Tragedi Bir Maunah Peristiwa Berdarah

Izuan
bir maunah

Peristiwa Bir Maunah (بئر معونة) berlaku pada bulan Safar tahun 4 hijrah, selepas kejadian Peristiwa Maa’ Ar-Raji’ – ماء الرجيع. Bagaikan pepatah jatuh ditimpa tangga, itulah yang dialami umat Islam kerana mengalami dua tragedi yang besar pada bulan yang sama.

Kisah Bir Maunah

Seorang ketua suku yang besar di kalangan orang Arab pada masa itu, dikenali sebagai Abu Barra (أبو البراء) atau nama sebenarnya Amir bin Malik (عامر بن مالك) dari daerah Najd datang menemui Rasulullah di Madinah.

Baginda sendiri amat mengalu-alukan kehadiran Abu Barra. Malah segera dakwah itu disampaikan dengan dibacakan ayat-ayat al Quran dan penjelasan demi penjelasan mengenai Islam kepada tetamu itu.

Baginda menyeru Abu Barra kepada Islam, tetapi beliau tidak menganut Islam. Di sini beliau telah meminta dari Rasulullah dengan katanya: “Wahai Rasulullah kalaulah tuan hamba dapat mengutus sahabat-sahabat tuan hamba kepada penduduk Najd untuk mengajak mereka kepada agama tuan hamba ini, ku mengharapkan mereka akan menyahut seruan”

Oleh kerana Abu Barra dikatakan ketua suku yang dihormati dan disegani lawan dan kawan terutama daripada kalangan kaumnya sendiri maka baginda akhirnya setuju dengan permintaan itu.

Ini kerana menurut adat atau budaya di kalangan bangsa Arab, apabila ketua sesuatu kabilah berjanji bagi melindungi dan menjamin keselamatan kabilah yang lain, maka tiada siapa pun daripada kabilahnya dan kabilah-kabilah yang lain berani untuk menganggu dan melakukan perkara-perkara yang tidak diingini!

Baginda Rasulullah pun menyediakan hampir 70 sahabat dan pengikut yang terpilih untuk menjayakan misi sebagai mubaligh islam ke daerah Najd. Rombongan tujuh puluh orang ini adalah dipilih dari kaum muslimin, golongan pemimpin, qari, dan kenamaan. Di siang hari mereka berjalan mengumpul kayu api untuk dijual, dengan harganya dibelinya makanan untuk ahli al-Suffah, mereka ini gemar mempelajari al-Quran dan melakukan qiamulail.

Begitupun rombongan itu tidak sahaja mempunyai matlamat untuk berdakwah kepada penduduk di daerah Najd yang diketuai oleh Abu Barra, malah kesempatan itu turut diambil untuk menyebarkan Islam kepada mana-mana suku dan kaum lain yang mereka temui sepanjang menuju ke Najd.

Akhirnya rombongan tersebut tiba di tempat yang dikenali sebagai Telaga Maunah atau Bir Maunah yang terletak antara tanah milik Bani Amir (بني عامر) dan Harrah Bani Sulaim (حرة بني سليم).

Rombongan Islam Dibunuh

Kesempatan tetap diambil bagi menghantar wakil dari rombongan Rasulullah, iaitu Haram bin Milhan (حرام بن ملحان) untuk menyampaikan sepucuk surat dari baginda mengajak kepada Islam kepada Bani Amir.

Namun surat itu telah dikoyak-koyakkan. Amir sangat marah dengan kehadiran utusan Nabi Muhammad itu.

Tidak cukup dengan itu, Amir memerintahkan orang suruhannya membunuh Haram. Lalu Haram dibunuh dengan ditikam dengan tombak dari arah belakang.

Apabila Haram melihat darahnya mengalir, terus beliau meneriak: “Allahu Akbar, demi Tuhan Ka’abah! Daku telah berjaya”.

Kemudian Amir bin Tufail telah menyeru kaumnya untuk membunuh kaum muslimin yang masih hidup. Ini kerana beliau sedar adalah menjadi satu kesalahan besar dalam adat budaya Arab membunuh sesiapa sahaja yang diutus menjadi wakil. Oleh itu, supaya kesalahannya tidak diketahui oleh kalangan kabilah yang lain, Amir mahukan anggota rombongan mubaligh Islam yang lain turut dibunuh. Kaumnya tidak bersetuju kerana kaum muslimin tersebut di bawah perlindungan Abu Barra,

Dengan itu beliau meminta Banu Salim membantunya, maka puak Usaiyah, Ra’al dan Zakwan datang melingkungi sahabat Rasulullah. Mereka menentang serangan Amir itu hingga seluruh mereka terbunuh, kecuali Ka’ab bin Zaid bin al-Najjar tersembunyi di bawah jenazah-jenazah sahabatnya, beliau ini hidup hingga ke hari peperangan Khandak.

Adapun Amru bin Umaiyah al-Dhamri dan al-Munzir bin Uqbah bin Amir bersama orang-orang Islam telah mendapati burung-burung terbang mengelilingi tempat kejadian. al-Munzir pun turun ke tempat berkenaan dan melawan kaum musyrikin di sana hingga beliau dan orang-orang lain terbunuh, manakala Amru bin Umaiyah al-Dhamri telah ditawan. Setelah diberitahu yang beliau ini dari qabilah Mudhar, maka beliau pun dibebaskan.

Sesampainya Amru bin Umaiyah ke hadapan Rasulullah terus beliau melaporkan kejadian ngeri itu kepada Baginda, di mana terkorbannya tujuh puluh orang pilihan para sahabat terbilang. Peristiwa ini bagaikan mengulangi peristiwa Uhud, yang bezanya, di Uhud mereka pergi dengan niat berperang, manakala di Bir’ al-Ma’unah ini pembunuhan mereka lantaran pengkhianatan yang jahat.

Semasa Amru bin Umaiyah dalam perjalanan pulang ke Madinah di pertengahan jalan “al-Qarqarah” dari “Sadru al-Qanah” beliau telah berehat di bawah sepohon kayu, kemudian dua orang lelaki dari Banu Kilab telah turut tumpang berteduh bersama Amru di bawah pohon kayu itu, setelah dua lelaki ini sedang nyenyak lena Amru pun terus membunuh mereka, sebagai menuntut beta di atas pembunuhan sahabatnya di dalam peristiwa Bi’r Ma’unah itu, sedang mereka berdua ini adalah di dalam perjanjian damai dengan Rasulullah, di mana beliau tidak menyedari perkara ini, sebaik sahaja beliau tiba di Madinah beliau menceritakan peristiwa al-Maunah ini;

Rasulullah pun bersabda: “Sesungguhnya engkau telah membunuh dua orang di mana ku berkewajipan membayar pampasannya, dengan itu Baginda pun sibuk mengumpul pampasan itu dari kaum muslimin dan sekutu-sekutu Yahudi”.

Rentetan daripada peristiwa ini, terjadi Perang Bani Nadhir.

Rasulullah amat bersedih dengan peristiwa Bi’r Maunah yang menyayatkan hati ini selepas peristiwa al-Raji’. Kedua-duanya berlaku dalam tempoh beberapa hari sahaja, Rasulullah amat berdukacita. Hal ini telah membawa Baginda merasa tidak tenteram kerana sedih dan pilu, menyebabkan Baginda terus mendoakan kemusnahan ke atas qabilah-qabilah yang mengkhianati sahabat-sahabat itu.

Dari Anas (r.a) katanya:

“Rasulullah saw. pernah qunut sebulan lamanya dalam solat Subuh sesudah rukuk, iaitu mengutuk kabilah-kabilah Ri’il, Dzakwan dan ‘Ushliyyah, kerana mereka mendurhakai Allah dan Rasul-Nya.”

(Sahih Bukhari dan Muslim)

Wallahua’lam

Rujukan :

Subscribe
Notify of
0 Comments
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini