Sejarah Penurunan Surah al-Kahfi

Izuan
gua-ashabul-kahfi

Surah al-Kahfi diturunkan di Mekah dan mengandungi 110 ayat. Ia dinamakan al-Kahfi yang bermaksud gua kerana kisah penduduk gua itu ada dinyatakan dalam ayat 9 hingga 26. Surah ini diturunkan rentetan daripada peristiwa kaum kafir bertanya kepada Rasululllah S.A.W mengenai sekumpulan pemuda yang ditidurkan di dalam gua. Pertanyaan ini sebenarnya bertujuan menguji kebenaran perutusan Nabi Muhammmad SAW

Asbabun Nuzul Surah Al-Kahfi

Imam Jalaluddin As-Sayuthi dalam kitabnya Lubabun Nuqul Fi Asbabin Nuzul mengisahkan dalam satu riwayat ada dikemukakan bahawa kaum Quraisy mengutus al-Nadhr bin al-Harits dan Uqbah bin Abi Muith untuk menemui pendeta Yahudi Madinah untuk bertanya tentang kenabian Muhammad S.A.W dengan menceritakan sifat-sifatnya dan segala sesuatu yang telah diucapkannya. Pendeta itu berkata kepada utusan Quraisy: ” Tanyalah kepada Muhammad tiga perkara. Jika dia dapat menjawabnya, maka dia adalah seorang nabi yang diutuskan. Akan tetapi jika dia tidak dapat menjawabnya, maka dia hanyalah orang yang mengaku menjadi Nabi. Tanyalah kepadanya tentang para pemuda pada zaman dahulu yang bermusafir dan apa yang terjadi kepada mereka kerana cerita tentang pemuda itu sangat menarik. Tanyakan kepadanya tentang seorang pengembara yang sampai ke Masyrik dan Maghrib dan apa pula yang terjadi kepadanya dan tanyakan kepadanya tentang ruh, apakah ruh itu”. (Jalaluddin As-Sayuthi, 2011)

Rasulullah menunggu penurunan wahyu kepadanya sehingga lima belas malam lamanya, tetapi Jibril tidak juga kunjung tiba sehingga orang Mekah tidak lagi yakin kepadanya. Rasulullah merasa sedih dan baginda juga tidak tahu apa yang harus dikatakan kepada kaum Quraisy. Pada suatu ketika Jibril datang membawa surah al-Kahfi yang didalamnya mengandungi teguran kepada Nabi atas kesedihannya yang disebabkan oleh perbuatan mereka (al-Kahfi, 18:6), disamping menerangkan tentang pertanyaan yang diajukan oleh kaum Quraisy kepada Nabi tentang pemuda yang bermusafir (al-Kahfi, 18:9-26) dan seorang pengembara (al-Kahfi, 18:83-101) serta firman Allah S.W.T tentang ruh (al-Israk, 17:85). (diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari Ibnu Ishaq dari seorang alim berbangsa Mesir dari Ikrimah dari Ibnu Abbas)

Tafsir Surah al-Kahfi

أَمْ حَسِبْتَ أَنَّ أَصْحَـٰبَ ٱلْكَهْفِ وَٱلرَّقِيمِ كَانُوا۟ مِنْ ءَايَـٰتِنَا عَجَبًا ٩

Maksudnya: Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah “Ashabul Kahfi” dan “Ar-Raqiim” itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami? (al-Kahfi 18:9)

إِذْ أَوَى ٱلْفِتْيَةُ إِلَى ٱلْكَهْفِ فَقَالُوا۟ رَبَّنَآ ءَاتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةًۭ وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًۭا ١٠

(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami! kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami”. ? (al-Kahfi 18:10)

فَضَرَبْنَا عَلَىٰٓ ءَاذَانِهِمْ فِى ٱلْكَهْفِ سِنِينَ عَدَدًۭا ١١

Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya dalam gua itu, bertahun-tahun, yang banyak bilangannya. ? (al-Kahfi 18:11)

ثُمَّ بَعَثْنَـٰهُمْ لِنَعْلَمَ أَىُّ ٱلْحِزْبَيْنِ أَحْصَىٰ لِمَا لَبِثُوٓا۟ أَمَدًۭا ١٢

Kemudian Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), untuk Kami menguji siapakah dari dua golongan di antara mereka yang lebih tepat kiraannya, tentang lamanya mereka hidup (dalam gua itu). ? (al-Kahfi 18:12)

Dalam ayat ini, Allah S.W.T menjelaskan kisah Ashabul al-Kahfi secara ringkas. Allah S.W.T menyatakan bahawa kisah Ashabul al-Kahfi adalah perkara yang menakjubkan sebagai tanda yang membuktikan kekuasaanNya. Tetapi janganlah disangka bahawa kisah mereka sahaja yang menakjubkan, bahkan kejadian langit dan bumi serta segala isinya, yang telah dijadikan Allah itu lebih menakjubkan lagi (Syeikh Abdullah Bin Mohammad Basmih, 1988).

Perkataan al-Raqiim, adalah nama anjing Ashabul al-Kahfi atau batu bertulis yang dicatat atau dirakam padanya nama-nama mereka (Syeikh Abdullah Bin Mohammad Basmih, 1988). Manakala Ibnu Jarir, Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam dan Ali bin Abi Talhah dari Ibnu Abbas, menyatakan Ar-Raqiim bererti kitab (Ibnu Kathir).

Dalam ayat 10 dan ayat yang berikutnya diterangkan bahawa Ashabul al-Kahfi ialah beberapa orang anak muda yang beriman yang telah melarikan diri ke gua itu untuk beribadat kepada Allah yang Maha Esa sambil berdoa semoga mereka beroleh keselamatan dan diberi petunjuk hidayah. Mereka berlindung di situ kerana Rajanya yang kafir menindas orang-orang yang beriman (Syeikh Abdullah Bin Mohammad Basmih, 1988). Kemudian Allah S.W.T, tidurkan mereka selama bertahun-tahun, setelah itu Allah S.W.T bangkitkan semula daripada tidur mereka. Setelah dibangkitkan mereka saling bertanya kiraan yang tepat lama masanya mereka tidur.

نَّحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُم بِٱلْحَقِّ ۚ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ ءَامَنُوا۟ بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَـٰهُمْ هُدًۭى ١٣

وَرَبَطْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ إِذْ قَامُوا۟ فَقَالُوا۟ رَبُّنَا رَبُّ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ لَن نَّدْعُوَا۟ مِن دُونِهِۦٓ إِلَـٰهًۭا ۖ لَّقَدْ قُلْنَآ إِذًۭا شَطَطًا ١٤

هَـٰٓؤُلَآءِ قَوْمُنَا ٱتَّخَذُوا۟ مِن دُونِهِۦٓ ءَالِهَةًۭ ۖ لَّوْلَا يَأْتُونَ عَلَيْهِم بِسُلْطَـٰنٍۭ بَيِّنٍۢ ۖ فَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ ٱفْتَرَىٰ عَلَى ٱللَّهِ كَذِبًۭا ١٥

وَإِذِ ٱعْتَزَلْتُمُوهُمْ وَمَا يَعْبُدُونَ إِلَّا ٱللَّهَ فَأْوُۥٓا۟ إِلَى ٱلْكَهْفِ يَنشُرْ لَكُمْ رَبُّكُم مِّن رَّحْمَتِهِۦ وَيُهَيِّئْ لَكُم مِّنْ أَمْرِكُم مِّرْفَقًۭا ١٦

Maksudnya: Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. (al-Kahfi 18:13) Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: “Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain daripadanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.” (al-Kahfi 18:14)(Mereka berkata pula sesama sendiri): “Kaum kita itu, menyembah beberapa Tuhan yang lain dari Allah; sepatutnya mereka mengemukakan keterangan yang nyata yang membuktikan ketuhanan makhluk-makhluk yang mereka sembah itu? (tetapi mereka tidak dapat berbuat demikian); maka tidak ada yang lebih zalim dari orang-orang yang berdusta terhadap Allah. (al-Kahfi 18:15) Dan oleh kerana kamu telah mengasingkan diri dari mereka dan dari apa yang mereka sembah yang lain dari Allah, maka pergilah kamu berlindung di gua itu, supaya Tuhan kamu melimpahkan dari rahmatNya kepada kamu, dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk (menjayakan) urusan kamu dengan memberikan bantuan yang berguna”. (al-Kahfi 18:16)

Mulai ayat ini, Allah menjelaskan kisah Ashabul al-Kahfi dengan lebih lanjut, mereka terdiri daripada orang muda yang beriman kepada Allah. Anak-anak muda lebih mudah menerima kebenaran berbanding dengan orang tua yang telah tenggelam di dalam kesesatan. Hakikat ini bertambah jelas apabila diawal penyebaran Islam, orang mudalah yang mula-mula beriman dan menyokong dakwah Rasululllah S.A.W, sedang orang tua tetap berdegil dan terus menentang. Pemuda Ashabul al-Kahfi mempunyai iman yang mendalam, Allah S.W.T kuatkan hati mereka mempertahankan akidah tauhid dan berterus terang menolak penyembahan berhala yang dipaksa oleh Raja mereka.

Dikatakan bahawa ketika mereka menyeru Raja mereka untuk beriman kepada Allah S.W.T , maka Raja itu menolak seruan tersebut, bahkan mengancam mereka dan menyuruh menanggalkan pakaian yang mereka kenakan, yang padanya terdapat perhiasan kaumnya. Kemudian ia memberikan waktu kepada mereka supaya berfikir, mudah-mudahan mereka akan meninggalkan agama yang dianutinya tersebut. Keadaan itu merupakan salah satu bentuk kelembutan Allah kepada mereka. Ketika masa penangguhan itu, mereka melarikan diri demi mempertahanakan agama yang dianutinya dari fitnah. Demikianlah disyariatkan ketika terjadi berbagai macam fitnah ditengah-tengah umat manusia. Pada saat itu dianjurkan kepada seorang hamba agar melarikan diri kerana takut akan akibat yang menimpa agama yang dianutinya. (Tafsir Ibnu Kathir)

وَتَرَى ٱلشَّمْسَ إِذَا طَلَعَت تَّزَٰوَرُ عَن كَهْفِهِمْ ذَاتَ ٱلْيَمِينِ وَإِذَا غَرَبَت تَّقْرِضُهُمْ ذَاتَ ٱلشِّمَالِ وَهُمْ فِى فَجْوَةٍۢ مِّنْهُ ۚ ذَٰلِكَ مِنْ ءَايَـٰتِ ٱللَّهِ ۗ مَن يَهْدِ ٱللَّهُ فَهُوَ ٱلْمُهْتَدِ ۖ وَمَن يُضْلِلْ فَلَن تَجِدَ لَهُۥ وَلِيًّۭا مُّرْشِدًۭا ١٧

Maksudnya: Dan engkau akan melihat matahari ketika terbit, cenderung ke kanan dari gua mereka; dan apabila ia terbenam, meninggalkan mereka ke arah kiri, sedang mereka berada dalam satu lapangan gua itu. Yang demikian ialah dari tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan) Allah S.W.T. Sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah S.W.T, maka dialah yang berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkannya maka engkau tidak sekali-kali akan beroleh sebarang penolong yang dapat menunjukkan (jalan yang benar) kepadanya. (al-Kahfi 18:17)

Allah S.W.T menceritakan keadaan mereka sesudah mereka berada dalam gua itu, dan keadaan letaknya gua mereka, sehingga mereka terselamat daripada panas matahari sepanjang masa. Dengan itu terpeliharalah mereka dalam keadaan yang sebaik-baiknya dengan kuasa Allah S.W.T disebabkan iman dan keikhlasan mereka.

وَتَحْسَبُهُمْ أَيْقَاظًۭا وَهُمْ رُقُودٌۭ ۚ وَنُقَلِّبُهُمْ ذَاتَ ٱلْيَمِينِ وَذَاتَ ٱلشِّمَالِ ۖ وَكَلْبُهُم بَـٰسِطٌۭ ذِرَاعَيْهِ بِٱلْوَصِيدِ ۚ لَوِ ٱطَّلَعْتَ عَلَيْهِمْ لَوَلَّيْتَ مِنْهُمْ فِرَارًۭا وَلَمُلِئْتَ مِنْهُمْ رُعْبًۭا ١٨

Maksudnya: Dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedang anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa sepenuh-penuh gerun takut kepada mereka. (al-Kahfi 18:18)

Sebahagian Ulamak menyebut bahawa selepas Allah menidurkan mereka, mata mereka tidak tertutup, sebaliknya tetap terbuka agar mata mereka tidak rosak kerana apabila mata dalam keadaan terbuka, mata tersebut akan selalu mendapat udara. Sebahagian Ulamak salaf mengatakan mereka dibalikkan dua kali setahun. Ibnu Abbas mengatakan seandainya tubuh mereka tidak dibalik-balikkan tentu tubuh mereka dimakan oleh ulat tanah.

Ibnu Abbas, Mujahid Said bin Jubair dan Qatadah mengatakan al-wasid adalah halaman gua. Ibnu Juraij berkata: ”Anjing itu menjaga mereka di pintu gua”. Allah menjadikan rasa gerun dan seram kepada orang yang melihat mereka supaya tidak ada seorang pun yang berani rapat ataupun menyentuh mereka. Hal ini supaya mereka kekal dalam keadaan itu sehingga masa yang dikehendaki Allah membangkitkan mereka.

وَكَذَٰلِكَ بَعَثْنَـٰهُمْ لِيَتَسَآءَلُوا۟ بَيْنَهُمْ ۚ قَالَ قَآئِلٌۭ مِّنْهُمْ كَمْ لَبِثْتُمْ ۖ قَالُوا۟ لَبِثْنَا يَوْمًا أَوْ بَعْضَ يَوْمٍۢ ۚ قَالُوا۟ رَبُّكُمْ أَعْلَمُ بِمَا لَبِثْتُمْ فَٱبْعَثُوٓا۟ أَحَدَكُم بِوَرِقِكُمْ هَـٰذِهِۦٓ إِلَى ٱلْمَدِينَةِ فَلْيَنظُرْ أَيُّهَآ أَزْكَىٰ طَعَامًۭا فَلْيَأْتِكُم بِرِزْقٍۢ مِّنْهُ وَلْيَتَلَطَّفْ وَلَا يُشْعِرَنَّ بِكُمْ أَحَدًا ١٩

Dan demikianlah pula Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), supaya mereka bertanya-tanyaan sesama sendiri. Salah seorang di antaranya bertanya: “Berapa lama kamu tidur?” (sebahagian dari) mereka menjawab: “Kita telah tidur selama sehari atau sebahagian dari sehari”. (Sebahagian lagi dari) mereka berkata: “Tuhan kamu lebih menengetahui tentang lamanya kamu tidur; sekarang utuslah salah seorang dari kamu, membawa wang perak kamu ini ke bandar; kemudian biarlah dia mencari dan memilih mana-mana jenis makanan yang lebih baik lagi halal (yang dijual di situ); kemudian hendaklah ia membawa untuk kamu sedikit habuan daripadanya; dan hendaklah ia berlemah-lembut dengan bersungguh-sungguh (semasa di bandar); dan janganlah dia melakukan sesuatu yang menyebabkan sesiapapun menyedari akan hal kamu.

إِنَّهُمْ إِن يَظْهَرُوا۟ عَلَيْكُمْ يَرْجُمُوكُمْ أَوْ يُعِيدُوكُمْ فِى مِلَّتِهِمْ وَلَن تُفْلِحُوٓا۟ إِذًا أَبَدًۭا ٢٠

“Sesungguhnya, kalaulah mereka mengetahui hal kamu, tentulah mereka akan merejam dengan membunuh kamu, atau mereka akan mengembalikan kamu kepada ugama mereka (secara paksa); dan jika berlaku demikian, kamu tidak sekali-kali akan berjaya selama-lamanya”.

Setelah dibangkitkan daripada tidur, mereka saling bertanya jangka masa mereka tidur di dalam gua tersebut. Pada pendapat mereka, adalah lebih baik mereka serahkan persoalan itu kepada Allah S.W.T , kerana Allah S.W.T sahajalah yang mengetahui apa sahaja yang mereka alami. Selanjutnya mereka berbincang untuk menghantar salah seorang daripada mereka ke bandar untuk membeli makanan yang lebih baik untuk dimakan. Orang itu perlu berhati-hati dalam perjalanannya, hendaklah berusaha menyembunyikan dirinya dan jangan menceritakan keadaan mereka kerana jika tempat mereka diketahui oleh Raja dan pengikutnya, tentulah mereka akan dihukum bunuh atau dipaksa kembali kepada agama mereka. Oleh sebab itulah mereka berpesan kepada utusan yang dipilih daripada kalangan mereka supaya berhati-hati. Sesiapa yang murtad daripada iman kepada syirik, maka itu adalah satu kerugian yang paling besar.

وَكَذَٰلِكَ أَعْثَرْنَا عَلَيْهِمْ لِيَعْلَمُوٓا۟ أَنَّ وَعْدَ ٱللَّهِ حَقٌّۭ وَأَنَّ ٱلسَّاعَةَ لَا رَيْبَ فِيهَآ إِذْ يَتَنَـٰزَعُونَ بَيْنَهُمْ أَمْرَهُمْ ۖ فَقَالُوا۟ ٱبْنُوا۟ عَلَيْهِم بُنْيَـٰنًۭا ۖ رَّبُّهُمْ أَعْلَمُ بِهِمْ ۚ قَالَ ٱلَّذِينَ غَلَبُوا۟ عَلَىٰٓ أَمْرِهِمْ لَنَتَّخِذَنَّ عَلَيْهِم مَّسْجِدًۭا ٢١

Dan demikianlah Kami dedahkan hal mereka kepada orang ramai supaya orang-orang itu mengetahui bahawa janji Allah menghidupkan semula orang mati adalah benar, dan bahawa hari kiamat itu tidak ada sebarang syak padanya; pendedahan itu berlaku semasa orang-orang itu berbantahan sesama sendiri mengenai perkara hidupnya semula orang mati. Setelah itu maka (sebahagian dari) mereka berkata: “Dirikanlah sebuah bangunan di sisi gua mereka, Allah jualah yang mengetahui akan hal ehwal mereka”. orang-orang yang berkuasa atas urusan mereka (pihak raja) pula berkata: “Sebenarnya kami hendak membina sebuah masjid di sisi gua mereka”.

Kisah Pemuda Ashabul al-Kahfi dipertemukan dengan umat manusia pada masa itu adalah sebagai bukti tentang janji Allah menghidupkan semula orang yang telah mati itu adalah benar dan berlakunya hari kiamat itu juga adalah benar. Pada hari Akhirat nanti manusia akan dibangkitkan semula dengan ruh dan juga jasad. Ulamak salaf menyebut bahawa masyarakat pada zaman itu meragui adanya hari kebangkitan dan hal-hal yang berkaitan dengan hari kiamat.

Ikrimah mengatakan, ada satu kelompok dalam kalangan mereka mengatakan bahawa yang dibangkitkan itu hanyalah ruh, bukannya jasad (tafsir Ibnu Kathir).
Diceritakan, tatkala seorang daripada pemuda itu keluar dari gua menuju ke kota mencari makanan, dia menyamar dengan tidak melalui jalan utama. Dia tercengang melihat bangunan kota yang tidak pernah dilihatnya dan bertemu dengan orang yang tidak dikenalinya. Apabila pemuda itu sampai ditempat penjual makanan dan membayar dengan wang peraknya, penjual merasa hairan melihat wang yang diterimanya itu. Pemuda itu kemudian ditanya oleh orang yang mengerumuninya mengenai siapakah dia dan dari mana dia mendapat wang tersebut. Pemuda itu memberi keterangan mengenai dirinya, dia adalah seorang daripada penduduk kota itu. Mendengar keterangan pemuda itu, orang yang mengerumuninya meragui kewarasan akal pemuda itu lalu dibawa kepada pihak berkuasa (pihak raja).

Raja yang soleh pada waktu itu menyoal siasat pemuda tersebut. Apabila mendengar keterangannya, orang yang ada di tempat itu terkenang akan kisah sekumpulan pemuda yang lari meninggalkan kota mereka disebabkan tidak suka berada di bawah pemerintahan Raja terdahulu yang zalim dan penyembah berhala. Akhirnya Raja meminta kepada lelaki itu supaya dapat melihat gua tempat persembunyian mereka. Raja bersama pembantunya berangkat ke gua itu bersama pemuda tadi. Apabila sampai di pintu gua, pemuda tadi meminta kepada Raja dan rombongannya supaya jangan ikut masuk ke dalam. Biar dia terlebih dahulu memberitahu rakan-rakannya terlebih dahulu ada orang ingin melihat mereka di dalam gua itu. Selepas lama menunggu tetapi tidak ada yang keluar, akhirnya Raja beserta rombongannya masuk ke dalam gua. Rupa-rupanya Allah S.W.T telah mencabut ruh kesemua pemuda Ashabul al-Kahfi itu. Raja yang soleh itu memerintahkan rakyatnya supaya membangunkan masjid di atas gua itu (Sahlawati Abu Bakar, Nursyuhada Che Saad, 2012).

Mengikut tafsir pimpinan al-Rahman, penduduk bandar hairan melihat keadaan orang iru dan makin berasa syak apabila mereka melihat wang perak yang dibawanya ialah wang zaman dahulu yang sudah tidak laku lagi. Dia dituduh mendapat harta terpendam lalu dibawa mengadap Raja yang beriman dan mengambil berat dalam hal agama. Setelah mendengar kisahnya, Raja dan orang-orangnya berangkat ke gua Ashabul al-Kahfi bersama-sama orang itu, lalu berjumpa dengan mereka dan mendengar kisah mereka. Sejurus kemudian mereka mati sesudah memberi selamat tinggal kepada Raja dan orang-orangnya. Pihak Raja mencadangkan supaya sebuah masjid didirikan di sisi gua itu. Sementara itu ada yang mencadangkan supaya didirikan sebuah bangunan sebagai kenangan (Syeikh Abdullah Bin Mohammad Basmih, 1988).

Penutup

Ashabul al-Kahfi adalah kisah benar yang menonjolkan pemuda-pemuda contoh yang boleh dijadikan ciri-ciri pemuda Islam yang sebenar yang berlaku sebelum perutusan Nabi Muhammad S.A.W. Mereka berpegang teguh dengan iman dan prinsip hidup, yakin dengan diri sendiri dan berani berhadapan dengan apa sahaja cabaran. Mereka juga mampu berhujah menyatakan kebenaran, setiakawan dalam mengharungi cabaran dan sentiasa menjaga ibadah terhadap Allah S.W.T.

Kisahnya diceritakan oleh Allah S.W.T dalam surah al-Kahfi ayat 9-26 sebagai tanda kekuasaanNya dan sebagai bukti perutusan Nabi Muhammad S.A.W sebagai Nabi akhir zaman. Mereka ditidurkan Allah di dalam sebuah gua selama 309 tahun kerana melarikan diri daripada Raja yang zalim, kemudian dibangkitkan semula pada zaman Raja yang beriman. Kisah Ashabul al-Kahfi mempunyai pengajaran dan implikasi yang berguna kepada seluruh umat manusia.

Wallahua’lam

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini