Perang Badar ialah perang perrtama dalam sejarah Islam. Perang Badar berlaku pada 17 Ramadan tahun ke-2 hijrah di Hijaz, di bahagian barat Semanjung Arab.
Perang Badar merupakan antara peristiwa penting dalam sejarah Islam, buktinya terdapat beberapa ayat Quran dan Hadis yang menceritakan tentang perang Badar.
Isi Kandungan
- Sebab Berlaku Perang Badar
- Strategi Sebelum Perang Badar
- Rasulullah Menuju ke Badar
- Kekuatan Tentera Makkah
- Mesyuarat Sebelum Perang Badar
- Rasulullah Mendapat Maklumat Penting
- Hujan Turun Di Tempat Kaum Musyrikin
- Menuju ke Perang Badar
- Hari Peperangan Badar
- Korban Perang Badar
- Kesan Perang Badar dalam Sejarah
Sebab Berlaku Perang Badar
Penindasan Kaum Quraisy
Setelah Rasulullah berhijrah ke Madinah, kaum Quraisy berterusan mengganggu orang Islam dengan menyerang dan menguasai harta benda kaum Muslimin.
Pihak Quraisy terus bertindak dengan menghantar orangnya ke Madinah, mengugut kaum Muhajirin dengan kata mereka: “Jangan kamu terpesona dengan kejayaan kamu melepas diri dart kami ke Yathrib sana, di suatu hari kami akan menyerang kamu, akan kami banteras kamu hingga ke akar umbi dan akan kami musnahkan tanaman-tanaman di halaman kediaman kamu.”
Tidak lama selepas itu, Allah telah menurunkan keizinanNya kepada kaum muslimin untuk berperang, tetapi tidak mewajibkannya, dengan firmanNya:
أُذِنَ لِلَّذِينَ يُقَاتَلُونَ بِأَنَّهُمْ ظُلِمُوا ۚ وَإِنَّ اللَّهَ عَلَىٰ نَصْرِهِمْ لَقَدِيرٌ
Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan). (Surah al-Hajj : 39)
Merampas Harta Untuk Melemahkan Musyrikin Makkah
Pada waktu itu Abu Sufyan dalam perjalanan pulang setelah melakukan perniagaan di Syam. Kafilah Abu Sufian itu sarat dengan harta dan barangan penduduk Makkah, terdiri dari seribu ekor unta penuh dengan muatan dan harta benda, dianggarkan tidak kurang dari lima puluh ribu dinar emas, pengawal hanya empat puluh orang sahaja.
Inilah peluang keemasan yang harus diambil kesempatan untuk tentera Madinah, dan akan menjadi pukulan tepat pada sasaran ketenteraan, politik dan ekonomi terhadap musyrikin sekiranya semua harta ini dapat dirampas dari tangan mereka. Dengan itu Rasulullah mengisytiharkan kepada kaum muslimin dengan sabdanya yang bermaksud: “Ini dia kafilah Quraisy yang penuh dengan harta mereka, ayuh keluarlah kamu semoga Allah menjadikannya sebagai harta rampasan untuk kamu.”
Strategi Sebelum Perang Badar
Setelah dibenarkan untuk berperang, langkah pertama Rasulullah ialah berusaha untuk menguasai jalan utama Quraisy, dan perkara ini dapat dicapai melalui dua cara:
Pertama: Memeteraikan perjanjian bersekutu dengan kabilah-kabilah yang tinggal berhampiran dengan laluan Quraisy tadi, atau yang tinggal di antara jalan berkenaan dan Madinah, perjanjian untuk tidak berseteru dengan mereka sebagaimana perjanjian Baginda sebelum ini dengan golongan Yahudi Madinah, juga Rasulullah memeteraikan perjanjian keamanannya dengan kabilah Juhainah, kesemua perjanjian ini Baginda meteraikan sebelum operasi ketenteraan dijalankan, ke kawasan mereka ini lebih kurang tiga marhalah ke Madinah.
Kedua: Mengirimkan beberapa kumpulan pengawalan satu demi satu ke laluan tadi, unutk meninjau dan mengenali jalan-jalan di sekitar Madinah dan laluan yang menghubungkan Makkah.
Oleh itu beberapa sariyah atau ghazwah telah dijalankan. Antaranya:
- Sariyah Saif al-Bahr diketuai oleh Hamzah bin Abd al-Muttalib
- Sariyah Robigh diketuai Ubaidah bin al-Harith bin al-Mutalib
- Sariyah al-Kharrar diketuai oleh Saad bin Abi Waqqas
- Ghazwah Bawat diketuai oleh Rasulullah SAW
- Ghazwah al-Asyirah diketuai oleh Rasulullah SAW
Semasa Ghazwah al-Asyirah, Rasulullah gagal menghalang Kafilah Abu Sufyan daripada pergi ke Syam. Oleh itu, Rasulullah telah mengutus Talhah bin Abdullah dan Said bin Zaid ke sebelah utara, bertugas mengintip dan memperolehi maklumat terperinci mengenai pergerakan Kafilah tersebut.
Ketika mendapat tahu Kafilah Abu Sufyan dalam perjalanan pulang dari Syam menuju ke Makkah dengan membawa barang dagangan yang sarat dengan harta dan barangan penduduk Makkah, Nabi Muhammad sendiri mengetuai tenteranya dan membawa sebanyak mungkin panglima utama, termasuklah Hamzah dan bakal Khalifah, Abu Bakar, Umar dan Ali.
Rasulullah Menuju ke Badar
Kini Rasulullah dalam keadaan bersedia untuk keluar bersama-sama dengan tiga ratus tiga belas orang (313 atau 314 atau 317 orang) 82 Muhajirin (83 atau 86 orang) al-Aws seramai 61 orang dan 170 orang al-Khazraj, mereka tidaklah begitu bersiap sangat dan tidaklah membawa peralatan yang selengkapnya, tunggangan mereka hanya dua ekor kuda, kuda al-Zubair bin al-Awwam dan kuda al-Miqdad bin al-Aswad al-Kindi, manakala unta bersama mereka hanya tujuh puluh ekor yang ditunggang secara bergilir untuk dua atau tiga orang.
Apabila kafilah menghampiri Madinah, Abu Sufyan mula mendengar dari pengembara dan musafir tentang rancangan penyerangan Muhammad.
Abu Sufian segera mengupah Dhamdham bin Amru al-Ghifari ke Makkah, di sana Dhamdham melaung dan meminta bantuan kepada pihak Quraisy untuk menghantar bantuan kepada kafilah mereka. Dhamdham dari atas belakang untanya, setelah memotong hidung untanya seterusnya beliau mengoyak bajunya untuk dikibar-kibarkan kepada Quraisy sambil berteriak: Kalian Quraisy, celaka dan celaka harta kamu bersama Abu Sufian itu, telah dihalang oleh Muhammad s.a.w dan sahabat-sahabatnya, aku tak nampak kamu berkesempatan dengannya, tolong tolonglah !!!
Kekuatan Tentera Makkah
Kekuatan tentera Makkah terdiri dari seribu tiga ratus (1,300) askar pada permulaan, dengan seratus ekor kuda, enam ratus perisai, manakala unta terlalu banyak bilangan yang tidak dapat dipastikan anggaran dengan terperinci. Pemimpin agung mereka ialah Abu Jahal bin Hisyam, makanan dibekal oleh sembilan orang kenamaan Quraisy, mereka menyembelih kadangkala sembilan atau sepuluh ekor unta sehari.
Bergeraklah tentera Makkah ini menuju ke Badar sebagai sokongan kepada Kafilah Abu Sufyan. Abu Sufyan dengan kelicikannya telah berjaya mengelak daripada bertemu dengan tentera islam. Setelah mendapat tahu kafilah Abu Sufyan terselamat, terdapat perbalahan dalam tentera Makkah.
Amr ibn Hishām(Abu Jahal) mahu meneruskan juga peperangan, tetapi beberapa kabilah yang ada, termasuk Bani Zuhrah dan Bani Adi, ingin pulang. Al-Akhnas bin Syuraiq telah mengetuai Bani Zuhrah pulang ke Makkah, lantaran itu tiada seorang pun dari Banu Zuhrah yang menyertai perang Badar, kekuatan mereka lebih kurang tiga ratus (300) orang.
Mesyuarat Sebelum Perang Badar
Ketika ini, perkhabaran tiba kepada tentera Muslim tentang kedatangan tentera Makkah. Nabi Muhammad segera menyeru majlis perang, memandangkan masih terdapat masa untuk berundur dan disebabkan kebanyakan tentera mereka adalah baru sahaja memeluk Islam (dipanggil Ansar atau “Penolong” untuk membezakan dengan Muslim Quraisy), yang cuma bersumpah untuk melindungi Madinah.
Di bawah fasa Piagam Madinah, adalah hak mereka untuk tidak berperang atau meninggalkan tentera yang lain. Walau bagaimanapun, mengikut riwayat, mereka berjanji untuk berjuang juga, dengan Sa’ad bin ‘Ubada berkata, “Jika kamu [Muhammad] mengarahkan kami mencampakkan kuda kami ke laut, nescaya kami akan lakukan.” Walau bagaimanapun, pihak Muslimin masih berharap utuk mengelakkan pertarungan yang sengit dan terus mara ke Perang Badar.
Rasulullah Mendapat Maklumat Penting
Terdapat dua orang suruhan Quraisy mengambil air untuk tentera Makkah berhampiran telaga Badar, para sahabat telah berjaya memberkas mereka.
Selepas itu Rasulullah s.a.w bertanya dua orang suruhan yang diberkas, katanya: “Ceritakan kepada ku perihal Quraisy”, jawab mereka: “Mereka berada di sebalik bukit pasir itu yang kamu nampak dekat “al-Udwah al-Qaswa”.
Tanya Baginda lagi: “Berapa ramai tentera Quraisy itu”. Jawab mereka: “Memang banyak”. Tanya Baginda, “Berapa bilangannya?” Jawab mereka : “Kami tak dapat mengetahuinya”. Kata Rasulullah s.a.w: “Berapa ekor sembelihan mereka sembelih setiap hari?” Jawab mereka berdua: “Sehari sembilan dan sehari sepuluh”.
Kata Rasulullah: “Jadi mereka itu di antara sembilan ratus dan seribu, tanya Baginda lagi: “Siapa di antara mereka orang-orang kenamaan?” Jawab mereka berdua: “Utbah bin Rabiah dan saudaranya Syaibah, Abu al-Bukhturi, Ibnu Hisyam, Hakim bin Hizam, Naufal bin Khuwnilid, al-Harith bin Amir, Tu’aimah bin Adi, al-Nadhr bin al-Harith, Zamaah bin al-Aswad, Abu Jahal bin Hisyam dan Umaiyah bin Khalaf.”
Hujan Turun Di Tempat Kaum Musyrikin
Di malam itu Allah s.w.t menurunkan hujan di tempat kaum musyrikin. Hujan turun dengan lebat melumpuhkan kemaraan mereka, sedang di tempat kaum muslimin pula hujan renyai-renyai membasahi dan membersihkan badan mereka, mensucikan diri mereka dari noda syaitan, menetapkan bumi tempat mereka bergerak, mengejapkan pasir, mengukuhkan tapak kaki mereka, mengemaskan kedudukan strategi mereka dan menambatkan hati-hati mereka.
Menuju ke Perang Badar
Tentera Quraisy dan tentera Muslim bergerak menuju ke Badar. Hujan pada hari sebelumnya telah melambatkan pergerakan tentera Quraisy. Maka, tentera Muslim sampai dahulu dan mampu memilih kawasan yang strategik. Tentera Muslim menguasai sumber-sumber air di sekitar kawasan Badar dengan menimbus dengan tanah, supaya tentera Quraisy tiada sumber air.
Setelah mendapat tempat yang baik, tentera Islam lebih yakin dan tenang untuk memenangi perang Badar. Rasulullah mengisi malam sebelum peperangan itu dengan solat malam. Manakala tentera Islam berehat dengan secukupnya dan tidak sabar untuk melihat janji Allah,
“Ingatlah ketika kamu dilitupi oleh perasaan mengantuk sebagai satu pemberian aman daripadaNya dan ingatlah ketika la menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk menyucikan kamu dengannya dan menghapuskan dari kamu gangguan dari syaitan dan juga untuk menguatkan hati kamu dan menetapkan dengannya tapak pendirian kamu “. (al-Anfaal: 11)
Tentera Quraisy setelah sampai di kawasan Badar, menghantar Umair bin Wahb al-Jumahi untuk mengesan kekuatan tentera al-Madinah, beliau menunggang kudanya di sekeliling perkhemahan Islam, Umayr melaporkan yang tentera Muhammad adalah kecil bilangannya, dan tiada pasukan Muslim lain yang akan menyertai perang Badar. Namun, firasatnya mengatakan tentera Quraisy akan mendapat kerugian yang besar. Berdasarkan laporan Umair, terjadi keraguan di hati pemimpin Quraisy, bahkan ada yang ingin membatalkan perang ini. Tapi Abu Jahal tetap berkeras kepala.
Hari Peperangan Badar
Pada 17 Ramadan, kedua-dua tentera akhirnya bertemu di Badar. Pertempuran bermula dengan satu lawan satu antara Hamzah bin Abdul Mutalib dan al-Aswad bin Abd aI-Asad al-Makhzumi. al-Aswad tewas dan mati di sana juga.
Kematian al-Aswad merupakan pencetus perang Badar, seterusnya tiga jaguh sekeluarga pilihan Quraisy telah keluar menawar diri untuk dicabar, mereka ialah Utbah, saudaranya Syaibah bin Rabiah dan al-Walid bin Utbah. Pada mulanya tiga golongan Ansar menawarkan diri, tetapi ditolak Musyrikin Makkah, yang tidak mahu memulakan persengketaan tidak perlu dan cuma mahu berlawan dengan Muhajirin Makkah. Lalu keluarlah Ali, Ubaidah dan Hamzah. Mereka berjaya menewaskan wakil Quraisy dalam perlawanan tiga-lawan-tiga.
Perang Badar pun bermula dengan kedua pasukan berbalas anak panah. Kemudian apabila mereka semakin dekat, tentera Islam membaling batu kerikil. Dalam ketegangan perang yang berpihak kepada tentera Quraisy dari segi bilangan dan persiapan perang, bantuan daripada Allah tiba melalui para malaikat,
وَمَا جَعَلَهُ اللَّهُ إِلَّا بُشْرَىٰ وَلِتَطْمَئِنَّ بِهِ قُلُوبُكُمْ ۚ وَمَا النَّصْرُ إِلَّا مِنْ عِندِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
(Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada tuhan kamu, lalu Ia perkenankan permohonan kamu (dengan firmanNya): “Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera) dari malaikat yang datang berturut-turut. (Surah al -Anfaal : 9)
Dalam riyawat Ibnu Said dari Ikrimah telah menyebut: Di hari itu ada kepala yang terpelanting jatuh dan tidak tahu siapa yang mengerjakannya, dan ada pula tangan jatuh dan tidak tahu siapa yang mengerjakannya dan dua puluh tangan yang terluka jatuh dan tidak tahu siapa yang memukulnya,
Tanda-tanda kekalahan dan huru-hara dalam barisan musyrikin sudah mula kelihatan, manakala kaum muslimin terus membuat asakan bertubi-tubi ke hadapan tentera musuh, pertempuran hampir sampai ke penghujungnya, beberapa kelompok musyrikin telah berundur dan lari menyelamatkan diri. Bagi kaum muslimin itulah peluang terbaik untuk mereka menawan dan membunuh musuh-mush mereka, hinggalah selesai peperangan dengan kemenangan di pihak kaum muslimin. Allahu akbar.
Korban Perang Badar
Perang Badar berakhir dengan kekalahan yang teruk bagi pihak musyrikin dan pembukaan serta kemenangan yang menyeluruh bagi pihak muslimin. Seramai empat belas orang telah terkorban sebagai syahid, enam muhajirin dan lapan al-Ansar. Manakala kaum musyrikin telah mengalami kerugian harta benda dan nyawa amat parah, terbunuh tujuh puluh orang dan berpuluh-puluh orang yang lain menjadi tawanan, keseluruhan mereka adalah lapisan pemimpin, kepala dan ketua.
Kesan Perang Badar dalam Sejarah
Perang Badar sangat berpengaruh dalam kenaikan dua individu yang dalam sejarah Arabia. Individu pertama ialah Nabi Muhammad, yang bertukar daripada seorang dalam buangan kepada seorang pemimpin. Marshall Hodgson menambah bahawa Badar memaksa orang Arab lain “menganggap orang Islam sebagai pencabar dan mungkin pewaris martabat dan peranan politik Quraisy.”
Sejenak selepas Badar, Nabi Muhammad mengusir Banu Qainuqa, satu daripada suku Yahudi yang melanggar syarat-syarat perjanjian dengan orang Islam kerana menggunakan kekerasan terhadap seorang wanita Muslim. Suku ini juga mengancam kedudukan politik baginda. Pada masa yang sama kedudukan Abdullah bin Ubayy, musuh utama Nabi Muhammad menjadi lemah, dan semenjak Perang Badar hanya mampu membuat cabaran kecil-kecilan terhadap Nabi.
Wallahua’lam
sumber – Raheeq al-Makhtum