Cara Solat Istikharah Ringkas Serta Niat dan Doa

Izuan
solat istikharah jakim

Solat Istikharah adalah solat yang dilakukan bertujuan memohon petunjuk daripada Allah untuk membuat satu keputusan dalam hidup kita. Kebiasaan masyarakat kita, tujuan solat istikharah berkaitan urusan jodoh dan pekerjaan.

Solat ini boleh dilakukan 2 rakaat, sebaik-baiknya dikerjakan pada waktu malam (qiamullail) bersama-sama solat tahajjud dan solat taubat.

Maksud Solat Istikharah

Apa itu Solat Sunat Istikharah?

Asal bagi perkataan istikharah ialah daripada perkataan خير yang membawa makna kebaikan. Penambahan huruf Alif, Sin dan Ta’ menambah lagi maknanya. استخار  membawa makna memohon pilihan. Inilah yang dinyatakan oleh Ibnu Munzir di dalam Lisan al-Arab.

Maksud Solat Istikharah ialah solat sunat yang dilakukan untuk memohon petunjuk Allah SWT dalam memilih atau melakukan sesuatu perkara atau urusan.

Dalil Solat Istikharah

Daripada Jabir Bin Abdullah,

Maksudnya : “Rasulullah saw pernah mengajarkan kami tentang memohon pilihan bagi semua perkara (istikharah) sepertimana Baginda mengajarakan kami surah daripada al-Quran. Baginda bersabda : Jika salah seorang dari kalian gusar tentang satu perkara maka rukuklah dua rakaat selain dari yang fardu.

Riwayat al-Tirmizi (480),Ibnu Majah (1383),
Imam al-Tirmizi menyatakan bahawa hadis ini bertaraf hasan sohih ghorib.

Hukum solat isktikharah adalah sunat.

Bila Waktu Solat Istikharah?

Solat sunat istikharah boleh dilakukan bila-bila masa pun, tetapi masa terbaik yang disarankan adalah pada tengah malam, iaitu tepatnya di sepertiga malam. Solat ini juga sangat sesuai untuk didirikan semasa berqiyamullail.

Cara Solat Istikharah

Solat istikharah boleh ditunaikan dengan dua rakaat atau sehingga 12 rakaat dengan enam kali salam.

Kaifiat Solat Istikharah:

Niat Solat Istikharah

niat solat sunat istikharah
usolli sunnatal istikharati raka’taini lillahi taala

“Sahaja aku solat sunat isthikarah dua rakaat kerana Allah Taala.”

Rakaat Pertama

1. Dimulakan dengan takbir dan berniat dalam hati.
2. Membaca doa iftitah.
3. Membaca surah al-Fatihah.
4. Dianjurkan membaca surah al-Kafirun.
5. Rukuk dan iktidal.
6. Sujud, duduk antara dua sujud dan sujud kali kedua.

Rakaat Kedua

1. Dimulakan dengan lafaz takbir permulaan rakaat kedua.
2. Membaca surah al-Fatihah.
3. Dianjurkan membaca surah al-Ikhlas.
4. Rukuk dan iktidal.
5. Sujud, duduk antara dua sujud dan sujud kali kedua.
6. Membaca doa istikarah ketika sujud akhir;

zikir istikharah
Bacaan pada sujud akhir istikharah

7. Duduk tahiyyat akhir.
8. Memberi salam.
9. Baca surah al-Fatihah dan berwirid. Perbanyak istighfar dan memohon keampunan Allah SWT.
10. Membaca doa solat sunat istikharah.

doa istikharah

Maksud Doa Istikharah :

“Ya Allah, aku memohon agar memilih mana yang baik menurut Engkau ya Allah.

Aku juga memohon diberikan kepastian dengan ketentuanMu dan aku memohon dengan kemurahanMu Tuhan yang Maha Agung.

Sesungguhnya Engkau Tuhan yang Berkuasa, sedangkan aku tidak tahu. Engkau Tuhan yang amat mengetahui segala sesuatu yang masih tersembunyi.

Ya Allah! Jika menurut pendapatMu urusan ini (sebutkan perkara tersebut) memberi kebaikan bagiku untuk agamaku, kehidupanku, dan pekerjaanku, maka takdirkanlah ia bagiku dan berkatilah ia padaku.

Jika menurut pengetahuanMu bahawa urusan ini (sebutkan perkara tersebut) memberi keburukan bagiku untuk agamaku, kehidupanku dan pekerjaanku, maka ku mohon agar Engkau jauhkan ia daripadaku dan kurniakanlah bagiku hanya kebaikan di mana sahaja aku berada. Jadilah aku orang yang redha atas anugerahMu.”

Soal Jawab Berkaitan Solat Istikharah

Jawapan istikharah tu melalui mimpi, betul ke?

Walau bagaimanapun, telah menjadi kepercayaan masyarakat kita bahawa jawapan istikharah yang dilakukan oleh seseorang mestilah datang dalam bentuk mimpi ketika dia tidur. Hal ini seperti yang didakwa banyak pihak apabila melihat salah satu pilihannya di dalam mimpi, lalu mereka memilih berdasarkan mimpinya tersebut. Namun sebenarnya perkara tersebut tiada sandaran di dalam syarak dan tidak disyaratkan jawapan tersebut melalui mimpi sahaja.

Bahkan, para ulama’ menyatakan bahawa antara petunjuk yang diberikan Allah SWT kepada orang yang melaksanakan istikharah ialah dengan apa yang dilapangkan dadanya dalam membuat keputusan.

Hal ini disebutkan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Adzkar dengan berkata:

وَإِذَا اسْتَخَارَ مَضَى بَعْدَهَا لِمَا يَنْشَرِحُ لَهُ صَدْرُهُ ، والله أعلم

Maksudnya: Dan apabila seseorang itu selesai melaksanakan istikharah, maka hendaklah dia melakukan urusannya menurut apa yang dilapangkan dadanya untuk membuat keputusan. WaAllahu a’lam.[10]

Buat Solat Istikharah banyak kali, tapi masih tiada jawapan…

Istikharah ini berkait rapat dengan hati. Jika hati kita kotor mana mungkin dapat petunjuk daripada Allah. Ada orang melakukan ibadah yang sunat sahaja, tetapi tidak solat fardu. Sebab itulah solat istikharah itu tak dapat (Petunjuk).

Jangan lupa solat taubat ye.

Tanda Istikharah Terjawab

Tanda istikharah terjawab biasanya melalui gerak hati (rasa lebih cenderung & kuat) dan dipermudahkan urusan yang mana baik.

Perlu diketahui bahawa apabila kita sudah melakukan solat istikharah, bukanlah kita akan bermimpi atau melihat suatu kejadian yang ajaib, tetapi biasanya apabila perkara yang akan kita lakukan itu elok bagi kita teruskan maka tandanya akan jadi mudah segala hal yang berkaitan dengannya dan begitu pula sebaliknya.

Wallahua’lam

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini