Abdullah Bin Ubai Ketua Munafik

Izuan
abdullah bin ubai

Siapa Abdullah bin Ubai?

Abdullah bin Ubai ialah pemimpin Bani Khazraj yang tinggal di Madinah/Yathrib. Dia juga digelar ‘Ibn Salul’ yang merujuk kepada keturunan ibunya. Abdullah bin Ubai masuk Islam ketika Rasulullah berhijrah ke Madinah. Walaupun telah memeluk Islam, tindakannya ingin menjatuhkan agama Islam seolah-olah menjadi duri dalam daging. Oleh itu, dalam lembaran sejarah, Abdullah bin Ubai telah dilabel sebagai seorang munafik, bahkan sampai tahap ketua munafik.

Abdullah Bin Ubai Di Madinah Pra-Islam

Sebelum kedatangan Islam di Madinah, suku kaum Aus dan Khazraj saling berperang antara satu sama lain. Abdullah bin Ubai selaku ketua kaum Khazraj sering mencari jalan perdamaian antara dua pihak. Dia mempunyai status yang tinggi dan dihormati kedua suku kaum.

Ketika Rasulullah tiba di Madinah, Abdullah Bin Ubai sedikit terkesan dengan tumpuan dan penghormatan yang diberi kepada Rasulullah SAW. Sejarawan Ibn Ishaq menyatakan bahawa Ibnu Ubai adalah “seorang lelaki yang berkuasa besar di Madinah sebelum kedatangan rasul” dan “kekal duri dalam daging kejayaan beliau.”

Walaupun tidak berpuas hati, Abdullah bin Ubai menggunakan prinsip “lebih bijak untuk turut serta daripada keluar menentang.” Berbanding keluar Islam dan menunjukkan permusuhan jelas terhadap Islam, Abdullah bin Ubai sebaliknya memeluk Islam.

Sifat Munafik Abdullah Bin Ubai

Perang Uhud

Semasa perang Uhud, 300 tentera Islam telah berpatah balik ke Madinah setelah mendengar hasutan Ibn Ubai.

Abdullah Bin Ubai dan Bani Nadhir

Tindakan Yahudi Bani Qainuqa yang mengkhianati janji, mendorong Rasulullah SAW dan orang-orang Islam memerangi mereka. Dalam bulan Syawal tahun kedua Hijriyyah, Nabi SAW bersama orang-orang beriman mengepung perkampungan Yahudi Bani Qainuqa sehinggalah mereka kegerunan dan bersedia menerima hukuman dari Nabi SAW setelah dikepung selama dua minggu. Ketika ini tersingkaplah sikap sebenar golongan munafikin. Berdirilah ketua golongan munafik Madinah, Abdullah bin Ubai bin Salul membela teman karibnya orang-orang Yahudi yang berlaku biadap terhadap seorang wanita Muslimah dan membunuh seorang muslim, berkata: “Wahai Muhammad, bertindak baiklah terhadap Yahudi Qainuqa yang telah mengikat kesetiaan dengaku. Mereka telah berjanji setia dengan golongan khazraj.” Dia mengulang permintaannya ini namun tidak dipedulikan oleh Rasulullah SAW.

Ibn Ubai dan Bani Qainuqa

Bani Qainuqa telah melanggar janji bersama Rasulullah, maka mereka diusir keluar Madinah.

Tiada lagi jalan lain untuk mereka berdalih dan melepaskan diri lalu mereka pun membuat persediaan untuk meninggalkan Madinah. Tiba-tiba pemimpin munafiq Abdullah bin Ubai menasihatkan mereka supaya jangan keluar dari Madinah dan mereka hendaklah bertahan. Abdullah bin Ubai memberi jaminan bahawa kaum munafiq bersedia untuk mati bersama-sama Yahudi Bani Nadhir.

Allah telah merakamkan pakatan ini dalam ayat 11 surah al-Hasyr :

أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ نَافَقُوا يَقُولُونَ لِإِخْوَانِهِمُ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ لَئِنْ أُخْرِجْتُمْ لَنَخْرُجَنَّ مَعَكُمْ وَلَا نُطِيعُ فِيكُمْ أَحَدًا أَبَدًا وَإِن قُوتِلْتُمْ لَنَنصُرَنَّكُمْ وَاللَّـهُ يَشْهَدُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ

“Apakah kamu tidak memerhatikan orang-orang munafiq yang berkata kepada saudara-saudara mereka yang kafir di antara ahli kitab : “Sesungguhnya jika kamu diusir nescaya kami pun akan keluar bersama-sama kamu dan kami selama-lamanya tidak akan patuh kepada sesiapa pun untuk menyusahkan kamu dan jika kamu diperangi pasti kami akan membantu kamu. Sesungguhnya Allah menyaksikan bahawa mereka merupakan kaum yang berdusta.”

Perangsang dan jaminan yang diberi oleh Abdullah bin Ubai menyebabkan orang-orang Yahudi itu naik semangat terutamanya pemimpin mereka Huyai bin Akhtab. Akhirnya tiada bantuan yang diberi dan mereka diusir keluar Madinah.

Kematian Abdullah Bin Ubai

Walaupun Abdullah bin Ubai merupakan seorang munafik, namun beliau mempunyai seorang anak yang sangat alim dan jujur dan bernama Abdullah.

Selepas kematian bapanya, Abdullah datang menemui Baginda SAW dan menyampaikan hasratnya kepada Baginda:

Dari Ibnu ‘Umar RA, katanya: “Ketika ‘Abdullah bin Ubay bin Salul wafat, anaknya Abdullah bin Abdullah datang kepada Rasulullah meminta jubah beliau untuk kafan bapanya. Rasulullah memenuhi permintaan anaknya itu. Kemudian, dimintanya pula supaya Rasulullah menyolatkan jenazah bapanya.” 

(Hadis Riwayat Muslim, no. 2379)

Walau bagaimanapun, perbuatan Baginda SAW ini menimbulkan persoalan daripada para sahabat kerana perbuatan ‘Abdullah bin Ubay yang munafik itu memang sudah diketahui.

Maka, selepas daripada itu, turunlah wahyu daripada Allah SWT:

“(Orang-orang munafik itu) sama sahaj engkau meminta ampun untuk mereka atau engkau tidak meminta ampun bagi mereka. Jika engkau (wahai Muhammad) meminta ampun bagi mereka tujuh puluh kali (sekalipun), maka Allah tidak sekali-kali mengampunkan mereka; yang demikian itu kerana mereka telah kufur kepada Allah dan RasulNya; dan Allah tidak akan memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang fasik.” 

(Surah At-Taubat, ayat 80)

Abdullah ibn Ubayy meninggalkan beberapa orang anak perempuan dan seorang anak lelaki bernama Abdullah , kesemua mereka memeluk agama Islam dan menjadi muslim yang taat.

Wallahua’lam

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini