Kisah Abu Dzar al-Ghifari

Izuan
Abu dzar al-ghifari

Abu Dzar al-Ghifari ialah salah seorang sahabat nabi yang terawal memeluk Islam. Nama sebenarnya ialah Jundub ibn Junadah, berasal dari Ghifar(antara Syam dan Madinah).

Beliau terkenal dengan sifat zuhud dan tidak suka bermewah-mewah.

Biodata Abu Dzar al-Ghifari

Jundub ibn Junadah (Arab: جُندب بن جَنادة) atau lebih dikenali sebagai Abu Dzar al-Ghifari (ابو ذر الغافاري) adalah salah seorang sahabat nabi yang terawal. Beliau tinggal di Ghifar (antara Syam dan Madinah) bersama adiknya Jindab.

 Al-Ghifari merujuk pada nama suku Ghiffar. Suku Ghiffar dikenal sebagai perompak jalanan, sarang penyamun, sebelum datangnya Islam, yang amat ditakuti oleh masyarakat sekitar.

Keislaman Abu Dzar al-Ghifari

Al-Bukhari meriwayatkan dari Ibnu Abbas katanya,

Abu Dzar telah menceritakan “Aku adalah seorang dari qabilah Banu Ghaffar, dan telah sampai ke pengetahuan kami, telah muncul di Makkah sana seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai Nabi, maka dengan itu ku berkata kepada saudaraku “Cuba kamu pergi tengok lelaki itu kemudian cuba kau bercakap dengannya kemudian bawa kemari apa cerita yang sebenar, dengan itu beliau pun bertolak ke sana dan bertemu dengan Rasulullah kemudian pulang segera”.

Tanya Abu Zar kepada saudaranya itu “Apa yang kau dapat?”

Jawab saudaranya “Demi Allah sesungguhnya aku telah mendapati beliau adalah seorang lelaki yang sentiasa menyuruh manusia melakukan kebaikan semata-mata, di samping melarang dari melakukan kejahatan”,

Abu Dzar berkata “Ceritamu itu tidak memuaskan, kemudian aku ambil seuncang air dan tongkat untuk bermusafir ke Makkah, hingga ku tiba di sana, sebenarnya aku pun tidaklah kenal orangnya, namun aku tidak suka bertanya kepada orang lain, aku membuat rancangan, iaitu memadai dengan minum air zamzam dan duduk dalam masjid.

Kata Abu Dzar “Ali bin Abi Talib pun berlalu di hadapanku dan kata beliau; Tuan ini bagaikan dagang di sini”. Jawabku “Memang benar”.

Kata Ali “Ayuh ke rumahku, aku pun turut sahaja bersama-sama beliau tanpa bertanya khabar mengenai diriku dan aku pun seperti itu juga tanpa bertanyanya kepadanya sesuatu dan tidak pula menceritakan hasrat sebenar ke Makkah ini, bila subuh menjelang aku pun ke masjid untuk bertanya mengenai diri nabi Allah dan tidak seorang pun di situ, menceritakan daku mengenainya,

Bila Ali melalui di hadapanku, beliau berkata “Hai! masih belum menemui tempat yang hendak dituju itu”.

Jawabku ”Masih belum lagi”.

Kata Ali: Ayuh ikut aku, apa urusan kau yang sebenar? Dan apakah yang membawa tuan datang ke negeri ini?

Kataku: Sekiranya tuan boleh rahsiakan urusanku ini bolehlah daku ceritakan. Jawab Ali: Aku cuba.

Kataku: Sebenarnya telah sampai kepengetahuan kami, bahawa di sini ada seorang mendakwa dirinya sebagai nabi Allah, sebelum ini aku telah mengutus saudaraku untuk menemuramahnya, tapi kepulangannya dengan maklumat terbatas itu, tidak memuaskan hatiku, oleh itu aku hendak jumpa beliau sendiri.

Jawab Ali “Kau akan diberi petunjuk, kini aku hendak pergi menemuinya, kau ikut aku di mana aku masuk kamu masuk, sekiranya aku melihat seorang yang ku curigai, aku akan berhenti di tepi dinding pagar, seolah-olah hendak membetulkan tali kasutku, kau teruskan sahaja. Dengan itu beliau berjalan aku turut dari belakang, akhirnya aku masuk bersama beliau, menemui Rasulullah.

Aku berkata padanya “Ayuh perkenalkan Islam kepada ku, Baginda pun terus memperkenalkan Islam kepadaku, aku pun terus memeluk Islam”.

Kemudian Baginda berkata kepadaku “Wahai Abu Dzar, hendaklah kau rahsiakan perkara ini, sekarang kau boleh pulang, dan bila mana sampai pada kau berita perkembangan dan kebangkitan kami, kamu boleh tampil bersama kami”.

Setelah itu Abu Dzar dengan semangat yang membara menyatakan keislamannya di hadapan Kaabah, dia kemudian dibelasah beramai-ramai. Sehinggalah al-Abbas datang membebaskan dia, kemudian beliau berhadapan dengan mereka “Binasa kamu semua, kamu membelasah orang Ghaffar ini? Perjalanan dan perniagaan kamu melalui perkampungan qabilah Ghaffar”. Dengan itu mereka pun melepaskan Abu Dzar.

Kematian Abu Dzar al-Ghifari

Pada penghujung usianya, Abu Dzar memilih untuk memencilkan diri di al-Rabadhah. Hanya beliau dan isterinya sahaja yang tinggal di kawasan tersebut.

Isterinya iaitu Ummu Dzar pernah menceritakan:

“Ketika Abu Dzar hampir meninggal dunia aku menangis. Setelah itu Abu Dzar bertanya: “Apa yang menyebabkan kamu menangis?” Aku menjawab: “Apa lagi mampu menghalangku dari menangis kerana engkau bakal meninggal dunia di sebuah tempat terpencil sedangkan aku tiada tenaga (pembantu) untuk mengkebumikanmu. Aku juga tiada pakaian untuk mengkafankanmu.” 

Abu Dzar dengan yakin berkata: Aku pernah mendengar Rasulullah bersabda (kepada sekumpulan sahabatnya termasuk diriku)

“Seorang antara kamu akan meninggal dunia di sebuah tempat terpencil, lalu dia akan disaksikan (diuruskan) oleh sekumpulan orang beriman. (Setakat ingatanku) Tiada seorang pun dari orang yang mendengar sabda Rasulullah itu melainkan sudah mati sama ada di bandar atau dalam kumpulan manusia.”

Oleh itu (aku faham sabda Rasulullah itu) bahawa akulah orangnya yang akan mati di tempat terpencil(sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah itu). Demi Allah, aku tidak berdusta atas perkara ini dan aku juga tidak ditipu(oleh Rasulullah SAW dalam janjinya itu)

Musnad Ahmad

Setelah itu Abu Dzar mengarahkan isterinya melihat orang yang mungkin lalu lalang berhampiran tempat mereka.

Isterinya keluar tetapi tidak menemui sesiapapun kerana pada ketika itu musim haji sudah berlalu. Setelah itu dia kembali menemui Abu Dzar.

Ketika dia duduk bersama dengan Abu Dzar, tiba-tiba datang sekumpulan lelaki menghampiri mereka dan bertanya siapakah lelaki yang sedang nazak tersebut.

Setelah mengetahui beliau adalah Abu Dzar al-Ghifari R.A seorang sahabat Rasulullah S.A.W, rombongan tersebut segera datang untuk membantu pengebumiannya.

Sebelum meninggal dunia Abu Dzar meletakkan syarat bahawa orang yang bakal menguruskan pengkebumiannya tidak pernah memegang apa-apa jawatan atau tidak terlibat dengan urusan kerajaan. Ini kerana, beliau tidak mahu dirinya terpalit dengan sebarang syubhah atau penyelewengan yang mungkin pernah berlaku pada mereka ketika mereka memegang amanah kepimpinan.

Tetapi hampir semua ahli rombongan itu pernah terlibat dengan urusan kepimpinan dalam masyarakat kecuali seorang lelaki dari kaum Ansar.

Abu Dzar amat gembira, kemudian dengan serta merta menyatakan kepadanya : “Engkaulah orang yang aku minta mengkafani jenazahku nanti dengan jubahmu itu”. Tidak lama selepas itu, Abu Dzar meninggal dunia.

Lelaki tersebut akhirnya menguruskan pengkebumian Abu Dzar al-Ghifari R.A.

image 7
Makam Abu Dzar di Al-Rabadhah, Saudi Arabia

Kisah Sahabat – Keluarga Yasir, Ammar bin Yasir

Wallahua’lam

Subscribe
Notify of
0 Comments
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini