Waktu Haram Solat

Izuan
waktu haram solat

Kenapa ada waktu haram solat?

Walaupun solat itu ibadah yang utama dalam agama Islam, tapi ada sebahagian waktu yang dilarang solat.

Terdapat lima waktu yang dilarang solat seperti yang disebutkan di dalam kitab al-Muqaddimah al-Hadhramiah:

تحرم الصَّلَاة فِي غير حرم مَكَّة وَقت طُلُوع الشَّمْس حَتَّى ترْتَفع قدر رمح وَوقت الاسْتوَاء إِلَّا يَوْم الْجُمُعَة حَتَّى تَزُول وَوقت الاصفرار حَتَّى تغرب وَبعد صَلَاة الصُّبْح حَتَّى تطلع وَبعد صَلَاة الْعَصْر حَتَّى تغرب

Maksudnya: Diharamkan solat selain di Masjidil Haram di Mekah i) pada waktu terbit matahari sehinggalah ia naik pada kadar segalah. ii) Juga pada waktu istiwa’ (matahari rembang) kecuali pada hari Jumaat sehingga gelincir matahari. iii) Waktu senja sehingga terbenam matahari. iv) Waktu selepas solat Subuh sehingga terbit matahari. v) Waktu selepas solat Asar sehingga terbenam matahari.[1] (Rujuk al-Muqaddimah al-Hadhramiah, 58)

Ringkasnya, waktu yang diharamkan untuk solat ada lima : Tiga berhubung dengan waktu dan dua berhubung dengan perbuatan.

Waktu diharamkan solat yang berhubung dengan waktu

1. Dari terbit matahari sehingga tegak dengan kadar tombak dengan pandangan mata iaitu bersamaan 16 minit.(dalam tempoh 16 minit setelah matahari terbit)

2. Dari istiwa (pembahagi dua) matahari sehingga zawal (gelincir).Tempohnya terlalu singkat, diharamkan solat ketika ini.
– Istiwa adalah : matahari berada di tengah-tengah langit
– Zawal adalah : condongan matahari di tengah-tengah langit

3. Dari langit kelihatan kekuning-kuningan sehingga maghrib.

Waktu diharamkan solat yang berhubung dengan perbuatan

1. Selepas melaksanakan solat subuh sehingga terbit matahari

2. Selepas melaksanakan solat asar sehingga terbenam matahari

Solat-solat yang diharamkan pada waktu yang diharamkan untuk solat, (waktu yang lima) terbahagi kepada dua:

1) Solat-solat sunat kerana sabab muta’akkhir (sebab terkemudian):

a) Solat sunat ihram
b) Solat sunat istikharah
c) Solat sunat keluar dari rumah
d) Solat sunat musafir
e) Solat sunat hajat

2. Solat sunat mutlak iaitu solat yang tanpa sebab dan tiada waktunya,seperti solat tasbih dan sebagainya yang tiada waktu yang khusus untuk melaksanakannya.

Solat Sunat Yang Dibenarkan Pada Waktu Haram

Jika berada di Tanah Haram Mekah : iaitu di dalam masjid haram dan kawasan-kawasan tanah haram di mekah, maka dibolehkan solat di kawasan ini pada bila-bila waktu tanpa ada waktu yang diharamkan.

Solat-solat sunat kerana sabab mutaqaddim (sebab terdahulu) seperti solat sunat wudhu dan solat sunat tahiyat masjid ataupun kerana sabab muqaran (sebab bergandingan) seperti solat gerhana matahari dan bulan

Hukum Solat Ketika Khutbah Jumaat

Apabila khatib sedang berkhutbah di atas mimbar,maka diharamkan untuk solat walaupun solat itu adalah solat qada kecuali solat sunat tahiyat masjid dan diwajibkan untuk meringankan (mempercepatkan) solat tahiyat masjid itu dan tidak boleh menambah dua rakaat lagi selain dari solat tahiyat masjid yang tadi.

Wallahua’lam

Subscribe
Notify of
0 Comments
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini