al-Sabiqun al-Awwalun – Golongan Awal Memeluk Islam

Izuan
Al-sabiqun al-awwalun

Golongan yang dikenal dalam sejarah Islam sebagai generasi al-Sabiqun al-Awwalun, merujuk kepada golongan yang memeluk Islam pada awal penyebaran Islam.

Pada awal penyebaran Islam, Rasulullah berdakwah kepada orang-orang yang terdekat sahaja secara sembunyi. Orang yang menjadi sasaran dakwah Baginda ialah mereka yang mencintai kebenaran dan kebaikan. Kebiasaannya mereka ini telah mengenal peribadi Rasulullah yang terpuji dan sentiasa bercakap benar, menyebabkan mereka menyahut seruan Rasulullah tanpa sedikit pun keraguan.

Al-Sabiqun al-Awwalun, Generasi Pertama Islam

Sahabat yang memeluk Islam di hari pertama Rasulullah memperkenalkan dakwahnya :

  • Khadijah r.anha, Ummu al-Mukminin sebagai orang yang terawal menganut Islam.
  • Zaid bin Harithah bin Syurahbil al-Kalabi, orang suruhannya.
  • Ali Ibni Abu Talib yang masih kanak-kanak lagi, di bawah jagaan Rasulullah.
  • Abu Bakr al-Siddiq, sahabat yang paling rapat.

Abu Bakr menyusul pula sebagai penggerak dan pendakwah yang aktif, beliau merupakan tokoh yang disenangi dan mudah berkomunikasi dengan orang ramai lagi berakhlak mulia. Kaumnya sentiasa mendatangi beliau dan berdamping dengannya, kerana ilmu pengetahuan, perniagaan dan mulia pergaulannya.

Abu Bakar telah berjaya mengajak beberapa orang penting yang kemudiannya menjadi penyumbang besar terhadap perkembangan Islam.

Sahabat yang memeluk Islam di tangan Abu Bakar :

  • Uthman bin Affan al-Umawi
  • al-Zubair bin al-Awam al-Usdi
  • Abdul Rahman bin Auf al-Zuhri
  • Sa’d Ibn Abi Waqqas al-Zuhri
  • Talhah bin Abdullah al-Tayyimi

Di antara yang terawal juga ialah,

  • Bilal bin Rabah al-Habsyi
  • Amin al-Ummah
  • Abu Ubaidah ‘Amir bin al-Jarah dari Bani al-Harith bin Fihr
  • Abu Salamah bin Abdul al-Asad al-Makhzumi
  • al-Arqam bin Abu al-Arqam al-Makhzumi
  • Uthman bin Maz’un dan dua saudaranya Qudamah dan Abdullah
  • Ubaidah bin al-Harith bin al-Mutalib bin Abdul Manaf
  • Said bin Zaid al-Adawi al-Urus
    • isterinya Fatimah bin al-Khattab al-Adwiah adik perempuan Umar Ibni al-Khatab
  • Khabbab bin al-Arat
  • Abdullah bin Mas’ud al-Huzali

Dan ramai lagi selain mereka ini, mereka adalah dianggap sebagai lapisan terawal menganut Islam iaitu al-Sabiqun al-Awwalun. Mereka ini dari keturunan Quraisy, Ibnu Hisham telah menghitung mereka seramai empat puluh orang.

Di antara al-sabiqun al-awwalun ini, ada 10 orang sahabat yang dijanjikan syurga ketika masih di dunia lagi.

Ibn Ishak telah menyebut, kemudian maka masuklah bilangan yang ramai ke dalam Islam bertali arus tidak putus-putus menyebabkan keriuhan di Kota Makkah dan diperkatakan orang.

Namun kesemua mereka ini memeluk Islam secara rahsia, Rasulullah terus membuat pertemuan dengan mereka memberi pertunjuk kepada mereka mengenai hal agama secara bersembunyi, kerana dakwah masih lagi dalam kalangan orang terdekat dan secara rahsia.

Wahyu turun tanpa putus-putus lagi, iaitu selepas terturunnya awalan surah al-Muddasir, bahagian-bahagian surah yang turun di masa-masa ini merupakan ayat-ayat yang pendek-pendek, struktur ayatnya indah dan kemas, rentak-rentaknya adalah lembut, seni susunannya sesuai dengan tuntutan suasana yang damai, bertemakan pembersihan jiwa dan mengecam kerja-kerja pencemaran diri dengan noda-noda dunia.

Rasulullah SAW menggambarkan keindahan syurga dan keburukan neraka bagaikan berada di hadapan mata, dan membimbing manusia mukmin dalam satu suasana yang berbeza dari suasana masyarakat manusia di ketika itu.

Wallahua’lam

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini