Memakai Wangian itu Sunnah dan Menguatkan Jiwa

Izuan
wangian

Rasulullah SAW menyukai wangian, bahkan baginda tidak pernah menolak pemberian seperti wangian.

Anas Bin Malik berkata :

إِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ لاَ يَرُدُّ الطِّيبَ

Maksudnya : “ Sesungguhnya Nabi SAW tidak pernah menolak (pemberian) minyak wangi.”

Riwayat Al-Tirmizi (2789)

Ibnu Umar berkata : Bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, ada tiga pemberian yang tidak boleh ditolak iaitu bantal minyak wangi dan susu.

Kenapa tidak boleh ditolak pemberian itu?

Abu Uthman Al Nahdi r.a menyatakan : Rasulullah SAW bersabda :Apabila diberikan minyak wangi kepada seseorang, maka tidak boleh ia menolaknya kerana sesuatu yang wangi itu berasal dari syurga.

Kelebihan Wangian Pada Kesihatan

Menurut Al-Imam Ibn Al-Qayyim rahimahullah(wafat 751H):

“Wangi-wangian yang harum baunya adalah santapan bagi ruh (atau jiwa), sementara ruh merupakan pencetus kekuatan. Dan kekuatan dapat dipertingkatkan (atau dicetuskan) dengan bantuan wangi-wangian, kerana ianya bermanfaat merangsang otak dan jantung, serta seluruh organ tubuh dalaman. Wangi-wangian mampu membuat hati gembira, menenangkan jiwa, dan menyegarkan semangat dalaman. Wangi-wangian adalah aroma yang paling serasi dengan ruh. Hubungan dan keterikatan antara ruh dan wangi-wangian amatlah erat. Wangi-wangian adalah salah satu dari perkara-perkara dunia yang amat disukai oleh Nabi, semoga selawat dan salam dilimpahkan untuknya.” (Zaad Al-Ma’ad, 4/256)

Wangian Lelaki Vs Perempuan

Ada sedikit perbezaan berkaitan jenis wangian yang dianjurkan bagi kaum Adam dan Hawa.

Ini kerana di dalam sebuah hadis, Nabi SAW telah bersabda:

إِنَّ خَيْرَ طِيبِ الرَّجُلِ مَا ظَهَرَ رِيحُهُ وَخَفِيَ لَوْنُهُ وَخَيْرَ طِيبِ النِّسَاءِ مَا ظَهَرَ لَوْنُهُ وَخَفِيَ رِيحُهُ

Maksudnya: Sesungguhnya wangian yang baik bagi lelaki adalah yang terzahir baunya dan tidak jelas warnanya dan wangian yang baik bagi wanita adalah yang terzahir warnanya dan tidak begitu kuat baunya.

Riwayat Al-Tirmizi (2788). Dinilai sahih oleh al-Albani.

Al-Hasan mengatakan kemungkinan yang dimaksudkan dengan wangian wanita itu adalah wangian ketika keluarnya mereka dari rumah iaitu wangian yang jelas warnanya seperti za`faran dan baunya tidak pula kuat dan jelas. Adapun apabila bersama suaminya (tidak dikhalayak) maka berwangi-wangianlah dengan apa yang disukai olehnya.

Larangan Bagi Wanita Memakai Wangian Yang Kuat Baunya

Terdapat sebuah hadis yang boleh dijadikan perbincangan di dalam isu ini. Ia adalah sebuah hadis daripada Abu Musa al-Asy`ari RA bahawa Nabi SAW telah bersabda:

أَيُّمَا امْرَأَةٍ اسْتَعْطَرَتْ فَمَرَّتْ عَلَى قَوْمٍ لِيَجِدُوا مِنْ رِيحِهَا فَهِيَ زَانِيَةٌ

Maksudnya: Mana-mana perempuan yang mengenakan wangian dan berjalan melewati satu kaum dan didapati bau darinya maka perempuan itu adalah penzina.

Riwayat Abu Daud (4173) & Al-Nasa’ie (5126). Hadis ini dinilai sebagai hasan

Al-Imam al-Munawi menjelaskan tentang hadis di atas:

Maksudnya: dan perempuan jika mengenakan wangian lalu melewati satu majlis (yang padanya terdapat lelaki-lelaki) maka ia mampu menaikkan syahwat lelaki-lelaki dan mendorong untuk memandang kearahnya, maka setiap yang memandang kearahnya, maka matanya telah melakukan zina. Perempuan itu mendapat dosa kerana telah memancing pandangan kearahnya dan menjadikan hati lelaki tidak tenang. Makanya, ia adalah sebab berlakunya zina mata dan ia termasuk penzina. [Lihat Faydh al-Qadir. Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, 5/27]

Adapun mengenakan sedikit wangian-wangian bagi tujuan menghilangkan bau badan seperti memakai deodorant, bedak talcum, sabun dan sebagainya, ini tidaklah termasuk di dalam kategori yang disebutkan di dalam hadis Nabi SAW sebelum ini

Wallahua’lam

sumber – muftiwp, ilmusunnah

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini