tidak mencampurkan perbelanjaan daripada sumber yang haram dan hasil penjualan riba.

Pada awalnya, mereka takut untuk merobohnya, tetapi seorang bernama al-Walid bin al-Mughirah al-Makhzumi dengan beraninya memulakan, dan setelah melihat tiada bala yang menimpa, orang lain mula berani merobohkannya. Akhirnya, hanya tinggal asas yang dibina oleh Saidina Ibrahim. Setelah itu mereka memulakan pembinaan Kaabah, mereka membahagikan tanggungjawab kepada setiap kabilah untuk membangunkan ruang-ruang yang ada di Kaabah. Semua pembangunan ini di bawah seliaan seorang arkitek Rom bernama Baqum.

  • Pembinaan Kaabah oleh Nabi Ibrahim

Peletakan Hajarul Aswad

Bangunan pun hampir siap, dan yang terakhir ialah tinggal meletakkan Hajarul Aswad ke tempatnya. Mereka mula berbalah tentang siapa yang layak dan berhak mengangkat Hajarul Aswad dan meletakkannya di tempatnya. Perbalahan ini berleanjutan selama 4-5 hari, dan hampir-hampir membawa kepada pertumpahan darah. Akhirnya, Abu Umaiyah bin al-Mughirah mengemukakan cadangan kepada mereka, iaitu untuk melihat siapa orang yang pertama memasuki ke dalam masjid melalui sebuah pintu besar dan orang itu akan dilantik menjadi hakim. Dengan kehendak Allah, Rasulullah ialah orang pertama memasuki masjid, mereka pun melaung al-Amin.

Setelah bercerita permasalahan mereka kepada Rasulullah, Baginda meminta sehelai kain lalu meletakkan Hajarul Aswad di atas hamparan kain itu dan meminta setiap kabilah memegang hujung kain. Kemudian mereka mengangkatnya bersama sehingga sampai ke tempatnya, dan Rasulullah sendiri yang meletakkan Hajarul Aswad ke tempat asalnya. Betapa bijaknya Rasulullah memberi solusi sehingga dapat memuaskan hati semua orang.

Apabila selesai pembinaan Kaabah, maka kelihatanlah bentuknya yang seakan-akan empat segi padu dengan ketinggian lima belas meter, panjang sudut di mana terletaknya Hajar al-Aswad dan yang setentang dengannya ialah sepuluh meter kali sepuluh meter, ketinggian aras letaknya Hajar al-Aswad dari dataran bertawaf setinggi satu perpuluhan lima puluh meter (1.50 meter).

Wallahua’lam

Subscribe
Notify of
0 Comments
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini