Abdul Rahman Bin Auf Jutawan Dermawan

Izuan
abdul rahman auf

Abdul Rahman Bin Auf atau nama sebenarnya Abu Amr merupakan sahabat nabi yang kaya dan dermawan. Beliau tergolong dalam golongan al-Sabiqun al-Awwalun dan salah seorang daripada 10 sahabat nabi yang dijanjikan syurga.

Beliau berasal daripada keturunan Bani Zuhrah. Beliau lahir pada tahun 580 Masihi di Makkah iaitu sepuluh tahun selepas Tahun Gajah. Beliau memeluk Islam melalui Saidina Abu Bakar r.a. Beliau wafat pada tahun 32 Hijrah bersamaan tahun 654 Masihi ketika berumur 74 tahun.

Kehidupan Abdul Rahman Bin Auf

Ketika di Makkah, beliau merupakan seorang peniaga yang berjaya. Beliau mempunyai harta yang amat banyak. Namun, ketika sampai seruan untuk berhijrah ke Madinah, beliau meninggalkan semua hartanya dan turut serta bersama Rasulullah. Di Madinah, beliau dipersaudarakan dengan seorang Ansar bernama Saad bin ar-Rabi’.

Kata Saad kepada Abdurrahman,

“Wahai saudaraku. Akulah orang paling kaya di antara ahli Madinah. Aku memiliki dua kebun dan dua isteri. Pilihlah kebun mana yang kau berkenan, ia milikmu. Pilihlah juga salah seorang isteriku, akan aku ceraikannya untukmu.”

“Semoga Allah memberkati keluarga dan hartamu. Tapi aku cuma nak minta kamu tunjukkan aku di mana letaknya pasar sahaja.” Jawab Abdul Rahman menolak tawaran Saad.

Maka Saad menunjukkan lokasi pasar kepada Abdurrahman. Lalu Abdurrahman berniaga di sana. Dalam tempoh yang singkat, beliau telah berjaya meraih keuntungan yang tinggi. Dengan mudah beliau mampu mengumpul wang untuk dijadikan mahar, lalu beliau berkahwin.

Usai itu Abdurrahman berjumpa Rasulullah dan menceritakan keadaannya kini. Rasulullah pun berdoa agar kekayaan Abdurrahman diberkati.

Abdurrahman menceritakan, “Sejak hari itu, aku merasakan kesenangan dunia tidak henti-henti datang kepadaku, sehingga kalau aku angkat batu pun, akan menjumpai emas di sebaliknya.”

Infaq Harta

Beliau terkenal sebagai seoarang yang kaya dan dermawan. Harta yang banyak tidak mengaburi mata beliau terhadap hakikat dunia ini. Dalam perang Tabuk, sumbangan beliau telah banyak membantu umat Islam.

Jihad harta juga merupakan satu jihad yang besar dan mulia. Tetapi tidak cukup dengan itu, beliau turut turun padang menyertai peperangan besar seperti perang Badar, Uhud , Khandak dan Tabuk.

Abdurrahman bin Auf juga mengajarkan erti zuhud kepada kita. Zuhud bukan bererti hidup miskin. Tetapi zuhud bermaksud kekayaan dunia tidak menguasai hati kita. Miskin tidak semestinya zuhud, jika minda dan hatinya sentiasa memikirkan soal harta. Kaya juga tidak semestinya tidak zuhud, jika hati dan mindanya senantiasa berpaut pada akhirat, tidak terkesan dengan yang mereka miliki atau apa yang belum mereka miliki.

Wallahua’lam

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini