Maksud Hadis Hasan

Izuan
hadis hasan

Apa maksud hadis Hasan?

Hadith Hasan juga adalah hadith yang diketahui sumbernya dan dikenali perawi-perawinya atau hadith yang bersambung sanadnya oleh perawi yang adil tetapi kurang tahap hafalannya serta terselamat daripada syaz dan juga ‘illah (kecacatan). [Lihat: ‘Ulum al-Hadith wa Nusus min al-Athar, 124]

Beza antara hadis hasan dan hadis sahih :

Secara mudahnya hadith hasan ialah hadis yang menepati syarat hadis sahih, tetapi terdapat masalah dari segi hafalan perawinya. Maka kedudukan Hadis Hasan ialah di bawah Hadis Sahih.

5 Syarat Hadis Hasan

i) Sanad yang bersambung
ii) Perawi yang tsiqah (adil & dipercayai)
iii) Perawi yang dhobitnya kurang dari perawi hadis sahih
iv) Tiada illat (tiada kecacatan)
v) Tiada syaz (tidak bercanggah dgn dalil yg tsiqah)

Jenis Hadis Hasan

Menurut Imam Ibn al-Salah hadith Hasan terbahagi kepada dua:

Hasan li Zatihi (الحسن لذاته)

Hasan li Zatihi adalah hadith yang diriwayatkan oleh perawi yang adil tetapi kurang pada tahap hafalannya berserta sanadnya yang bersambung tanpa ada syaz dan ‘illah. Contoh hadis Hasan li Zatihi ialah:

Daripada Abi Umamah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ أَحَبَّ لِلَّهِ، وَأَبْغَضَ لِلَّهِ، وَأَعْطَى لِلَّهِ، وَمَنَعَ لِلَّهِ فَقَدِ اسْتَكْمَلَ الْإِيمَانَ

Maksudnya: “Barangsiapa berkasih sayang kerana Allah, marah kerana Allah, memberi kerana Allah dan menghalang sesuatu kerana Allah, maka telah sempurna iman.” [Riwayat Abu Daud (4681)]

Perawi-perawi di dalam hadith ini adalah thiqah (dipercayai) melainkan al-Qasim iaitu Abdulrahman al-Syami. Beliau merupakan seorang tabi’i dan beliau merupakan salah seorang perawi yang adil (tidak berdusta). Akan tetapi, para ahli hadith membincangkan berkaitan tahap hafalannya sehingga sebahagian ulama mengdhaifkannya dan sebahagian yang lain mengthiqahkannya. Justeru itu, hadith ini adalah hadith Hasan li Zatihi kerana salah seorang perawi di dalam sanad hadith dipertikai dari sudut tahap hafalannya dalam meriwayatkan hadith.

Hasan li Ghairihi (الحسن لغيره)

Hasan li Ghairihi pula adalah hadith yang diriwayatkan oleh perawi yang mastur atu dhaif yang mana perawi ini tidak banyak melakukan kesilapan dan tidak dituduh sebagai pendusta. Selain itu, riwayatnya boleh menjadi mutaba’at atau banyaknya jalur riwayat tersebut atau terdapat baginya syahid (sokongan daripada riwayat yang lain). Contoh hadith Hasan li Ghairihi ialah:

Daripada ‘Amir bin Rabi’ah, daripada bapanya berkata: Ada seorang wanita dari bani Fazarah telah bernikah dengan maharnya berupa sepasang selipar. Lalu Rasulullah SAW bertanya kepadanya:

أَرَضِيتِ مِنْ نَفْسِكِ وَمَالِكِ بِنَعْلَيْنِ؟ قَالَتْ: نَعَمْ، قَالَ: فَأَجَازَهُ

Maksudnya: “Apakah kamu redha ke atas diri kamu dengan dua selipar ini? Dia menjawab: Ya. Maka Nabi SAW membenarkannya.” [Riwayat al-Tirmizi (1113)]

Terdapat seorang perawi di dalam sanad hadith ini atau riwayat ini iaitu ‘Asim bin ‘Ubaidillah yang mana beliau merupakan seorang perawi yang buruk tahap hafalannya. Namun, hadith ini dihasankan kerana terdapat jalur lain yang menyokong serta mengangkat riwayat ini ke tahap Hasan li Ghairihi. Imam al-Tirmizi ada menyatakan bahawa di antara jalur lain bagi hadith ini adalah daripada jalur Umar, Abi Hurairah, Sahl bin Sa’ad, Anas bin Malik, Abi Sa’id dan beberapa orang lagi daripada kalangan sahabat R.anhum.

Hukum Hadis Hasan

Hadith Hasan secara umumnya boleh dijadikan hujjah di sisi jumhur ulama sepertmana hadith Sahih. [Lihat: al-Ba’ith al-Hathith, 46] Adapun, Hasan li Zatihi adalah hujjah di sisi ahli Hadith, manakala Hasan li Ghairihi juga boleh dijadikan sebagai hujjah. Akan tetapi, Imam al-Sakhawi meletakkan syarat pada hadith Hasan li Ghairihi untuk menjadi hujjah yang mana ia perlu mempunyai banyak jalur.\

Hadis Hasan Sahih

  • Hadith Hasan Sahih adalah hadith yang mempunyai dua sanad (jalur) dan satu sanadnya adalah hasan dan satu lagi sanadnya adalah sahih.
  • Hadith Hasan Sahih adalah hadith yang hasan pada matannya (makna) dan sahih pada sanadnya.
  • Hadith Hasan Sahih adalah hadith yang martabatnya atau kedudukannya lebih rendah daripada hadith Sahih tetapi ia lebih tinggi daripada hadith Hasan. [Lihat: al-Ba’ith al-Hathith, 52-53]
  • Hadith Hasan Sahih adalah disebabkan para ulama berselisih pandangan pada status hadith tersebut sama ada Hasan atau Sahih sekiranya hadith tersebut mempunyai satu sanad. Sekiranya hadith tersebut mempunyai dua sanad (jalur), maka berkemungkinan satu sanadnya hasan dan satu lagi adalah sahih.

sumber – mufti wilayah

Wallahua’lam

Subscribe
Notify of
0 Comments
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini