Sirah Nabi – Bangsa Sekitar Tanah Arab Sebelum Islam

Bangsa sekitar tanah arab

Sebelum kita mempelajari Sirah Nabi SAW dengan mendalam, kita perlu tahu tentang bangsa sekitar tanah Arab sebelum Islam dahulu untuk dapatkan gambaran yang lebih jelas.

Untuk kita memperkatakan sesuatu tentang sejarah hidup Rasulullah SAW dan Semenanjung ‘Arab di mana baginda hidup dan dipilih sebagai Rasul, ada baiknya kalau kita cuba menyingkap hikmat-hikmat Allah, mengapa terpilihnya Rasulullah dari bumi ini dan bangsa ‘Arab pula sebagai pembawa obor da’wah Islamiyyah.

Pertamanya, kita mesti mengetahui keistimewaan bangsa ‘Arab dan perangai serta tata penghidupannya sebelum Islam dan keadaan muka bumi (geografi) dan persekitarannya.

Bangsa-bangsa yang hidup di sekitar tanah ‘Arab sebelum Islam:

Dunia di kala itu boleh dikatakan telah dikuasai dan dikepalai oleh dua negara yang gagah iaitu Parsi dan Romawi dan disenarai yang kedua pula ialah Greek dan India.

Parsi di kala itu merupakan arena pertarungan agama dan falsafah yang beranika corak. Pembesar dan pemerintah pada keseluruhannya menganut agama Majusi (Zuradisy) yang mana antara ajarannya menggalakkan lelaki berkahwin dengan ibu nya, anak perempuannya atau adik dan saudara perempuannya. Maharaja Yazdajrid kedua yang memerintah di pertengahan abad kelima Masihi telah berkahwin dengan anak perempuannya. Bukan setakat itu sahaja malah tatasusila dan sopan-santun telahpun terpesong dari garis-garis yang bersifat kemanusiaan.

Mengikut apa yang ditegaskan oleh Al Imam Al Shahras-tani dalam kitabnya yang berjudul Al-Milal Wa Al-Nihal, terdapat antara ajaran agama Mazdak yang menyebut bahawa kebebasan kaum wanita tiada hadnya. Begitu juga dengan kebebasan menggunakan harta benda dan seterusnya menjadikan wanita dan harta benda ini kepunyaan dan hak milik bersama, tidak ubah seperti air, api dan rumput di mana semua manusia boleh berkongsi tanpa sekatan. Seruan ini telah mendapat sambutan yang begitu hangat dari kalangan mereka yang memang berhaluan demikian.

Romawi (Rome) pula begitu meluap-luap dengan jiwa dan semangat penjajahan dan bergelut dalam persengketaan agama dengan pihak Kristian negeri Syam (Syria) dan Mesir. la bergantung penuh kepada kekuatan angkatan ten-teranya dan cita-cita penjajahannya yang berkobar-kobar dalam rangka percubaan memodenisasikan agama Kristian untuk disesuaikan dengan matlamat mencapai cita-cita dan kemahuannya.

Negara ini juga berada dalam keadaan huru-hara dan kucar-kacir dari negara Parsi, yang hidup dengan segala kemewahan iaitu kemewahan dalam kemerosotan ekonomi dan pemerasan terhadap rakyat jelata. Kenaikan cukai yang begitu melambung tinggi merupakan suatu gejala yang biasa dan telah menjadi satu lumrah.

Greek tua(Ancient Greece) pula tenggelam ke dasar lautan khurafat dan dongeng yang tidak memberi sebarang faedah dan natijah yang berguna sama sekali.

India pula di kala itu menurut Professor Abul Hassan Al Nadwi telah menegaskan bahawa ahli sejarah dan pengarang sebulat suara mengatakan yang India di permulaan abad keenam Masihi telah terlantar ke lembah kemerosotan agama, akhlak dan kemasyarakatan. India bersama jiran tetangga dan saudaranya turut serta mengambil bahagian dalam memerosotkan akhlak dan kemasyarakatan.

Perlu kita ketahui bahawa anasir-anasir yang menyeret bangsa-bangsa ini ke lembah kerosakan dan perpecahan ialah kemajuan dan tamadun yang berasaskan kepada mata benda (material) semata-mata. Tamadun ini tidak mengambil contoh-contoh ma’nawi dan akhlak yang sempuma sebagai landasan dan asas kemajuan. Lantaran ketandusan fikiran yang waras dan contoh sempurna yang benar-benar dapat dihayati maka tamadun dan kemajuan yang dicapai itu telah membawa kehidupan manusia mengalir ke tasik kecelakaan dan huru-hara.

Sebaliknya jika ahli fikirnya mempunyai akal fikiran yang waras dan pertimbangan yang saksama maka tamaddun dan kemajuan tadi merupakan jalan-jalan yang indah serta mudah pula menuju ke arah kesenangan dalam semua corak dan aspek hidup. Biasanya perkara ini tidak akan lahir kecuali melalui agama dan wahyu Ilahi sahaja.

Seterusnya, setelah kita memahami demografi dan interaksi dinamik antara tamadun-tamadun di atas, barulah kita akan dapat lebih menghayati mengapa Rasulullah SAW dilahirkan di tanah Arab dan berbangsa Arab.

Jom sambung sirah nabi seterusnya tentang Semenanjung Arab sebelum kedatangan Islam di artikel ini.

Wallahualam

Rujukan : Ar-Raheeq al-Makhtum, Sirah Nabawiyah karangan Syeikh Syafiurrahman al-Mubarakfuri

0 Comments
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini