Solat Isyraq

Solat isyraq

Solat Isyraq ialah solat sunat yang dilakukan pada pagi hari sebagai tanda syukur kepada Allah kerana memberi peluang kepada kita untuk bangkit lagi pada hari itu. Selagi kita hidup di dunia, peluang bertaubat sentiasa terbuka.

Kelebihan Solat Isyraq

Dari Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu dia berkata, Rasulullah SAW bersabda:

 مَنْ صَلَّى الْغَدَاةَ فِى جَمَاعَةٍ ثُمَّ قَعَدَ يَذْكُرُ اللَّهَ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ كَانَتْ لَهُ كَأَجْرِ حَجَّةٍ وَعُمْرَةٍ تَامَّةٍ تَامَّةٍ تَامَّةٍ

 “Sesiapa solat Subuh berjemaah, kemudian duduk berzikir kepada Allah  sehingga naik matahari dan mengerjakan solat dua rakaat (Solat Sunat Isyraq). Maka adalah baginya pahala seperti pahala Haji dan Umrah yang sempurna, sempurna, sempurna.”  (Hadis Riwayat, At-Tirmidzi dan , ath-Thabrani r.a.)

Waktu Solat Isyraq

Solat Sunat Isyraq dua rakaat ini dikerjakan selepas waktu Syuruk iaitu setelah matahari naik anggaran setengah galah (4 hasta atau 1.5 meter), untuk lebih selamat, kira-kira 10 minit setelah terbit matahari.

Tidak boleh serta merta solat sunat setelah waktu Syuruk(tamat waktu Subuh/terbit matahari) supaya  ia tidak menyamai orang yang menyembah matahari.  Waktu ini juga adalah haram untuk melakukan sebarang solat berdasarkan dalil di bawah,

Dari Abdullah bin ‘Umar r.a.,katanya Rasulullah shallallahu’ alaihi wa sallam bersabda: “Waktu Subuh adalah sejak terbit fajar hingga terbit matahari. Apabila matahari terbit, berhentilah solat kerana dia terbit antara dua tanduk syaitan.”  (Hadis Riwayat, Muslim r.a.)

Waktu solat ini lebih kurang 30 minit, setelah itu dikira waktu Dhuha.

Cara Solat Sunat Isyraq

Rakaat solat Isyraq ialah dua.

Tatacara solat sama seperti solat lain iaitu bermula dengan niat,

Niat solat isyraq
 Usolli Sunnatal Isyraqi Rak’ataini Lillahi Ta’ala 

“Sahaja aku solat sunat isyraq dua rakaat kerana Allah Taala”

Kemudian baca surah al-Fatihah, surah lazim, rukuk, iktidal, sujud seperti biasa dan diakhiri dengan salam.

Doa setelah Solat Isyraq

0FDD401C C1CD 4C83 A48C 0EA3951162C1

Anda boleh juga membaca al-Ma’thurat atau zikir pagi yang anda biasa amalkan.

Setelah itu jika ada masa lapang, boleh teruskan dengan solat Dhuha pula. Solat Dhuha merupakan satu amalan yang bagus untuk menjemput rahmat Allah agar urusan harian kita dipermudahkan dan dimurahkan rezeki.

Wallahua’lam

rujukan – akuislam, shafiqolbu

0 Comments
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini