Rukun Iman Ada 6

Izuan

Rukun Iman ada 6 perkara. Wajib atas setiap orang Islam mengetahui tentang asas agama seperti rukun iman dan rukun islam. Jom belajar tentang rukun iman dan contohnya.

Maksud Rukun Iman

Iman dari segi bahasa ialah percaya. Dari segi istilah bermaksud membenarkan dengan hati, menyatakan dengan lisan, dan melakukan dengan anggota badan.

Berdasarkan al-Quran dan Sunnah, dapat disimpulkan bahawa Rukun Iman ada 6 iaitu:

  1. Beriman kepada Allah
  2. Beriman kepada Malaikat
  3. Beriman kepada Kitab-KItab
  4. Beriman kepada Rasul
  5. Beriman kepada Hari Akhirat
  6. Beriman kepada Qada’ dan Qadar

Dalil Rukun Iman dalam Quran

“Wahai orang-orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan RasulNya, dan kepada Kitab Al-Quran yang telah diturunkan kepada RasulNya (Muhammad s.a.w) dan juga kepada Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu dan sesiapa yang kufur ingkar kepada Allah dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya dan Rasul-rasulNya dan juga Hari Akhirat, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.”

(Surah An-Nisaa’: 136)

Dalil Rukun Iman dalam Hadis

Terdapat satu hadis yang agak panjang menceritakan tentang islam, iman dan ihsan. Hadis itu merupakan hadis ke-2 dalam Hadis 40 Imam Nawawi, turut dikenali sebagai hadis Jibril. Di sini, saya letak yang berkaitan dengan rukun iman sahaja.

Lelaki itu berkata lagi: Khabarkanlah kepada ku tentang iman?

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam menjawab: Hendaklah kamu beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, hari akhirat dan hendaklah engkau beriman kepada takdir Allah yang baik dan yang buruk.
Lelaki itu berkata: Benar katamu!

Jika ingin baca hadis ini sepenuhnya, boleh baca di artikel ini.

Huraian Rukun Iman

1. Beriman kepada Allah

Maksud beriman kepada Allah ialah percaya dengan sepenuh hati bahawa Allah SWT ialah pencipta, pemilik alam ini, dan hanya Allah yang berhak disembah, tiada Tuhan selain Allah.

…Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kuasa pemerintahan langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya. Ia menciptakan apa jua yang dikehendakiNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Surah al-Maidah : 17)

2. Beriman kepada Malaikat

Maksud beriman kepada malaikat ialah percaya akan kewujudan malaikat walaupun kita tidak mampu melihatnya, kerana malaikat termasuk dalam kategori makhluk ghaib. Untuk penjelasan lanjut boleh baca artikel tentang:

3. Beriman kepada kitab-kitab

Maksud beriman kepada kitab ialah percaya bahawa Allah SWT telah menurunkan beberapa kitab sebagai panduan dan mukjizat kepada nabi pilihanNya.

Ada 4 kitab yang kita perlu ketahui:

  • Kitab Taurat diturunkan kepada Nabi Musa a.s
  • Kitab Zabur diturunkan kepada Nabi Daud a.s
  • Kitab Injil diturunkan kepada Nabi Isa a.s
  • Kitab al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.

Selain itu terdapat suhuf iaitu pedoman yang mengandungi penjelasan hukum-hakam dasar yang perlu diterangkan kepada manusia umumnya. 

Suhuf berjumlah 100 buah:

  • Nabi Allah Shith (a.s) 50 suhuf
  • Nabi Allah Idris (a.s) 30 suhuf
  • Nabi Allah Ibrahim (a.s) 10 suhuf
  • Nabi Allah Musa (a.s) 10 suhuf

4. Beriman kepada Rasul

Maksud beriman kepada Rasul ialah percaya bahawa terdapat manusia terpilih, diangkat darjatnya menjadi Rasul ditugaskan menyampaikan seruan kepada manusia agar mengesakan Allah.

Para rasul ini daripada kalangan manusia agar mereka mampu ditauladani serba-serbi dalam sebarang aspek kehidupan. Berkenaan bilangan Nabi ada yang meriwayatkan bahawa terdapat 124000 nabi, dan bilangan rasul ialah 313. Hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui jumlah sebenar.

Yang pasti, berdasarkan al-Quran dan Hadis, terdapat 25 Rasul yang kita perlu ingat iaitu:

  1. Nabi Adam a.s.
  2. Nabi Idris a.s.
  3. Nabi Nuh a.s.
  4. Nabi Hud a.s.
  5. Nabi Salih a.s.
  6. Nabi Ibrahim a.s.
  7. Nabi Luth a.s. (anak saudara Nabi Ibrahim a.s)
  8. Nabi Ismail a.s. (anak Nabi Ibrahim a.s.)
  9. Nabi Ishaq a.s. (anak Nabi Ibrahim a.s.)
  10. Nabi Ya’akub a.s.
  11. Nabi Yusuf a.s. (anak Nabi Ya’akub a.s.)
  12. Nabi Ayub a.s.
  13. Nabi Syu’aib a.s.
  14. Nabi Musa a.s.
  15. Nabi Harun a.s. (saudara Nabi Musa a.s.)
  16. Nabi Zulkifli a.s.
  17. Nabi Daud a.s.
  18. Nabi Sulaiman a.s. (anak Nabi Daud a.s.)
  19. Nabi Ilyas a.s.
  20. Nabi Ilyasa’ a.s.
  21. Nabi Yunus a.s.
  22. Nabi Zakaria a.s.
  23. Nabi Yahya a.s. (anak Nabi Zakaria a.s.)
  24. Nabi Isa a.s.
  25. Nabi Muhammad SAW.

5. Beriman kepada Hari Akhirat

Maksud beriman kepada Hari Akhirat ialah percaya bahawa sampai suatu masa kita akan meninggal dunia dan melalui alam kubur, hari kebangkitan, berkumpul di Padang Mahsyar, dihisab segala amalan baik dan buruk di Mizan(neraca timbangan), melalui titian sirat, berakhir di syurga atau neraka.

6. Beriman kepada Qada’ dan Qadar

Beriman dengan qada’ dan qadar bererti menerima segala ketentuan dan ketetapan Allah S.W.T dengan hati yang redha. Berkaitan dengan rukun iman keenam ini,

Rasulullah  bersabda dalam satu hadis yang diriwayatkan daripada Abu Darda’ r.a yang bermaksud, “Setiap sesuatu pasti ada hakikatnya, tidak akan sampai seorang hamba kepada hakikat keimanan sehinggalah dia mengetahui bahawa sesungguhnya apa yang ditimpanya tidak akan dapat dielaknya dan apa yang tidak mengenainya pasti tidak akan menimpanya.”

(Hadis Riwayat Ahmad)

Wallahua’lam

Sumber:

  1. http://mufti.terengganu.gov.my/index.php/bayan-almunir/persoalan/434-beza-qada-dan-qadar
  2. https://www.mywilayah.com/2021/07/rukun-iman-enam-perkara.html
  3. https://akuislam.com/blog/akidah/rukun-iman/

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini