Sunnah Buka Puasa Seperti Nabi Muhammad
22 Mac 2022
Ketika berbuka puasa, ada beberapa sunnah yang jika diamalkan nescaya akan mendapat ganjaran yang besar dan ibadat puasanya lebih diberkati.
1. Menyegerakan berbuka puasa
Hal ini, disebut di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim di dalam kitab sahih mereka.
- Daripada Sahl bin Sa’ad RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
لاَ يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوا الفِطْرَ
Manusia itu akan sentiasa berada di dalam kebaikan selagimana mereka mempercepatkan berbuka puasa.
HR. Al-Bukhari, no. 1957 & Muslim, no. 1098
2. Membaca doa buka puasa
Terdapat satu hadith di dalam Sunan Abi Daud:
- Daripada Ibn Umar RA berkata, bahawa Nabi SAW apabila hendak berbuka, Baginda SAW membaca (doa):
ذَهَبَ الظَّمَأُ، وَابْتَلَّتِ الْعُرُوقُ، وَثَبَتَ الْأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ
Telah hilang dahaga, telah basah urat-urat dan telah ditetapkan pahala insyaAllah.
Tambahan pula, terdapat satu lagi doa yang masyhur dalam masyarakat kita apabila hendak berbuka adalah:
- Daripada Muaz bin Zuhrah, telah sampai kepadanya bahawa Nabi SAW bersabda apabila hendak berbuka:
اللَّهُمَّ لَكَ صُمْتُ، وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْتُ
Ya Allah Ya Tuhan kami kerana Engkau aku berpuasa dan dengan rezeki Engkau aku berbuka.
3. Berbuka puasa dengan kurma atau tamar
Anas bin Malik, mengatakan bahawa:
“Rasulullah S.A.W berbuka dengan kurma segar sebelum melaksanakan solat. Jika tidak ada maka Rasulullah S.A.W berbuka dengan kurma kering. Bila tidak ada juga, beliau akan berbuka dengan beberapa teguk air.”
(Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud dan at-Tirmizi)
4. Tidak makan berlebihan
Masyarakat kita ketika berbuka puasa, makan sehingga tidak ingat dunia. Perut yang kenyang akan menjadikan badan kita berat untuk beribadat. Bulan Ramadan yang penuh dengan ganjaran dan keberkatan ini perlulah dimanfaatkan sepenuhnya. Nanti ada tarawih pula lepas Isya’, jadi makanlah sekadarnya.
Allah berfirman dalam Al-Quran :
” Wahai anak cucu Adam! Pakailah pakaianmu yang bagus di setiap (memasuki) masjid, makan dan minumlah, tetapi jangan berlebih-lebihan. Sungguh, Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan.” (surah al-A’raf : 31)
5. Memberi makan kepada orang lain yang berbuka puasa
Daripada Zaid bin Khalid, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:
مَن فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثلُ أَجْرِهِ، غَيْرَ أَنَّهُ لَا يَنْقُصُ مِن أَجْرِ الصَّائِمِ شَيئًا
Siapa yang memberi makan orang yang berpuasa maka baginya pahala seumpamanya tanpa sedikitpun kurang pahala orang berpuasa.
Wallahua’lam



