7 Adab Puasa di Bulan Ramadhan

Izuan
adab puasa

Mengapa perlu jaga adab puasa di bulan Ramadhan?

Ini kerana, puasa Ramadhan merupakan salah satu ibadat yang besar ganjarannnya. Tetapi jika tidak dilaksanakan dengan baik dan tidak mengikut adab, hilanglah keberkatan dan ganjaran berpuasa itu. Yang mereka dapat hanya lapar dan dahaga.

Seperti sabda Nabi Muhammad SAW :

رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ

Boleh jadi orang yang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar

[Riwayat Ibnu Majah, no. Hadith 1690][Syeikh Syu’aib menilai hadith ini sebagai sahih dan sanadnya juga baik]

Adab Puasa

1. Menyegerakan berbuka

Rasulullah S.A.W bersabda yang maksudnya:

“Manusia sentiasa berada dalam kebaikan selama mereka menyegerakan berbuka.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Allah S.W.T berfirman dalam Hadis Qudsi yang bermaksud:

“Hamba-Ku yang paling Aku cintai adalah hamba-Ku yang menyegerakan berbuka.”

(Riwayat Tirmizi)

2. Berbuka dengan kurma

Anas bin Malik, mengatakan bahawa:

“Rasulullah S.A.W berbuka dengan kurma segar sebelum melaksanakan solat. Jika tidak ada maka Rasulullah S.A.W berbuka dengan kurma kering. Bila tidak ada juga, beliau akan berbuka dengan beberapa teguk air.”

(Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud dan at-Tirmizi)

Jika tiada kurma, maka berbukalah dengan air. Sebagaimana sabda Nabi S.A.W di dalam Hadis di bawah:

Dari Sulaiman bin Amir ad-Dhobbiy R.A, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Apabila salah seorang dari kamu berbuka, maka berbukalah dengan kurma. Jika tidak menemukannya, berbukalah dengan air kerana air itu membersihkan.”

(Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah)

3. Banyakkan berdoa

Antara adab puasa ialah berdoa, doa orang yang berpuasa itu tidak ditolak, sebagaimana dalam Hadis Riwayat Ibnu Majah (1753) dan dari Abdullah bin ‘Amr, maksudnya:

“Bagi orang berpuasa ketika berbuka,memiliki doa yang tidak tertolak.”

Dari Abu Hurairah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Tiga orang yang doa mereka tidak terhalang, iaitu imam (Pemimpin) yang adil, orang yang berpuasa hingga ia berbuka, dan orang yang dizalimi. Doa mereka dibawa ke atas awan dan dibukakan pintu langit untuknya, lalu Allah S.W.T berfirman, “Demi izzah-Ku, Aku akan menolongmu meski setelah beberapa waktu.”

(Hadis Riwayat Ahmad)

4. Mengakhirkan sahur

Rasulullah S.A.W bersabda yang maksudnya:

“Sentiasa umatku berada dalam kebaikan selagi mana mereka mempercepatkan berbuka puasa dan mengakhirkan makan sahur.”

(Riwayat Ahmad)

Dari Anas bin Malik berkata, Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud:

“Makan sahurlah kerana makan sahur itu berkat.”
 
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

5. Bersedekah

Sedekah dan Ramadan sangat sinonim antara satu sama lain. Oleh itu ada Hadis menyebut mengenai Rasulullah S.A.W , seorang manusia yang paling pemurah atau dermawan di bulan Ramadan.

Hadis Nabi S.A.W yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas R.A yang maksudnya:

“Adalah Rasulullah S.A.W seorang yang paling lembut (dermawan) dalam segala kebaikan. Dia seorang yang paling dermawan di bulan Ramadan ketika Jibril A.S datang menemui Beliau pada setiap malam di bulan Ramadan (Untuk membacakan al-Quran) hingga Quran selesai dibacakan untuk Nabi S.A.W. Apabila Jibril A.S datang menemui Beliau, maka Beliau adalah orang yang paling pemurah dalam segala kebaikan melebihi angin yang berhembus.”

(Shahih Bukhari no 1769)

6. Tidak melakukan maksiat

Adab puasa seterusnya ialah seseorang harus menjaga semua anggota tubuhnya daripada perbuatan yang tidak perlu. Dengan itu puasanya menjadi sempurna dan bersih. Banyak orang yang berpuasa memayahkan dirinya dengan lapar dan dahaga. Namun dalam masa yang sama ia membiarkan anggota tubuhnya berbuat maksiat sehingga merosakkan nilai puasanya dan mensia-siakan kepayahannya.

Sebenarnya meninggalkan maksiat adalah wajib bagi orang yang berpuasa mahupun orang yang tidak berpuasa. Tetapi orang yang berpuasa lebih utama untuk berhati-hati. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Puasa itu perisai. Maka pada hari kamu berpuasa, janganlah ia berkata-kata dan jangan berbuat kefasikan serta jangan menganggu orang lain. Jika ada orang memakinya atau memusuhinya, maka katakanlah: “Sesungguhnya aku berpuasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

7. Kurangkan tidur dan makan sekadarnya sahaja

Termasuk dalam adab puasa bahawa ia tidak banyak tidur di siang hari dan tidak banyak makan di waktu malam. Hendaklah ia makan sekadarnya sehingga ia merasakan sentuhan lapar dan dahaga supaya jiwanya menjadi baik dan nafsunya menjadi lemah serta hatinya menjadi terang. Itu rahsia puasa dan tujuannya.

Wallahua’lam

sumber – harakahdaily, muftiterengganu

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini