Strategi dakwah Rasulullah s.a.w boleh dibahagikan kepada dua peringkat, kedua-duanya itu berbeza di antara satu sama lain:
- Peringkat Makkah selama tiga belas tahun.
- Peringkat Madinah selama sepuluh tahun genap.
Setiap peringkat ini ada ciri-cirinya yang tersendiri, ciri-ciri ini dapat dilihat dengan jelas pada setiap persekitaran yang dilaluinya.
Peringkat Makkah boleh dibahagikan kepada tahap-tahap berikut:
- Tahap dakwah secara rahsia tiga tahun.
- Tahap iklan dan keterbukaan dakwah penduduk Makkah. Bermula dari tahun keempat tarikh kebangkitan hinggalah ke kemuncak tahun kesepuluh.
- Tahap ketiga keluar ke kota Makkah dan penyebaran di kalangan mereka, bermula dari penghujung tahun kesepuluh hingga ke hijrah Rasulullah.
Isi Kandungan
Tahap Pertama Dakwah Rasulullah
Tiga Tahun Berdakwah Secara Rahsia
Seperti yang diketahui, sebelum kedatangan Islam, Makkah merupakan pusat agama bagi bangsa Arab. Di sekeliling Kaabah terdapat beratus berhala. Kaum Quraisy berperanan sebagai penjaga Kaabah, menjana pendapatan yang lumayan dengan menguruskan pengunjung-pengunjung Kaabah.
Bangsa Arab di masa itu, untuk sampai kepada sasaran pengislahan amat sukar sekiranya jauh dari Makkah itu sendiri, kerja ini memerlukan kepada kecekalan hati dan ketabahan yang tidak boleh digugat oleh dugaan dan bencana.
Cara dakwah secara rahsia pada awal-awal Islam merupakan tindakan yang bijak, supaya tidak mengejutkan penduduk Makkah dengan suatu yang boleh membangkitkan kemarahan mereka. Ini kerana, kedatangan Islam akan melenyapkan budaya menyembah berhala, sekaligus memberi kesan terhadap perniagaan kaum Quraisy yang berdasarkan aktiviti sembahan berhala.
Generasi Pertama Sahabat
Pada waktu ini jugalah lahir generasi pertama para sahabat iaitu mereka yang memeluk Islam pada waktu permulaan penyebaran Islam. Penjelasan penuh tentang insan-insan hebat ini boleh dilihat di artikel ini.
Perintah Solat
Perintah yang terawal sekali diturunkan ialah solat, Muqatil bin Sulaiman telah menyebut: Allah Subhanahu Wa Taala telah memfardukan solat di permulaan Islam dengan dua rakaat di pagi hari dan dua rakaat di malam hari, berdasarkan firman Allah:
“Dan bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu di waktu malam dan di waktu pagi”.
al-Mu’min: 55
Ibn Hajar telah berkata: Dengan jelas Rasulullah sebelum peristiwa Isra’ Mikraj bersembahyang, demikian juga para sahabat Baginda. Cuma yang menjadi persoalan ialah apakah difardhukan solat-solat yang dilakukan sebelum kefardhuan solat lima waktu itu, atau apakah ianya bukan fardhu?
Ada pendapat mengatakan yang difardhukan itu ialah solat sebelum naik matahari dan sebelum terbenamnya.
Ibnu Hisham menyebut bahawa Rasulullah (s.a.w) dan para sahabat Baginda, mereka semua apabila tibanya waktu solat, mereka keluar ke lorong tertentu untuk menunaikan solat, bersembunyi dari kaum mereka, di suatu ketika Abu Talib pernah ternampak Rasulullah dan Saidina Ali sedarig bersembahyang lalu beliau menanyakan kepada mereka berdua, mengenai sembahyang yang mereka lakukan itu, bila beliau memastikan jelas amal ibadat ini, beliau menyuruh mereka beristiqamah dengannya.
Islam Telah Sampai Ke Pengetahuan Quraisy
Setelah dilihat dari berbagai aspek yang berlainan terhadap peristiwa-peristiwa yang berlaku, nampaknya dakwah di dalam tahap ini, meskipun bersifat rahsia, beritanya sudah pun tersebar ke pengetahuan Quraisy.
Al-Syeikh Muhammad al-Ghazali r.a. menyebut: Berita dakwah Rasulullah ini telahpun sampai ke pengetahuan Quraisy, tetapi mereka tidak mengambil terlalu mengambil peduli. Kemungkinan pihak Quraisy menyangka Muhammad ini salah seorang jenis manusia yang kuat beragama, yang bercakap mengenai ketuhanan dan tugasnya, amalan seperti ini sama seperti amalan Umaiyah bin Abi al-Salt, Quis bin Sa’idah, Amru bin Nufail dan lain-lain lagi, walau macam mana sekalipun pihak Quraisy tetap mencurigai Baginda. Oleh itu, mereka memerhati hari demi hari, untuk melihat perkembangan lanjut dan kesudahan dakwahnya ini.
Setelah tiga tahun dakwah Rasulullah, agama Islam masih lagi diamalkan secara rahsia dan dalam konteks individu. Hasilnya ialah tertegaknya sebuah jamaah golongan mukmin yang bertunggakkan persaudaraan dan sanggup tolong menolong, bekerja menyampaikan risalah Muhammad dan mengemaskan tapak perjuangannya.
Namun selepas tiga tahun, kini Rasulullah diminta supaya mengisytiharkan dakwahnya kepada kaumnya dan menghadapi kepalsuan mereka, menentang serta mengecam berhala-berhala mereka.
Maka bermulalah tahap kedua iaitu berdakwah secara terang-terangan kepada penduduk Makkah.
Wallahua’lam