Jenis-Jenis Air Dalam Islam

Izuan
jenis air

Terdapat pelbagai jenis-jenis air dalam Islam.

Ilmu tentang pembahagian air amat penting bagi umat Islam kerana terdapat hukum fekah tertentu bagi setiap keadaan air itu. Memandangkan bersuci merupakan perkara penting dalam agama, pemahaman yang jelas perlu ada supaya ibadat kita diterima.

4 Jenis Air Dalam Islam

1. Air Mutlak

Air mutlak (ﻤﻄﻠﻖ) adalah air yang suci lagi menyucikan. Terdapat 7 jenis air mutlak iaitu air laut, air sungai, air telaga, air hujan, air mata air, air embun, dan air batu atau salji.

2. Air Musyammas

Air musyammas (ﻣﺸﻤﺲ) adalah air yang terjemur di bawah panas matahari bagi negeri-negeri beriklim panas. Air yang suci lagi menyucikan, tetapi makruh menggunakannya.

Air ini makruh digunakan pada tubuh badan sahaja kerana dikhuatiri mendatangkan mudarat. Akan tetapi jika digunakan untuk membasuh pakaian dan lain-lain, atau telah sejuk sewaktu kita menggunakannya, maka tidak makruh menggunakannya.

3. Air Suci Tapi Tidak Menyucikan

Air ini terbahagi kepada 3 jenis iaitu:

  1. Air mustakmal (ﻣﺴﺘﻌﻤﻞ) adalah air yang suci tetapi tidak boleh menyucikan yang lain. Boleh dikatakan juga air ini boleh diminum tetapi tidak sah untuk menyucikan sesuatu. Contoh air musta’mal ialah basuhan kali yang pertama pada mandi atau wudhu’ yang wajib dan sudah jatuh dari anggota badan
  2. Air mutaghayyir, iaitu air yang berubah salah satu daripada rasa, warna, atau bau, dengan sebab bercampur sesuatu yang suci seperti gula, milo, kopi, teh, dakwat, dan sebagainya hingga berubah nama air mutlaknya. Tetapi jika berubah kerana lama bertakung, kerana lumpur dan tanah, atau kerana jatuh daun kayu ke dalamnya, maka air itu dihukumkan air yang suci lagi menyucikan.
  3. Air muqayyad, contohnya air yang dikaitkan dengan nama asalnya seperti air tebu, air kelapa dan sebagainya.

4. Air mutanajjis

Air mutanajjis (ﻣﺘﻨﺠﺲ) adalah air yang telah terjatuh najis ke dalamnya sehingga berubah warna, bau atau rasa walaupun jika dicampur hingga kadar dua kolah.

Secara mudahnya, ada dua keadaan:

Air yang cukup 2 kolah.

  • Jika termasuk najis tetapi tidak mengubah warna, rasa dan bau, air itu masih dikira masih suci.

Air yang kurang 2 kolah.

  • Jika termasuk najis walaupun tidak mengubah warna, rasa dan bau, air dikira tidak suci.
  • Adapun jika termasuk najis yang dimaafkan, tidak mengapa, contohnya:
    • Bangkai haiwan seperti lalat, kumbang, kala, lipas, cicak
    • Binatang-binatang yang tidak mengalir darahnya jika dibelah atau dikoyakkannya.
    • Termasuk juga debu-debu najis yang berterbangan yang sukar dijaga
    • najis-najis yang sangat halus yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar seperti najis yang berada pada kaki lalat dan percikan air kencing yang tidak dapat dilihat

2 Kolah Bersamaan?

Dua Kolah ataupun dalam istilah arabnya, qullah (قُلَّة) ialah 500 kati Baghdad, bersamaan 192.857 kg atau 1 ¼ hasta padu.

Sebenarnya sukatan atau kadar air yang dikemukakan oleh ulama’ berkenaan dengan dua qullah bersifat taqribi bukan tahdidi atau tepat. Dr Wahbah al-Zuhaili dalam al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh menyebut nilainya seperti berikut:

  1. Dari segi timbangan iaitu 446 3/7 kati Mesir, 81 kati Syam (1 kati Syam bersamaan 2.5 kg. justeru, 2 qullah bersamaah 195.113 kg).
  2. Dari segi sukatan 10 tin (ada pendapat mengatakan 15 tin atau 270 liter).
  3. Dari segi ukuran 1 ¼ hasta segi empat panjang, lebar dan dalam berdasarkan hasta sederhana. Bagi bekas bulat pula seperti telaga 2 hasta dalam dan 1 hasta lebar. Menurut pandapat ulama’ Hanbali, ukurannya ialah 2 ½ hasta dalam dan 1 hasta lebar. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 1/273)

Wallahua’lam

Subscribe
Notify of
0 Comments
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini