Sirah Nabi – Bangsa Arab Sebelum Islam

Izuan
bangsa arab sebelum islam

Islam merupakan rahmat untuk sekalian alam. Jom bandingkan bangsa Arab sebelum Islam tiba dan setelah Islam tersebar di sana.

Semenanjung ‘Arab di masa itu merupakan suatu kawasan yang tenang, jauh dan terpencil dari gejala-gejala huru-hara tadi. Bangsanya langsung tidak pernah merasai kemewahan dan kemajuan seperti Parsi; yang boleh membawa mereka ke arah kerosakan dan keruntuhan akhlak dan tidak pula mengagung-agungkan kekuatan tentera yang membolehkan mereka menjajah negara-negara di sekitarya.

Mereka juga tidak menganut falsafah dan ideologi yang beranika ragam seperti Greek Tua yang menyebabkan mereka menjadi mangsa kepada dongengan dan khurafat.

Tabi’at semulajadi mereka ini tidak ubah seperti suatu “bahan yang mentah” yang belum pernah dilebur di mana-mana dapur dan dicorak di mana-mana acuan seolah-olah terbayang di layar kehidupan mereka seorang manusia semulajadi yang bersih mempunyai kemahuan yang kuat ke arah pembentukan manusia yang terpuji yang mempunyai sifat-sifat amanah, pemurah, suka menolong dan bencikan kezaliman. Apa yang mereka perlu hanyalah pengetahuan yang dapat menyinari jalan-jalan ke arah tersebut kerana mereka ini hidup dalam kejahilan yang gelap memekat.

Arab jahiliyyah telah sesat untuk sampai ke arah kemanusiaan yang sebenarnya. Mereka membunuh anak perempuan kerana mahu menjaga maruah, membelanjakan wang yang banyak dengan harapan mahukan kemuliaan dan berperang sama sendiri dengan tujuan mempertahankan kehormatan. Segala-galanya ini telah diterangkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala di dalam Al-Qur’an:

“Dan sesungguhnya kamu sebelum hari ini adalah dan golongan orang-orang yang telah sesat”.

Al-Baqarah Ayat 198

Penegasan ini lebih merupakan keuzuran dan kemaafan bagi mereka daripada penghinaan ke atas mereka. Ini adalah memandangkan bangsa-bangsa lain telah menggunakan tamaddun dan kemajuan mereka sebagai alat ke arah kerosakan sedangkan mereka ini sedar malah merancang sedemikian.

Muhammad Al Mubarak seorang professor Mesir telah mengutarakan pendapatnya: “Orang yang memerhati dan memandang kepada bangsa ‘Arab akan dapat melihat bagaimanakah bangsa Arab boleh berdiri di masa silam di tengah-tengah dua tamadun yang melebar di kiri kanan. Di sebelah kirinya tamadun barat yang keterlaluan telah cuba mendapatkan gambaran dan imej manusia dengan alirannya yang kering pucat tak berhias dan tidak terjejas dengan hakikat keinsanannya. Di sebelah kanannya pula tamadun kerohanian dan kejiwaan yang melambung ke alam khayalan seperti yang terdapat di India, China dan sebagainya.”

Setelah kita dapat menggambarkan hal keadaan bangsa ‘Arab dan semenanjungnya sebelum Islam. Maka mudahlah bagi kita menyingkap di sebaliknya apakah hikmat-hikmat Allah mengutuskan Rasulullah di Semenanjung ‘Arab dan bangsa ‘Arab terpilih buat merintis jalan-jalan ke arah penyebaran obor seruan da’wah Islamiyyah yang kini telah dianuti oleh umat manusia di seluruh pelusuk alam.

Bukanlah sepertimana yang disangka oleh sesetengah golongan yang mengatakan bahawa pengikut-pengikut agama yang sesat lebih susah untuk mengubati jiwa mereka dan sukar memberi tunjuk ajar kerana mereka ini ta’sub (fanatik) dan membanggakan keburukan, kehancuran dan kemusnahan.

Sedangkan mengubah dan memberi tunjuk ajar kepada mereka yang sedang mencari-cari kebenaran lebih mudah kerana mereka ini sama sekali tidak menafikan kejahilan mereka sendiri dan tidak pula membanggakan atau bermegah-megah dengan hasil tamaddun kerana mereka langsung tidak mempunyai tamaddun.

Golongan ini paling mudah sekali untuk diperbaiki dan diberi dorongan kepada mereka. Bagi kita bukanlah ini yang dikatakan hikmat Ilahi, kerana penganalisaan yang seumpama ini hanya tepat kepada mereka yang mempunyai daya dan tenaga yang terbatas sahaja, memilih yang senang dan meninggalkan yang susah kerana tidak mahukan penat lelah.

Andaikata Allah mahu menjadikan pancaran da’wah Islamiyyah di mana-mana bahagian di Parsi atau di Rome atau di India bersinar cemerlang maka sudah pasti pula Allah akan menyediakan kemudahan dan cara-cara sehingga berjaya da’wahnya seperti mana yang berlaku di Semenanjung ‘Arab.

Soal ini tidak pula menjadi bebanan, kerana Allah Subhanahu Wata’alah Pencipta ‘alam semesta. Namun hikmah Allah memilih Semenanjung ‘Arab dan Rasul utusan itu tadi (seorang yang buta huruf – tidak boleh membaca dan menulis) agar manusia seluruhnya tidak merasa syak wasangka terhadap keNabian dan keRasulanNya.

Sebagai penutup dan epilog kepada hikmah Allah ialah suasana persekitaran tempat Rasulullah diutuskan di mana di dalamnya wujud suatu biah (suasana) buta huruf juga dan jika dibandingkan dengan bangsa-bangsa lain yang hidup di sekelilingnya mereka juga belum pernah dimasuki dan diracuni oleh sebarang tamaddun, pemikiran dan kerumitan falsafah yang berserabut.

Wallahua’lam

Rujukan : Ar-Raheeq al-Makhtum, Sirah Nabawiyah karangan Syeikh Syafiurrahman al-Mubarakfuri

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini