Apa Maksud Zuhud

zuhud

Zuhud ialah salah satu sifat mulia yang dianjurkan dalam Islam.

Keutamaan zuhud disebut pada hadis di bawah,

Daripada Abu Abbas Sahl bin Sa’ad Al-Sa’idi RA, dia berkata : Seorang lelaki mendatangi Rasulullah SAW, maka beliau berkata: “Wahai Rasulullah, tunjukkan kepadaku satu amalan yang jika aku kerjakan, Allah dan manusia akan mencintaiku. Baginda bersabda:

ازْهَدْ فِي الدُّنْيَا يُحِبَّك اللهُ، وَازْهَدْ فِيمَا عِنْدَ النَّاسِ يُحِبَّك النَّاسُ

Maksudnya“Zuhudlah terhadap dunia maka engkau akan dicintai Allah, dan zuhudlah terhadap apa yang ada pada manusia maka engkau akan dicintai manusia.”

Riwayat Ibn Majah (4102) dan selainnya dengan sanad-sanad yang hasan. Hadis hasan

Pengenalan

Apa erti zuhud?

Menurut bahasa, zuhud ialah berpaling daripada sesuatu atau tidak menghendaki kepada sesuatu kerana tiada mutu atau nilainya.

Manakala menurut syarak, zuhud ialah mengambil sekadar yang perlu daripada sesuatu yang diyakini halalnya.

Huraian makna zuhud menurut istilah dapat digambarkan sebagaimana berikut:

  • Benci kepada dunia dan berpaling daripadanya.
  • Meninggalkan kesenangan dunia kerana memilih kesenangan akhirat.
  • Hati tidak terpikat daripada sesuatu yang dikosongkan oleh tangan (yang tiada di tangan atau yang tidak dipunyai).
  • Menghindarkan duka atas yang tiada dan menghilangkan gembira dengan yang ada.

Tanda Zuhud Mengikut Imam Ghazali

1. Tidak terpengaruh oleh keberadaan dan ketiadaan harta.

العلامة الأولى أن لا يفرح بموجود ولا يحزن على مفقود كما قال تعالى لكيلا تأسوا على ما فاتكم ولا تفرحوا بما آتاكم 

Artinya, “Tanda pertama, tidak berbangga ketika berada dan tidak bersedih ketika tiada harta sebagaimana firman Allah, ‘Agar kalian tidak putus asa atas harta yang luput dan tidak berbangga dengan apa yang Allah berikan kepada kalian,’ (Surat Al-Hadid ayat 23),” (Imam Al-Ghazali, Ihya Ulumiddin, [Beirut, Darul Fikr: 2018 M/1439-1440 H], juz IV, halaman 252).

2. Tidak terpengaruh oleh pujian dan hinaan.

Artinya, “Tanda kedua, orang yang menghina dan memujinya sama saja baginya,” (Imam Al-Ghazali, 2018 M: IV/252).

3. Terhibur atau senang dengan Allah SWT. العلامة الثالثة أن يكون أنسه بالله تعالى والغالب على قلبه حلاوة الطاعة  Artinya, “Tanda ketiga, senang dengan Allah yang ditandai dengan kenikmatan ibadah dalam hatinya,” (Imam Al-Ghazali, 2018 M: IV/252).

Kalam Ulama Berkaitan Zuhud

  • Ali bin Abi Talib RA berkata: “Zuhud itu adalah jangan terlalu gembira apabila memperoleh keuntungan, dan jangan terlalu bersedih apabila memperoleh kerugian.”
  • Hasan al-Basri berkata: “Seorang yang zuhud adalah jika ia melihat orang lain ia berkata: ‘Ia lebih baik dariku.’”
  • Wahb bin al-Ward berkata: “Zuhud terhadap dunia ialah kamu tidak berputus asa terhadap yang hilang daripadamu (kenikmatan dunia) dan tidak pula bergembira dengan apa yang kamu perolehi (kenikmatan dunia).”
  • Al-Zuhri berkata: Ketika ditanya tentang zuhud, beliau menjawab: “Zuhud ialah mereka yang tidak hilang kesabarannya ketika berhadapan dengan perkara-perkara haram dan perkara-perkara halal tidak menghalangnya dari bersyukur.”
  • Sufyan bin Uyainah berkata: “Seseorang yang zuhud adalah jika mendapat nikmat ia bersyukur, dan jika ditimpa musibah ia sabar.”
  • Rabi’ah berkata: “Kemuncak zuhud yang paling utama adalah mengumpulkan sesuatu dengan cara yang sebenar dan meletakkannya pada tempat yang sepatutnya.”
  • Sufyan al-Tsauri berkata: “Zuhud terhadap dunia adalah pendek angan-angan. Bukan dengan memakan makanan yang tidak enak dan memakai pakaian yang buruk.

Kesimpulan

Zuhud tidak bermaksud miskin dan memakai pakaian buruk. Tetapi zuhud itu letaknya di hati, merasa cukup dengan pemberian Allah dan tidak terkesan dengan harta. Ada juga sahabat-sahabat nabi yang terkenal dengan kezuhudan mereka contohnya Abu Bakar, Abu Dzar al-Ghifari dan Abdurrahman Auf.

Imam Ahmad berkata: “Zuhud ada tiga jenis:

  • Meninggalkan yang haram. Ini adalah zuhudnya orang-orang awam.
  • Meninggalkan berlebihan daripada perkara-perkara yang halal, ini sebegini adalah zuhud orang-orang yang khowas (alim).
  • Meninggalkan sesuatu yang menyibukkan diri dari mengingat Allah. Ini adalah zuhudnya arifin (orang-orang yang memahami ajaran Islam dengan sempurna).” (Sila rujuk buku kami al-Kafi Syarah Hadis 40, hlm. 289-295)

Semoga kita diberi hidayah untuk bersifat zuhud terhadap dunia.

Wallahua’lam

Sumber – mufti wilayah, islam.nu, news.detik, rumaysho

0 Comments
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini