Perang Bani Nadhir (625 Masihi)

Izuan
perang bani nadhir

Apa sebab berlakunya Perang Bani Nadhir?

Perang Bani Nadhir berlangsung pada tahun 4 Hijrah atau 625 Masihi. Perang ini dinamakan dengan Bani Nadhir karena kaum Yahudi yang berperang melawan kaum muslim berasal dari Bani Nadhir.

Bani Nadhir merupakan salah satu kabilah terbesar dari bangsa Yahudi yang tinggal berjiran dengan bangsa Arab (‘Aus dan Khazraj) di Madinah

Sifat Kaum Yahudi

Seperti yang diketahui, kaum Yahudi amat benci dan menyimpan dendam terhadap Islam dan kaum muslimin. Mereka ini bukanlah ahli peperangan, tetapi mereka ini ahli tipu muslihat dan konspirasi, justeru itu mereka selalu menonjolkan sikap hasad dengki dan permusuhan secara terang-terangan, mereka memperlihatkan usaha jahat dan tipu muslihat mereka dengan perbagai cara, dengan tujuan memerangkap dan menyakiti kaum muslimin, tanpa berani memulakan peperangan, meskipun di antara mereka dan kaum muslimin ada perjanjian. Apa yang terjadi kepada mereka selepas peristiwa bani Qainuqa’ dan pembunuhan Ka’ab bin al-Asyraf mereka hidup dalam ketakutan, justeru itu mereka berdiam dan bertenang sahaja.

Namun selepas Perang Uhud, mereka mula memberanikan diri, memperlihat semula perseteruan dan pengkhianatan mereka, dengan itu mereka cuba membuat hubungan dengan kaum munafiqin dan musyrikin penduduk Makkah secara sulit, dan merencana sesuatu yang memberi manfaat untuk diri mereka, dimasa yang sama boleh menjejaskan kestabilan kaum muslimin. Dalam semua keadaan Rasulullah tetap bersabar, justeru itu maka kaum Yahudi nampaknya semakin melampau dan semakin berani, terutamanya selepas peristiwa al-Raji’ dan Bi’r Ma’unah, hingga mereka berani merencana untuk membunuh Rasulullah.

Ringkasan Perang Bani Nadhir

Rasulullah telah keluar bersama beberapa orang sahabat Baginda untuk menemui kaum Yahudi bagi memperolehi sebahagian dari pampasan yang hendak dibayar kepada keluarga dua orang keturunan Kilab yang dibunuh oleh Amru bin Umaiyah al-Dhamri.

Mengikut perjanjian dalam Piagam Madinah, kaum Yahudi Madinah harus menanggung bersama pampasan yang seperti ini. Beberapa orang Yahudi telah menjanjikan Rasulullah dan meminta Rasul tunggu seketika berhampiran dinding rumah mereka. Maka Baginda pun bersama beberapa orang sahabat menunggu di situ sementara kaum Yahudi membawa bahagian pampasan yang dijanjikan oleh mereka. Adapun mereka yang mengikuti Rasulullah di masa itu ialah Abu Bakar, Umar, Ali dan sebilangan para sahabat yang lain.

Di masa itu kaum Yahudi telah berbincang sesama mereka, di mana syaitan pun turut menghasut mereka, yang akhirnya membawa padah buruk kepada mereka selama-lamanya, mereka telah membuat pakatan jahat sesama mereka untuk membunuh Rasulullah, dengan kata mereka: Siapa di antara kamu yang berupaya membawa lesung batu ini ke atas bumbung rumah, kemudian humbankan ke atas kepalanya hingga berkecai? Maka jawab yang terkenal di antara mereka iaitu Amru bin Jahsy: Aku!. Kemudian mereka telah dinasihati oleh Salam bin Misykam: “Jangan buat pekerjaan itu, demi Allah ia akan diberitahu oleh Allah dengan niat kamu itu, dan ini merupakan pencabulan ke atas perjanjian kita dengannya”. Namun mereka semua tetap berazam untuk melaksanakan konspirasi itu.

Di masa itu Jibrail (a.s) turun dari sisi Allah Rab al-Alamin memberitahu RasulNya di bumi tentang niat buruk Yahudi itu, dengan segera Rasulullah beredar dari tempat itu dan terus pulang ke Madinah diikuti oleh para sahabatnya yang lain, dengan kata mereka:”Tuan hamba bangun di mana kami langsung tidak sedar”. Kemudian Baginda menceritakan mengenai niat jahat Yahudi tadi.

Selepas itu Rasulullah menghantar perutusannya Muhammad bin Maslamah kepada Banu al-Nadhir dengan sabdanya: “Keluarlah kamu dari al-Madinah ini dan jangan lagi kamu hidup bersama ku di Madinah. Ku beri tempoh sepuluh hari, sesiapa di antara kamu yang ku dapati selepas tempoh ini ku pancung lehernya”. Bagi kaum Yahudi tiada jalan lain melainkan keluar dalam tempoh itu, mereka pun bersiap untuk keluar dari Madinah, saat itu ketua munafiqin Abdullah bin Ubai pun menghantar orangnya meminta Yahudi Banu al-Nadhr supaya jangan keluar dan pertahankan diri dalam benteng mereka, kononnya dua ribu orang penyokong akan masuk ke dalam perkampungan Yahudi, untuk menyertai pertahanan mereka malah mereka akan sehidup semati dengan banu al-Nadhr.

Firman Allah berkenaan perbuatan Abdullah bin Ubai ini;

Tidakkah engkau melihat dan merasa hairan (wahai Muhammad) terhadap sikap orang-orang munafik itu? Mereka tergamak berkata kepada saudara-saudara mereka yang kafir dari kalangan (kaum Yahudi) ahli Kitab: “Sesungguhnya, kalau kamu dihalau keluar sudah tentu kami akan keluar bersama-sama kamu, dan kami tidak akan tunduk taat kepada sesiapapun untuk menentang kamu selama-lamanya; dan kalau kamu diperangi, sudah tentu kami akan membela kamu!” Padahal Allah mengetahui dan menyaksikan bahawa sebenarnya mereka adalah pendusta. (Surah al-Hasyr ayat 11)

Kata Abdullah lagi, bukan kamu seorang sahaja malah kamu akan dibantu oleh Bani Quraizah dan sekutu-sekutu dari Banu Ghatafan. Hasutan Abdullah bin Ubai itu mengembalikan kepercayaan kaum Yahudi untuk mencabar amaran Rasulullah.

Huyai bin Akhtab ketua Yahudi Banu al-Nadhir pun mengirim pesan kepada Rasulullah:

“Kami tidak akan keluar dari kampung kami ini, buatlah apa yang kamu nak buat”. Tidak syak lagi suasana seperti ini merupakan saat genting dan cemas bagi kaum muslimin, kerana pertempuran dengan seteru mereka di saat seumpama ini boleh mendatangkan akibat yang buruk, terutamanya bangsa Arab seluruhnya sudah sebulat hati menentang mereka. Bagaimana berani mereka membunuh utusan-utusan yang dikirim kepada mereka, tambahan pula Banu al-Nadhir memiliki kekuatan pada tahap yang tidak mudah mereka menyerah kalah, peperangan dengan mereka menghadapi berbagai halangan yang sukar diatasi.

Namun peristiwa-peristiwa yang berlaku di tragedi Bi’r Ma’unah dan yang sebelumnya amat menekan perasaan dan sensitiviti kaum muslimin terutamanya percubaan untuk membunuh Rasulullah dan pengkhianatan-pengkhianatan yang menimpa kaum muslimim satu demi satu secara jamaah, mahu pun individu. Kemarahan mereka semakin bertambah terhadap pengkhianat-perkhianat itu, oleh yang demikian mereka telah mengambil keputusan muktamad untuk memerangi Banu al-Nadhir tanpa mempedulikan apakah akibat yang akan terjadi nanti.

Pengepungan Bani Nadhir

Setelah jawapan Huyai Ibnu Akhtab sampai ke pangkuan Rasulullah (s.a.w), Baginda terus bertakbir dan dijawab oleh para sahabat dengan laungan takbir yang sama, dengan itu Baginda pun bangun segera untuk bertindak terhadap Banu al-Nadhir, maka dilantiknya Ibnu Ummu Maktum sebagai orang yang bertanggungjawab semasa ketiadaan Baginda di Madinah. Bendera kaum muslimim dibawa oleh Ali bin Abi Talib, sesampai Baginda di sana, terus dikepungnya perkampungan Banu al-Nadhir. Jumlah pasukan perang Bani Nadhir pada waktu itu tidak diketahui secara detail.

Apabila Bani Nadhir melihat tentera Islam, mereka melepaskan anak-anak panah sambil berkubu di pokok-pokok kurma dan kebun-kebun tanaman mereka. Pengepungan berlaku selama 15 hari, Bani Nadhir masih bertahan mengharapkan bantuan yang dijanjikan oleh Abdullah bin Ubai. Rasulullah saw mengarahkan tentera Muslimin menebang dan membakar pohon-pohon kurma yang menaungi kabilah Bani Nadhir. Firman Allah;

مَا قَطَعْتُمْ مِنْ لِينَةٍ أَوْ تَرَكْتُمُوهَا قَائِمَةً عَلَى أُصُولِهَا فَبِإِذْنِ اللَّهِ وَلِيُخْزِيَ الْفَاسِقِينَ

“Mana-mana pohon kurma (kepunyaan musuh) yang kamu tebang atau kamu biarkan tegak berdiri seperti keadaannya yang asal, maka yang demikian adalah izin Allah (kerana Dia hendak memberi kemenangan kepada orang-orang mukmin) dan kerana hendak menimpakan kehinaan kepada orang-orang yang fasik.” (Surah al-Hasyr: 5)

Puak Yahudi Bani Quraizah menyendiri, tidak berani memberi sebarang pertolongan, apatah lagi Abdullah bin Ubai ketua munafik langsung tidak berani berbuat apa-apa pun malah beliau dengan sifat nifaq dan taqiahnya terus mengkhianati janjinya bersama-sama dengan sekutunya Banu Ghatafan, tak seorang pun membawa kebaikan kepada Banu al-Nadhir atau menolak kemalangannya itu.

Bani Nadhir Menyerah Kalah

Kepungan Rasulullah ke atas Banu al-Nadhir tidak berlarutan, hanya enam malam sahaja. Ada pendapat mengatakan lima belas malam. Di dalam tempoh ini Allah mecampakkan kegerunan, mereka menjadi gelisah, gerun dan ketakutan, lantas bersedia untuk menyerah diri dan meletak senjata.

Akhirnya mereka menghantar utusan kepada Rasulullah saw untuk menyerah diri dan keluar dari Madinah. Rasulullah saw meletakkan syarat kepada Bani Nadhir agar keluar tanpa membawa senjata. Mereka hanya dibenarkan keluar bersama harta yang mampu dibawa dengan seekor unta. Rasulullah saw juga menjamin darah mereka akan terpelihara selama mereka tidak memulakan lagi persengketaan dengan umat Islam. Apabila Bani Nadhir mendengar syarat Rasulullah saw itu, mereka mengambil segala harta benda yang boleh dibawa, mereka meruntuhkan rumah-rumah mereka agar ia tidak dapat dihuni lagi. Bani Nadhir berangkat keluar dari Madinah, sebahagiannya menetap di Khaibar (100 batu dari Madinah), sebahagiannya pula menuju ke Syam.

وَمَا أَفَاءَ اللَّهُ عَلَى رَسُولِهِ مِنْهُمْ فَمَا أَوْجَفْتُمْ عَلَيْهِ مِنْ خَيْلٍ وَلَا رِكَابٍ وَلَكِنَّ اللَّهَ يُسَلِّطُ رُسُلَهُ عَلَى مَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

“Dan apa jua yang Allah kurniakan kepada Rasul-Nya dari peninggalan harta benda mereka (yang telah diusir itu, maka kamu tidak berhak mendapatnya), kerana kamu tidak memecut seekor kuda pun dan tidak menunggang seekor unta pun (untuk berperang mengalahkan mereka); tetapi Allah memberikan kekuasaan kepada Rasul-rasul-Nya mengalahkan sesiapa yang dikehendakiNya (dengan tidak payah berperang); dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (surah al-Hasyr: 6)

Hikmah Perang Bani Nadhir

Harta rampasan bagi kaum Muslimin terdiri daripada 50 baju besi, 50 topi perang dan 340 bilah pedang yang boleh digunakan untuk pertembungan yang seterusnya.

Tindakan Rasulullah mengusir Bani Nadhir walaupun agak drastik merupakan tindakan yang bijak kerana kaum Yahudi telah hilang hormat pada umat Islam, membiarkan mereka mentap di Madinah bagaikan duri dalam daging sahaja.

Pengajaran Perang Bani Nadhir

Peristiwa Banu al-Nadhir ini berlaku di bulan Rabiulawal tahun keempat Hijrah bersamaan Ogos 625 Masihi, sempena peristiwa ini Allah menurunkan surah al-Hasyr sepenuhnya, padanya Allah menceritakan penyingkiran kaum Yahudi, pendedahan sikap kaum munafiqin, hukum rampasan al-Fay (harta rampasan yang diperolehi tanpa berperang), pujian ke atas Muhajirin dan Ansar, hukuman keharusan memotong dan membakar tumbuhan di bumi musuh untuk strategi peperangan dan itu bukan kerosakan di bumi Allah. Disurah ini juga pesanan kepada kaum mukmin supaya iltizam dengan taqwa dan persiapan untuk akhirat, diselesaikan surah ini dengan kepujian ke atas zat Allah di samping menjelaskan nama-nama dan sifat-sifatNya.

Imam Bukhari dalam Sahih-nya (kitab al-Maghazi wa Tafsir al-Quran) bahawa Sa’id bin Jubair bertanya kepada Ibnu Abbas tentang Surah al-Hasyr. Kata beliau, “Ia juga dikenal surah Bani al-Nadhir.”

Wallahua’lam

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini