Hikmah Rasulullah Bangsa Arab

Izuan
Rasulullah bangsa arab

Mengapa Rasulullah bangsa Arab, sedangkan pada waktu itu terdapat tamadun Parsi dan Rom yang lebih megah dan maju.

Jika dilihat secara zahir, kelihatan seperti bangsa Arab pada abad ke-6 Masihi itu tiada masa depan dan tamadun. Sehinggakan mereka digelar Arab Jahiliyyah untuk menunjukkan betapa jahilnya dan terkebelakang mereka punya pemikiran dan budaya.

Tetapi hakikatnya, setiap ketentuan Allah itu pasti yang terbaik. Jika diamati, terdapat banyak hikmah di sebalik kelahiran seorang Rasul di tengah-tengah Arab Jahiliyyah.

1. Menghindarkan syak wasangka

Jika Nabi Muhammad diutuskan di Rom atau Parsi di mana tamadun dan ilmu falsafah telah jauh ke hadapan. Akan ada yang mengatakan bahawa Muhammad SAW ini membaca dan mempelajari kitab-kitab lama yang mengandungi sejarah manusia dan tamadun negara lain, seterusnya mendakwa agama Islam yang dibawa Muhammad SAW merupakan hasil dari pembacaan dan pemahaman beliau terhadap tamadun purba. Maka, dengan membesarnya Rasulullah di kalangan bangsa Arab yang buta huruf, tertolaklah dakwaan di atas, dan menguatkan hujah bahawa agama Islam ini ialah dari Allah dan setiap ucapan dan ayat Quran merupakan ilham dari Allah SWT.

“Dialah (Allah) yang telah mengutuskan di kelompok buta huruf seorang utusan daripada kalangan mereka (untuk) menyampaikan kepada mereka ayat-ayatNya dan menjauhkan mereka daripada syirik dan mengajar mereka kitab-kitab dan hikmat, dan sesungguhnya mereka itu dahulunya dalam kesesatan yang amat sangat.”

Al-Jumu’ah 62 : 2

2. Kedudukan Tanah Arab

Bangsa sekitar tanah arab

Dari sudut ilmu geografi, lokasi Tanah Arab di tengah-tengah tamadun utama dunia ketika itu seperti Rom, Parsi, Greek Tua dan India, merupakan tempat strategik sebagai permulaan pusat dakwah Islam.

Ini menyebabkan penyebaran da’wah Islamiyyah di kalangan bangsa-bangsa dan negara yang di sekelilingnya tersebar dengan mudah.

Ini benar sekali kerana apabila kita mengkaji semula perjalanan da’wah Islamiyyah di zaman permulaannya dan di zaman khulafa al-Rashidin. Memang tepat seperti yang dikatakan di atas.

3. Keindahan bahasa Arab

Bahasa Arab itu sebagai media da’wah Islamiyyah dan bahasa yang pertama buat menerang dan mentafsirkan percakapan atau kalam Allah ‘Azza wa jalla untuk disampaikan kepada kita.

Kalau kita perhatikan dengan teliti tentang keistimewaan bahasa-bahasa lain dan bahasa Arab maka dengan jelas kita dapati yang bahasa Arab mempunyai banyak keistimewaan yang sukar didapati dalam bahasa-bahasa lain. Maka sudah layak baginya untuk menjadi bahasa yang pertama dan utama untuk umat Islam di mana mereka berada.

Wallahua’lam

Rujukan : Ar-Raheeq al-Makhtum, Sirah Nabawiyah karangan Syeikh Syafiurrahman al-Mubarakfuri

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini