Maksud Hadis Palsu(Maudhu)

hadis palsu

Hadis Maudhu dikenali juga sebagai Hadis Palsu. Di artikel ini kita akan belajar mengenai maksud, syarat dan hukum beramal dengan hadis maudhu.

Semoga bermanfaat.

Maksud Hadis Maudhu

Imam al-Nawawi (676 H) berkata:

الْمَوْضُوعُ: هُوَ الْمُخْتَلَقُ الْمَصْنُوعُ، وَشَرُّ الضَّعِيفِ

Maksudnya: “Hadith palsu adalah hadith yang direka atau dicipta dan ia adalah seburuk-buruk hadith dhaif.” [Lihat: Tadrib al-Rawi, 323/1]

Kata Imam al-Baiquniy di dalam manzhumahnya yang masyhur hadith palsu adalah:

وَالكَذِبُ المُخْتَلَقُ المَصْنُوعُ * عَلَى النَّبِيِّ فَذَلِكَ المَوْضُوْعُ

Pendustaan yang direka dan dicipta * Di  atas nama Nabi SAW maka itulah yang dinamakan [Hadith Mawdhu’]

Menurut Imam al-Baiquniy, hadith mawdhu’ atau hadis palsu ini ialah hadith dusta yang direka atau dicipta dan ia disandarkan kepada Nabi SAW.

Berdasarkan definisi di atas kedudukan Hadis Palsu ialah di bawah Hadis Dhaif.

Ciri-ciri Hadith Maudhu

Perkara ini dapat dikesan sama ada pada sanad dan juga matan hadith dan kami nukilkan daripada kitab Ulum al-Hadith oleh Prof. Dr, Muhammad Abu Laith iaitu:

Pada Sanad:

  • Iqrar atau pengakuan daripada perawi tersebut bahawa dia telah mencipta hadith tersebut.
  • Terbukti daripada pengakuannya bahawa dia telah berdusta. Contohnya seperti dia berkata, bahawa dia telah mendengar hadith ini daripada syeikh sekian di tempat sekian, sedangkan syeikh tersebut diketahui tidak pernah masuk atau sampai ke tempat tersebut.
  • Perawi tersebut terkenal sebagai seorang pemalsu hadith Nabi SAW.

Pada Matan:

  • Teks hadith bercanggah dengan al-Quran, usul-usul dan kaedah-kaedah agama.
  • Teks hadith bercanggah dengan teks hadith sahih yang lain.
  • Teks hadith bercanggah ijma’ para sahabat R.anhum.
  • Bertentangan dengan naluri, penyaksian dan ilmu sains (penemuan ilmiah moden yang sahih dan tidak bertentangan dengan al-Quran, hadith dan sumber-sumber utama di dalam agama).
  • Teks tersebut tidak terdapat di dalam kitab-kitab hadith yang muktabar.
  • Kelemahan pada susunan lafaz dan juga makna.
  • Terkandung di dalam teks hadith perkara-perkara yang dilihat melampau yang mustahil bagi seorang Nabi SAW mengucapkan kata-kata tersebut.
  • Terkandung di dalam teks hadith perkara-perkara bid’ah yang diada-adakan dan tidak mempunyai asal serta perawi tersebut termasuk di dalam orang yang menyeru kepadanya.

Hukum Meriwayatkan Hadith Palsu

Para ulama’ menyatakan bahawa tidak dibolehkan atau haram bagi kita meriwayatkan hadith palsu apabila diketahui akan keadaannya (palsu) melainkan bagi menjelaskan akan kepalsuannya. Ini merupakan pendapat Imam Ibn Salah, Imam al-Nawawi, al-Suyuthi (911 H) dan ramai lagi termasuk ulama’-ulama’ hadith masa kini. Hukum ini terbina berdasarkan hadith-hadith berkaitan larangan keras Rasulullah SAW terhadap pendustaan di atas nama Baginda SAW.

Nabi SAW bersabda:

مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang berdusta di atas namaku, maka siaplah tempatnya di dalam neraka.” [Riwayat al-Bukhari (107)]

Kenapa Ada Hadith Maudhu’

Antara tujuan hadith palsu ini direka atau dicipta adalah:

  • Menyokong golongan-golongan tertentu termasuk golongan agama (aqidah), mazhab atau parti politik.
  • Dendam terhadap agama Islam dan juga umat Islam.
  • Menjauhkan manusia daripada agama.
  • Sifat keinginan terlalu tinggi untuk membawa merubah manusia ke arah agama.
  • Menginginkan habuan tertentu.

Istilah-istilah Hadis Palsu

  • Al-Mawdhu’ (الموضوع)
  • Tiada asal baginya (لا أصل له)
  • Bathil (الباطل)
  • Tiada sanad baginya (لا إسناد له)
  • Tidak sampai (kepada Nabi SAW) (ليس مرفوعا)`
  • Tidak diketahui dengan lafaz ini (لا يعرف بهذا اللفظ)`

Contoh Hadis Palsu

Antara hadis palsu yang popular di masyarakat kita ialah :

“Tuntutlah ilmu hingga ke negeri China”

“Barangsiapa yang membenarkan suaminya berpoligami akan dikurniakan payung emas di syurga”

Kesimpulan

Menjadi kewajipan kita semua sebelum membaca, menulis, mengajar, menyampai atau menyebarkan sesebuah hadith Nabi SAW perlulah dikenalpasti terlebih dahulu akan sumber dan status (hukum) hadith tersebut kerana bimbang dengan tidak menyatakan sumber dan hukum hadith akan terjerumus ke dalam ancaman Nabi SAW tersebut. Dengan cara ini, ia akan menjaga kesucian agama ini dan juga penyelewengan golongan-golongan yang ingin menghancurkan Islam.

Wallahua’lam

Sumber : Mufti Wilayah

0 Comments
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini