Hukum Puasa Selepas Nisfu Syaaban

Izuan
puasa selepas nisfu syaaban

Apakah hukum puasa selepas nisfu Syaaban?

Hampir setiap tahun ketika Bulan Syaaban pasti akan timbul perbincangan tentang isu ini. Jom kita belajar sama-sama.

Pertamanya, bagaimana persoalan ini boleh timbul?

Berdasarkan sebuah hadith daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW:

إِذَا انْتَصَفَ شَعْبَانُ فَلَا تَصُوْمُوْا

Maksudnya : “Apabila tiba pertengahan bulan Sya’ban maka janganlah kalian berpuasa”.

Takhrij hadith: Hadith ini disebut oleh Imam Ahmad (2/442), Abu Daud (2337), al-Nasaie (2923), al-Tirmizi (738), Ibn Majah (1651), al-Darimiy (1691) dan ramai lagi. Walaupun lafaznya berbeza tetapi maknanya adalah sama.

Hadith ini menjadi perselisihan antara para ulama’ dalam menyatakan hukum terhadap hadith ini. Sebahagian mereka mengsahihkan hadith ini dan sebahagian yang lain mengdhaifkannya.

Pendapat ulama’ dalam masalah berpuasa selepas nisfu Syaaban

  • Mazhab al-Syafie: Berpuasa selepas pertengahan bulan Sya’ban adalah haram atau makruh bagi sesiapa yang tidak biasa berpuasa dan jika ia tidak bersambung dengan hari sebelumnya. Dalam makna lain bagi orang yang berpuasa pada waktu tersebut sahaja. [Lihat: al-Mu’tamad, 2/216]

Maka disimpulkan seperti yang ada dalam fatwa Jabatan Mufti Brunei bahawa dalam mazhab Syafie bahawa hukum berpuasa selepas Nisfu Sya’ban adalah haram dan tidak sah. Pengharaman berpuasa itu tidaklah mutlak kerana ia mempunyai pengecualian iaitu puasa qadha’, puasa kaffarah, puasa nazar, puasa yang sudah menjadi adat atau kebiasaan pelakunya dan puasa sunat yang disambungkan atau dihubungkan dengan hari-hari di separuh pertama bulan Sya’ban.

  • Jumhur fuqaha’ : Dibolehkan berpuasa selepas daripada 15 Sya’ban. [Lihat: Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 3/1635]

Kesimpulan

Kesimpulannya, kami nyatakan sekali lagi bahawa puasa selepas daripada 15 Sya’ban adalah dibenarkan kerana hadith yang melarang untuk berpuasa adalah lemah dan bercanggah dengan hadith yang sahih. Lebih-lebih lagi jika seorang wanita itu ingin menggantikan puasa Ramadhannya, maka ianya dituntut. Ini kerana, Saidatina Aisyah RA menggantikan puasa Ramadhannya pada bulan Sya’ban. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dan masa lapang agar kita dapat melaksanakan ibadat dengan sesempurna mungkin. Amin.

Wallahua’lam

sumber – muftiwp

Subscribe
Notify of
0 Comments
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini