Ulama

Karya Tulisan Hasan al-Banna

Muhammad Izuanuddin
tulisan hassan al-banna

As-Syahid Imam Hassan al-Banna pernah ditanya, ‘Mengapakah awak tidak mengarang buku?’ Imam Hasan Al-Banna menjawab, ‘Saya ‘menulis’ manusia.’ Ini bermakna beliau melatih manusia dari segi akhlak dan ilmu untuk perjuangan Islam. Walau bagaimanapun beliau ada menulis beberapa buah buku :

1. ‘Muzakirat ad-Da’awah wa-Dai’yiah’ (Catatan Dakwah dan Pendakwah).

Inilah hasil karyanya yang terulung. Buku ini terbahagi kepada dua bahagian. Bahagian pertama menyentuh kehidupan peribadinya dan bahagian kedua pula ialah mengenai kegiatan Ikhwanul Muslimin.

2. ‘Risaail-Al-Imamu-Syahid.’

Buku ini ialah himpunan beberapa makalah yang disusunnya pada waktu waktu tertentu sepanjang hayatnya. Buku ini terbahagi kepada tajuk-tajuk yang berikut:

I. ‘Risalatu Ta’alim.’

Risalatu Ta’alim mengandungi arahan-arahan yang diberinya kepada orang yang memasuki gerakan Ikhwanul Muslimin. Ia ditunjukkan kepada para ahli Ikhwanul yang telah berbai’ah.

Dalam buku kecil ini, dia menjelaskan sepuluh dasar bai’ah: Seterusnya Imam Hasan Al-Banna menerangkan segala kewajipan ahli-ahli Ikhwan di dalam semua bidang kehidupan selepas sahaja melakukan bai’ah. Beliau juga menetapkan peraturan-peraturan yang perlu di ikuti dan yang patut ditinggalkan.

II. Risalah Jihad

Makalah ini menerangkan kewajipan, kepentingan dan kelebihan Jihad. Imam Hasan Al-Banna menulis makalah ini ketika para sukarelawan ‘Ikhwanul Muslimin’ melancarkan Jihad terhadap Yahudi Palestin. Manakala ini merupakan panduan untuk para mujahidin Islam.

III. Da’watuna Fi Taauri Jadid

Makalah ini bermaksud ‘Dakwah kami di tahap baru’. Makalah ini ditulis ketika gerakan Ikhwanul Muslimin sedang pesat berkembang dan ramai para belia sedang menganggotainya. Para penentang juga menyatakan keraguan mereka terhadapnya. Imam Hasan Al-Banna juga menjelaskan, setiap kecaman yang ditunjukkan kepada Ikhwan oleh para penentangnya. Beliau menerangkan bahawa gerakan Ikhwan ini tidak terhad kepada mana-mana kumpulan tertentu tetapi ia sebenarnya adalah bercorak sejagat dan merangkumi seluruh umat manusia. Beliau juga menerangkan bahawa gerakan Ikhwan berdasarkan Iman dan akal. Makalah ini juga menerangkan pendapat Ikhwan mengenai fahaman kebangsaan Mesir, fahaman kebangsaan Arab, fahaman Orientalisme (Ketimuran) dan fahaman Universalisme (kesejagatan) yang sedang melanda Mesir.

Berhubung dengan perkara ini, Ikhwan berpendapat seperti berikut:

‘Kami ingin menegakkan sebuah negara Islam di Mesir. Negara Islam ini akan mengamalkan dasar-dasar Islam; menyatukan orang-orang Arab dan memelihara kebajikan mereka dan menyelamatkan umat Islam di seluruh dunia daripada penindasan dan kekejaman. Di samping itu, negara Islam ini akan menyebarkan Islam dan menguatkuasakan undang-undang Allah.’

Di akhir makalah ini, Hasan Al-Banna menyatakan hasratnya hendak membina sebuah masyarakat yang terdiri daripada orang-orang perseorangan dan keluarga keluarga yang berpegang teguh kepada Islam.

IV. Ar-Risail Ats-Tsalaasah

Karya Hasan Al-Banna yang ini pula terdiri daripada tiga makalah.

Tajuk makalah yang pertama ialah ‘Apakah tugas kita?’. Tajuk makalah yang kedua ialah ‘Ke arah mana kita menyeru manusia?’. Tajuk makalah yang ketiga pula ialah ‘Risalah Cahaya’.

Sebenarnya makalah yang ketiga itu ialah surat Hasan Al-Banna kepada Raja Mesir Shah Faruq, Perdana Menteri Mesir Nihas Pasya dan para pemimpin Negara-negara Muslim yang lain. Surat tersebut ditulis dalam tahun 1936.

Surat ini menerangkan dengan panjang dasar-dasar Islam, kebudayaan dan tamadun Islam. Beliau menyatakan kesalnya kerana orang-orang Islam telah mengamalkan cara hidup Barat sedangkan mereka mempunyai dasar fahaman (ideologi) mereka sendiri yang lebih hebat. Beliau juga membuat perbandingan antara cara hidup Islam dengan cara hidup Barat. Sebagai kesimpulan, beliau menegaskan bahawa hanya Islam sahajalah yang merupakan penyelesaian kepada segala masalah dan ia juga boleh menjamin kemajuan dan kebahagian kepada sesebuah negara. Akhir
sekali beliau memberi lima puluh cadangan. Sepuluh cadangan berkaitan dengan politik, perundangan dan pentadbiran. Tiga puluh cadangan menyentuh dasar-dasar kemasyarakatan dan pendidikan. Sepuluh cadangan yang terakhir itu berhubung dengan masalah ekonomi.

V. Perbandingan antara yang dulu dan sekarang

Makalah ini ialah yang pertama sekali ditulis oleh Imam Hasan Al-Banna. Ianya ditulis sejurus sebelum meletusnya Perang Dunia Pertama. Dalam makalah ini, beliau menerangkan dasar-dasar Islam dan ciri ciri pembaharuan ummah. Pada peringkat awal, beliau membincangkan negara Islam pertama yang berlandaskan Al-Quran di bawah pimpinan baginda Rasulullah (s.a.w.) sendiri. Berikutnya, beliau menyentuh sebab-sebab kejatuhan umat Islam. Akhirnya, beliau mengatakan bahawa Ikhwanul Muslimin mengajak manusia kepada kesejahteraan yang berkekalan.

VI. Risalatul Mu’tamarul Khamis

Makalah ini merupakan syarahan Hasan Al-Banna di dalam Muktamar Kelima Ikhwanul Muslimin. Dalam syarahannya ini beliau menilai kembali pencapaian Ikhwanul Muslimin sepanjang sepuluh tahun yang lepas.

Tiga perkara telah dibincangkan:

i) Matlamat Ikhwanul Muslimin dan corak (uslub) dakwahnya;
ii) Dasar-dasar dan cara-cara Ikhwanul Muslimin;
iii) Sikap dan dasar Ikhwanul Muslimin terhadap berbagai pertubuhan dan dasar-dasar fahaman lain di Mesir.

VII. Ikhwanul Muslimin di bawah panji-panji Al-Quran

Makalah ini merupakan syarahan Imam Hasan Al-Banna pada 4hb April, 1939 M., di perhimpunan agung Ikhwanul Muslimin yang diadakan di ibu pejabat Ikhwan di Kaherah. Dalam syarahan ini, matlamat dan tujuan Ikhwan telah dijelaskan. Beliau juga membincangkan tugas serta kewajipan para belia. Makalah ini juga mengemukakan saranan supaya dilakukan pemberontakan terhadap kuasa-kuasa penjajah yang sedang menghancurkan masyarakat Mesir.

VIII. Persoalan persoalan negara dari segi kaca mata Islam

Imam Hasan Al-Banna manulis makalah ini selepas tertubuhnya negara Pakistan. Beliau membincangkan masalah masalah politik negara Mesir dan negara Islam yang lain. Turut dibincangkan ialah negara baru Pakistan yang sedang diancam oleh India dengan bantuan pihak Komunis. Beliau membahagikan masalah yang dihadapi oleh negara Mesir kepada dua bahagian. Di samping itu, beliau juga membentangkan cara-cara untuk menyelesaikan masalah tersebut. Dalam bahagian pertama, beliau membincangkan segala keburukan yang ada corak kerajaan waktu itu dan kemudian beliau Memberi penyelesaian kepada masalah tersebut menurut dasar-dasar Islam. Dalam bahagian kedua, dasar ekonomi diperbincangkan. Seterusnya, beliau menghuraikan sistem ekonomi Islam dan penyelesaian kepada masalah ekonomi Barat.

3. Syarahan Imam Hasan AI Banna.

Buku ini mengandungi syarahan dan kuliah Hasan Al-Banna. Ia merupakan satu khazanah ilmu.

4. Maqalat Hasan Al-Banna.

Buku ini ialah himpunan nasihat nasihat dan arahan Imam Hasan Al-Banna kepada sahabat-sahabat dan para anggota Ikhwanul Muslimin

5. Al-Ma’thurat

Buku ini ialah himpunan do’a-do’a dan zikir yang disusun oleh Imam Hasan Al-Banna sendiri. la dibaca beramai-ramai oleh para anggota Ikhwan sebelum solat Maghrib. Ia merupakan pembaharuan ikrar mereka kepada Allah dalam menjalankan dakwah Islamiah.

Wallahua’lam

Subscribe
Notify of
0 Comments
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini