Sejarah Perang Mu’tah

Izuan
perang mu'tah

Perang Mu’tah adalah perang terbesar dalam Islam, berlaku pada tahun 8 Hijrah bersamaan 629 Masihi. Jumlah pasukan Perang Mu’tah adalah 3,000 orang Islam untuk menghadapi tentera Rom Byzantine seramai 200,000 orang tentera.

Sebab Berlaku Perang Mu’tah

Setelah Perjanjian Hudaibiyah, Rasulullah lebih aktif menghantar utusan dan surat kepada raja-raja dan kabilah Arab di Semenanjung Arab untuk memperkenalkan Islam kepada mereka.

Punca terjadinya Perang Mu’tah ialah ketika Rasulullah menghantar utusannya al-Harith bin Umar al-Uzdi dengan sebuah risalah kepada pembesar di daerah Basra. Syurahbil bin Umar al-Ghassani, Gabenor Bandar Balqa’ bagi pihak Qaisar Rom telah menangkap al-Harith kemudian diserahkannya kepada Qaisar dan Qaisar pula bertindak memancung lehernya.

Pembunuhan mana-mana utusan dan perwakilan merupakan di antara sebesar-besar jenayah, tindakannya menyamai dengan pengisytiharan perang, malah lebih berat lagi dari itu. Tindakan itu suatu perkara yang amat berat bagi Rasulullah (s.a.w), sebaik sahaja berita mengenainya sampai ke pengetahuan Rasulullah, Baginda terus mengerakkan satu kontijen tentera dengan kekuatan seramai tiga ribu (3,000) orang askar, ianya adalah tentera Islam yang terbanyak, yang belum pernah dikerahkan oleh Rasulullah selain daripada peperangan al-Ahzab

3 Panglima Perang Mu’tah

Rasulullah telah melantik Zaid bin Harithah sebagai panglima Perang Mu’tah, seterusnya Rasulullah berpesan:

Sekiranya Zaid gugur maka Jaafar mengambil tempatnya dan seandainya Jaafar turut gugur syahid, maka Abdullah bin Rawahah pula tampil mengambil teraju kepimpinan tentera Islam, di sini Rasulullah menyerahkan mereka sebuah bendera putih yang diberinya ke tangan Zaid bin al-Harithah.

Tentera Islam Bergerak

Tentera Islam terus mara ke utara hingga sampai ke kawasan bernama Ma’an dalam jajahan negeri Syam ianya terletak di utara bumi Hijaz, di situ mereka telah mendapati berita, bahawa Hercules sudah pun bergerak dengan tenteranya ke tempat bernama Ma’ab di daerah al-Balqa’ dengan seratus ribu tentera Rom, kemudian turut bergabung dengannya qabilah-qabilah Arab: Lakham, Juzam, Balqin, Bahra’a dan Bila dengan kekuatan mereka seramai seratus ribu orang. Maka terkumpullah 200,000 orang tentera musuh unutk Perang Mu’tah.

Mesyuarat Tergempar : Menang Atau Mati Syahid

Sebenarnya tentera Islam sedikit pun tidak menyangka bahawa mereka akan berhadapan dengan bilangan tentera yang sebegini ramai, yang mengejutkan itu, di suatu bumi yang jauh dari Madinah, tempat mereka datang, apakah wajar tentera yang kecil bilangannya bertindak menyerang tentera yang besar bak lautan yang tidak bertepi itu, yang seramai dua ratus ribu itu?

Tentera Islam menjadi serba salah, dua malam berturut-turut mereka memikirkan tindakan selanjutnya, selepas itu kata mereka: kita tulis surat kepada Rasulullah, menceritakan kepada Baginda bilangan musuh kita, lepas itu mungkin Rasulullah menghantar bantuan atau menyuruh kita dengan sesuatu arahan yang akan kita patuhinya.

Tetapi Abdullah bin Rawahah membangkang pendapat tersebut dengan katanya:

Wahai kalian, demi Allah sesungguhnya yang kamu tidak suka, itulah sebenarnya yang kamu semua keluar kerananya, mati syahid, kita tidak memerangi manusia dengan bilangan kita yang banyak atau dengan kekuatan dan persenjataan, kita tidak memerangi mereka kecuali dengan agama ini yang dikurniakan oleh Allah kepada kita sehingga kita menjadi mulia, ayuh marilah kamu ke hadapan ambillah salah satu kebaikan: Kemenangan melawan musuh atau mati syahid.

Mereka juga yakin dengan surah al-Baqarah ayat 249, maksudnya:-

“Berapa banyak yang pernah terjadi, golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah sentiasa bersama-sama orang-orang yang sabar ”

Akhirnya sekalian mereka pun bersetuju dan berpuas hati dengan pendapat Abdullah bin Rawahah.

Tentera Islam Bergerak Ke Arah Musuh

Setelah dua malam berturut-turut tentera Islam bermesyuarat, di mana berakhir dengan persetujuan menerima pendapat Abdullah bin Rawahah, justeru itu seluruh tentera Islam pun bergerak ke arah musuh.

Di salah sebuah kampung Balqa’ mereka bertembung dengan sekumpulan tentera Hercules di tempat bernama Masyarif. Tentera musuh cuba menghampiri mereka, tetapi tentera Islam membelok ke suatu kawasan dikenali sebagai Mu’tah di sana mereka mengambil tempat dan menyusun strategi, unit kanan diletak dibawah pimpinan Qutbah bin Qutadah al-Uzri manakala unit kiri di bawah pimpinan Ubadah bin Malik al-Ansari.

Perang Mu’tah Bermula

Di bumi Mu’tah kedua-dua kumpulan bertemu, peperangan sengit pun bermula, tiga ribu (3,000) tentera meinghadapi serangan dua ratus ribu (200,000) tentera. Satu peperangan luar biasa yang penuh keajaiban, tetapi inilah yang dikatakan: Apabila iman menyemarak dijiwa, maka berlakulah perkara-perkara luar biasa”.

Panji Perang Mu’tah pun dipegang oleh Zaid bin Harithah orang kesayangan Rasulullah (s.a.w), beliau merempuh serangan musuh penuh keberanian tiada tara, terus beliau mengasak hinggalah beliau terkena tikaman musuh, membawa beliau terkorban sebagai seorang syahid.

Dengan itu panji Islam terus diambil oleh Jaafar bin Abi Talib, beliau pun tidak kurang dari Zaid bin Harithah, hingga apabila beliau terasa berat berperang dengan kuda, beliau melompat dari kudanya yang berwarna perang itu lantas disembelihnya, kini beliau bertempur di bawah, hingga apabila tangan kanannya terputus maka panji Islam itu dipegang dengan tangan kirinya, dan setelah tangan kirinya terpotong pula, lalu diapit bendera itu dengan dua belah lengannya. Dengan keadaan begini beliau terus menjulang bendera Islam hinggalah beliau gugur syahid, ada pula pendapat mengatakan yang beliau telah ditetak oleh seorang Roman hingga terputus dua, dan kemudian Allah menggantikannya dengan dua sayap yang memboleh beliau berterbangan di dalam syurga Allah, ke mana sahaja yang beliau mahu, kerana itu beliau dikenali sebagai Jadfar al-Tayyar dan Jaafar zul al-Janahain.

Al-Bukhari meriwayatkan dari Nafi’ bahawa Ibnu Umar telah menceritakan kepadanya semasa beliau mendapati Jaafar telah syahid, dibadannya terdapat kesan-kesan pukulan dan tikaman sebanyak lima puluh liang, tidak ada satu pun di sebelah belakangnya.

Di ketika Jaafar gugur selepas pertarungan yang sengit itu maka bendera Islam dicapai oleh Abdullah bin Rawahah, dengan itu beliau pun terus memecut kudanya mara ke hadapan, beliau teragak-agak untuk turun dari kudanya, hinggalah keadaan memaksa beliau, di sini beliau bermadah:

Duhai jiwa ku! ku bersumpah
kau pasti menghadapi kerelaan cabaran
kiranya sudah orang mencapainya
kenapa kau berlengah
membenci syurga Allah?

Beliau melompat turun, kemudian anak saudaranya menghadiahkan seketul daging dengan berkata: Makanlah buat menguat badanmu, hari ini kau menghadapi keadaan yang sama yang pernah kau alaminya. Beliau mengambilnya dan mengigit secebis kemudian beliau membuangnya. Lantas beliau menghunus pedangnya sambil mara ke hadapan dan terus bertarung hingga gugur sebagai syahid.

Khalid bin Walid di Perang Mu’tah

Serta merta seorang askar dari Banu ‘Ijlan dikenali sebagai Thabit bin Arqam memegang bendera Islam sambil melaung:

“Wahai kalian tentera Islam, pilihiah seorang di antara kamu untuk tugas ini.”

Jawab mereka, “Kamulah orangnya”,

Kata Thabit, “Aku tak boleh”,

Akhirnya orang ramai bersetuju dengan Khalid bin al-Walid. Apabila beliau memegang bendera terus beliau mengharungi kancah pertempuran yang sedang sengit.

حَدَّثَنِي مُحَمَّدُ بْنُ الْمُثَنَّى، حَدَّثَنَا يَحْيَى، عَنْ إِسْمَاعِيلَ، قَالَ حَدَّثَنِي قَيْسٌ، قَالَ سَمِعْتُ خَالِدَ بْنَ الْوَلِيدِ، يَقُولُ لَقَدْ دُقَّ فِي يَدِي يَوْمَ مُوتَةَ تِسْعَةُ أَسْيَافٍ، وَصَبَرَتْ فِي يَدِي صَفِيحَةٌ لِي يَمَانِيَةٌ‏.‏

Khalid al-Walid berkata, Di hari Mu’tah itu sembilan bilah pedang telah terpatah di tanganku, yang kekal dan dapat bertahan hingga ke akhir peperangan hanya pedang Yamaniah.

Sahih al-Bukhari 4266

Di hari peristiwa Mu’tah itu Rasulullah telah menceritakan kepada sahabat melalui wahyu yang terturun kepada Baginda, sebelum beritanya dibawa orang dari medan Perang Mu’tah. Sabdanya yang bermaksud: Bendera dibawa oleh Zaid, beliau jatuh kemudian ianya diambil oleh Jaafar dan beliau jatuh lantas diambil oleh Ibni Rawahah, Ibnu Rawahah pun gugur, di masa itu Rasulullah berlenang air mata hinggalah bendera Islam dicapai oleh Pedang Allah.

Strategi Perang Mu’tah

Khalid al-Walid yang terkenal kepintaran dan kelicikkannya di medan perang telah menyusun kembali posisi tentera Islam. Pasukan tentera yang berada di posisi kanan ditukarkan ke posisi kiri, demikian juga tentera yang berada di posisi hadapan ditukar ke posisi belakang.

Khalid al-Walid juga memilih sekumpulan tentera berkuda untuk ditempatkan di arah belakang dan arahkan supaya membuat bising sambil menaikkan debu debu pasir ke udara untuk menunjukkan seolah-olah tentera tambahan telah tiba untuk membantu tentera yang sedia ada. 

Taktik ini berjaya melunturkan semangat tentera musuh, apabila menyangkakan tentera Islam benar benar telah menerima bantuan dari Madinah, apatah lagi melihat wajah-wajah tentera Islam yang mereka hadapi sudah berubah.  

Selain itu Khalid al-Walid juga telah memperdayakan pihak musuh dengan taktik menyerang kemudian berundur, seolah-olah memancing tentera-tentera gabungan Ghassan dan Rom untuk pergi ke satu lokasi yang berhampiran dengan Madinah.

Taktik Khalid al-Walid ini telah membimbangkan tentera musuh kerana menyangka Khalid al-Walid cuba membawa tentera mereka ke satu lokasi untuk dijerat.  Kerisauan ini menyebabkan tentera gabungan Arab Ghassan dan Rom mengambil keputusan untuk menghentikan Perang Mu’tah. 

Hakikatnya Khalid al-Walid sebenarnya mahu mengundurkan semua tentera Islam supaya kembali ke Madinah. Dengan kembalinya semua tentera Islam ke Madinah maka berakhirlah Perang Mu’tah.

Di  pihak tentera Islam, jumlah kematian hanya melibatkan 12 orang sahaja iaitu Zaid bin Harithah, Ja’afar bin Abi Talib, Abdullah bin Rawahah, Mas’ud bin al-Aswad, Wahab bin Saad, Abbad bin Qais, al-Harith bin Nu’man, Suraqah bin Amir, Abu Kulaib bin Amir, Jabir bin Amir, Amir bin Saad dan Amer bin Saad.

Manakala bilangan tentera Roman tidak diketahui dengan sebenarnya, Walau macam mana pun dianggarkan angka kematian adalah tinggi.

Hakikatnya Islam menang dalam Perang Mu’tah ini.

Buktinya tentera gabungan Arab dan Rom yang berjumlah 200,000 tidak mampu menghancurkan tentera Islam yang jumlahnya seramai 3,000 orang.

Pengajaran Perang Mu’tah dan Kesannya

Meskipun tentera Islam tidak dapat menuntut bela, namun pergerakan ini telah menatijahkan kesan yang besar, dengannya kemasyhuran tentera Islam menjadi gah, membawa orang Arab secara menyeluruh menjadi panik dan taajub, kerana Roman adalah kuasa besar dan gergasi bumi di masa itu.

Pada mulanya orang Arab menyangka keberanian tentera Islam untuk berhadapan dengan tentera Roman itu adalah tindakan membunuh diri sendiri. Namun setelah tentera Islam dengan bilangannya yang kecil seramai tiga ribu (3,000) orang itu mencabar tentera Roman yang besar lagi gagah gerkasa seramai dua ratus ribu (200,000) orang itu, kemudian tentera Islam pulang ke Madinah tanpa mengalami kerugian yang berat, semuanya menjadi macam satu legenda, malah peristiwa ini, membuktikan bahawa tentera Islam adalah unik belum pernah bangsa Arab mengenali contoh umpama ini.

Sesungguhnya mereka telah dibantu dan disokong oleh Allah (s.w.t), teladan mereka itu adalah Rasulullah yang sebenar, maka justeru itulah kita dapati qabilah-qabilah Arab yang menjadi musuh ketat Islam, yang memusuhi Islam hinggalah ke saat sebelum peristiwa bersejarah itu, telah mengubah pendiriannya, di mana Banu Salim, Asyja’, Ghatafan, Zibyan, Fazarah dan lain-lain telah memeluk Islam.

Perang Mu’tah merupakan permulaan kepada pertarungan berdarah dengan Roman di masa-masa hadapan, malah ianya juga sebagai landasan dan pendahuluan kepada pembukaan-pembukaan Islam ke atas-atas negeri-negeri Roman seterusnya penaklukan Islam ke atas negeri-negeri di belakangnya yang terletak jauh di sebaliknya.

Wallahua’lam

Subscribe
Notify of
0 Comments
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini