Kelebihan Bismillah Dipermudahkan Setiap Urusan

Izuan
bismillah

Pernah lihat tak orang yang mulutnya sentiasa mengucapkan bismillah ketika hendak melakukan sesuatu, saya yakin mereka ini pasti arif tentang kelebihan bismillah.

Sabda Nabi SAW :

كلُّ كلامٍ، أو أمرٍ ذي بالٍ لا يُفتَحُ بذِكْرِ اللَّهِ عزَّ وجلَّ فَهوَ أبترُ

Maksudnya : “Setiap ucapan atau perkara yang tidak dimulai dengan mengingati Allah (zikrullah), maka amalan tersebut akan terputus.” [HR Ahmad (8712)]

Apa yang terputus? Makna terputus di sini bermaksud kurangnya keberkatan.

Para ulama menyatakan disunatkan memulakan setiap penulisan, pembelajaran, pengajaran, khutbah, percakapan dan perkara-perkara yang lain yang dilihat penting dengan memuji Allah SWT. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 1/73)

Mendahulukan sesuatu itu dengan membaca ‘Basmallah’ (Bismillahirrahmanirrahim) setiap kali memulakan atau melakukan sesuatu urusan, pekerjaan atau perbuatan sebenarnya memberi kebaikan dan memiliki fadhilat yang sangat besar kerana ia mengutamakan Asma dan Kebesaran Allah SWT.

Mereka yang sentiasa ingat Allah dan arif tentang sifat dan kekuasaan Allah nescaya tidak akan lupa membaca ‘Basmallah’ kerana mereka sedar bahawa Allah berkuasa atas setiap sesuatu dan segalanya terjadi atas izin Allah.

Terdapat beberapa tempat yang amat digalakkan untuk mendapat fadhilat bismillah, antaranya:

1. Sebelum Makan

Nabi SAW telah mengajarkan kepada umatnya adab-adab makan. Antaranya ialah amalan bismillah sebelum makan.

Sebagaimana sabda Nabi SAW :

إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ طَعَامًا فَلْيَقُلْ : بِسْمِ اللَّهِ، فَإِنْ نَسِيَ فِي أَوَّلِهِ فَلْيَقُلْ : بِسْمِ اللَّهِ فِي أَوَّلِهِ وَآخِرِهِ

Maksudnya : “Sekiranya seorang daripada kamu hendak makan, sebutlah nama Allah (Bismillah). Sekiranya dia terlupa (menyebut nama Allah) pada awal (mula makan), maka sebutlah ‘Bismillahi awwaluhu wa akhirahu’ (Dengan nama Allah pada awal dan akhirnya).” 

[HR al-Tirmizi (1858)]

Terdapat persoalan tentang adakah dapat ganjaran jika membaca bismillah sahaja tanpa Ar-Rahman dan Ar-Rahim. Jawapannya ialah ya, tetap dapat. Boleh rujuk mufti wilayah untuk penjelasan penuh.

Imam al-Nawawi ada menyebutkan bahawa :

Maksudnya : “Di antara perkara penting yang mesti seseorang itu tahu mengenai sifat basmalah dan kadar (minima) yang cukup daripadanya (ketika dilafazkan)… ialah sebaik-baik lafaznya (afdhal) apabila seseorang menyebut : (بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ). Akan tetapi kalau dia hanya menyebut : (بِسْمِ اللَّهِ), sudah cukup baginya dan dia mendapat pahala sunat. 

(Lihat al-Azkar, hlm. 388)

2. Bismillah ketika sembelihan

Jika binatang tidak dibaca nama Allah ketika sembelihan maka haram dimakan binatang itu,

Firman Allah bermaksud: “Maka makanlah daripada (sembelihan binatang yang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, jika betul kamu beriman kepada ayat-ayatnya.” 

(Surah al-An’am, ayat 118)

3. Tutup pintu rumah

Ini seperti hadis yang diriwayatkan oleh Jabir RA. Sabda Nabi SAW:

وَأَغْلِقْ بَابَكَ، وَاذْكُرِ اسْمَ اللَّه

Maksudnya: Tutuplah pintu rumah kamu (pada waktu malam) dan sebutlah nama Allah.

Riwayat al-Bukhari (3280)

4. Menutup bekas makanan

Rasulullah SAW bersabda: “Tutuplah bekas kamu itu, ikatlah penutupnya (bekas minuman yang dibuat daripada kulit), kuncilah pintu dan padamkanlah lampu kerana dengan demikian syaitan tidak dapat lagi menguraikan tali penutupnya dan tidak dapat membuka pintu dan tidak dapat membuka bekas. Jika seseorang di antara kamu hanya dapat melintangkan sebatang kayu di atas bekasnya dan disertakan dengan membaca ‘Basmalah’, maka dia hendaklah melakukannya sebab seekor tikus dapat membakar rumah dan ahli rumah mereka.” 

(Hadis Riwayat Muslim)

Menetapkan bilangan Bismillah

Sebahagian ulama’ ada menetapkan bilangan bismillah contohnya, kelebihan bismillah 1000 kali akan dapat sekian-sekian. Ada juga menggabungkan lafaz doa yang ada bismillah contohnya bismillah 3, bismillah 4 dan bismillah 5.

Kesimpulannya

Membaca basmalah sebelum makan adalah termasuk dalam perkara sunat dan adab-adab makan sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Nabi SAW. Bacaan lafaz basmalah yang paling baik dan sempurna ialah (بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ). Akan tetapi sekiranya seseorang itu hanya membaca (بِسْمِ اللَّهِ) sahaja pun sudah cukup memadai baginya, dan dia tetap mendapat fadilat serta kelebihan zikir bismillah tersebut sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Imam al-Nawawi.

Wallahua’lam

Subscribe
Notify of
1 Comment
Oldest
Newest
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini
1 year ago

[…] Kelebihan Bismillah […]