Zakat Fitrah

Izuan
zakat fitrah

Zakat fitrah ialah zakat yang diwajibkan ke atas setiap individu Muslim yang berkemampuan dengan syarat-syarat tertentu.

Maksud Zakat Fitrah

Zakat berasal dari perkataan Arab “al-zakat” yang membawa maksud suci, rahmat, berkat, berkembang , subur, bertambah dan sedekah.

Fitrah membawa makna “asal kejadian”, “keadaan yang suci”, dan “kembali ke asal”.

Zakat Fitrah secara istilahnya penyerahan yang diwajibkan ke atas setiap individu Muslim yang berkemampuan dengan syarat-syarat tertentu.

Tujuan zakat ini ialah membersih dan menyucikan jiwa mereka yang berpuasa daripada perkara yang sia-sia dan seterusnya bayaran fitrah tersebut dapat digunakan untuk membantu fakir dan miskin membuat persiapan menyambut Hari Raya.

Dalil Zakat Fitrah

وَأَقِيمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُوا۟ ٱلزَّكَوٰةَ وَٱرْكَعُوا۟ مَعَ ٱلرَّٰكِعِينَ

Dan dirikanlah salat, tunaikanlah zakat, dan rukuklah beserta orang-orang yang rukuk

(Surah al-Baqarah : 43)

Daripada Ibnu Umar : Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah memfardhukan Zakat Fitrah pada bulan Ramadan dengan kadar satu gantang daripada tamar atau satu gantang daripada gandum ke atas setiap yang merdeka dan hamba, lelaki dan perempuan di kalangan orang-orang Islam.

Fatwa Zakat Fitrah

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-60 yang bersidang pada 23 Oct 2003 telah membincangkan tentang Zakat Fitrah. Muzakarah telah memutuskan bahawa hukum zakat fitrah adalah wajib sekiranya cukup syarat wajib zakat fitrah iaitu:

  1. Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya.
  2. Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadhan dan hidup selepas terbenam matahari.
  3. Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan dan berkekalan Islamnya
  4. Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadhan

Waktu Menunaikan Zakat Fitrah

Waktu menunaikan zakat fitrah terbahagi kepada 5:

  1. Waktu Wajib
    Apabila terbenam matahari akhir Ramadhan sehingga terbit matahari satu Syawal.
  2. Waktu Afdal
    Sebelum sembahyang Hari Raya
  3. Waktu Sunat
    Sepanjang bulan Ramadhan
  4. Waktu Makruh
    Selepas sembahyang hari raya sehingga terbenam matahari satu Syawal.
  5. Waktu Haram
    Selepas terbenam matahari satu Syawal.

Kadar Zakat Fitrah

Kiraan zakat fitrah adalah satu sha(gantang) dan nilainya seperti yang dinyatakan oleh Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam kitabnya Fiqh al-Islami wa Adillatuh iaitu 2.751 kg.

Kadar ini berdasarkan ketentuan oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri-Negeri.

Cara Bayar Zakat

Pada zaman sekarang, terdapat banyak kaedah untuk bayar zakat. Kebiasaannya sepanjang Ramadan, terdapat kaunter zakat di masjid-masjid. Anda juga boleh pergi ke pejabat agama berdekatan untuk membayarnya. Seiring dengan perkembangan teknologi, zakat juga boleh dibayar secara online. Pembayaran online boleh dibuat di website zakat2u.

Wallahua’lam

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini