Amalan Malam Nisfu Syaaban, Ada Ke Bacaan Yasin?

Izuan
malam nisfu syaaban

Malam Nisfu Syaaban merupakan malam yang diberkati, dan digalakkan untuk beribadat pada malam itu. Tetapi adakah amalan yang khusus?

Maksud Nisfu Syaban

Nisfu adalah bermaksud separuh (Nisf)

Oleh itu nisfu syaaban bermaksud separuh daripada Bulan Syaban, iaitu pada malam ke-15.

Malam Nisfu Syaban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul Qadar.

Malam Nisfu Syaaban adalah hari dimana buku catatan amalan orang-orang Muslimin selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru.

Kelebihan Malam Nisfu Syaaban

Berikut ialah beberapa matan hadis malam nisfu Sya’ban:

Daripada Abdullah bin Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: “Allah SWT melihat pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan hamba-Nya kecuali dua (golongan) iaitu orang yang bermusuhan dan orang yang membunuh diri”. 

[Riwayat Ahmad, no. Hadith 6353] Ibn Hajar mengatakan sanadnya layyin (salah satu daripada ciri hadith dhaif). [Lihat: al-Zawajir  ‘an Iqtiraf al-Kabair, 2:43] Manakala Ahmad Syakir mengatakan sanadnya adalah sahih [Lihat: Musnad Ahmad, 10:127]

Daripada Abu Musa al-Asy’ari RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT melihat pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”. 

[Riwayat Ibn Majah, no. Hadith 1380] Imam al-Zahabi mengatakan hadith ini dhaif disebabkan terdapat pada sanadnya Ibn Lahi’ah. [Lihat: Talkhis al-‘ilal al-Mutanihiyah, 184]

Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT turun ke langit dunia pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan sebanyak bilangan bulu kambing pengawal”. 

[Riwayat al-Tirmizi, no. Hadith 670] Al-‘Aini mengatakan hukum hadith ini adalah munqathi’. [Lihat: ‘Umdah al-Qari, 11:116]

Daripada Mu’az bin Jabal RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

يَطَّلِعُ اللهُ إِلَى خَلْقِهِ فِيْ لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيْعِ خَلْقِه إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ

Maksudnya: “Allah SWT melihat makhluk-Nya pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”. 

[Sahih Ibn Hibban, no. Hadith 5665]

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا كَانَ لَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ يَغْفِرُ اللهُ لِعِبَادِهِ إِلَّا لمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ

Maksudnya: “Apabila tiba malam nisfu Sya’ban, Allah SWT mengampunkan hamba-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”. 

[Majma’ al-Zawaid, 8:68] Imam al-Sakhawi menyatakan bahawa perawi-perawinya tidak ada dipertikaikan. [Lihat: al-Ajwibah al-Mardhiyyah, 1:325]

Tarjih Hukum Hadith

Setelah melihat hadith-hadith berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban telah berlaku perselisihan antara para ulama’ dalam menyatakan hukum berkenaan hadith ini. Sebahagian mereka mengsahihkan hadith ini dan sebahagian lagi sebaliknya.

Berdasarkan hadith-hadith yang kami nyatakan, ia menunjukkan akan sabitnya hadith-hadith yang menceritakan akan kelebihan malam nisfu Sya’ban sehinggakan Ibn Hibban mengsahihkan satu riwayat daripada Mu’az bin Jabal tanpa memerlukan sokongan daripada jalur yang lain.

Untuk itu, kami cenderung untuk mengatakan bahawa hukum hadith ini sahih dengan kesemua jalur-jalurnya yang lain dan ini menunjukkan bahawa hadith ini mempunyai asal. Walaubagaimanapun, kelebihan malam nisfu Sya’ban adalah sabit namun amalan tertentu pada malam tersebut adalah tidak ada sama sekali melainkan amalan yang bersifat umum seperti memperbanyakkan zikir, istighfar kepada Allah SWT, solat-solat sunat, berdoa, bersedekah dan lain-lain lagi.

dipetik dari – artikel mufti wilayah

Pendapat ulama’ berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban

5 Malam Mustajab Doa

Telah berkata Imam al-Syafie RA: “Doa mustajab adalah pada 5 malam, iaitu malam jumat, malam al-Adha, malam al-Fitri, malam awal bulan Rejab, dan malam nisfu Sya’ban”. [Lihat: al-Um, 1:264]

Ibnu Rajab RA mengatakan: “Berkaitan malam nisfu Sya’ban, pada zaman dahulu para tabi’in daripada penduduk al-Syam, seperti Khalid bin Ma’dan, Makhul, Luqman bin Amir, dan beberapa para tabi’in yang lain memuliakannya (malam tersebut) dan mereka bersungguh-sungguh beribadah pada malam itu”. [Lihat: Lathaif al-Ma’arif, 247]

Amalan yang digalakkan pada malam nisfu Sya’ban

Islam tidak meletakkan sesuatu amalan khusus yang mungkin boleh dinisbahkan kepada Nabi SAW sebagai sunnah untuk diamalkan pada malam nisfu Sya’ban tetapi dalam masa yang sama, kita hendaklah mengambil peluang dengan kelebihan yang ada pada malam tersebut dengan beramal sebanyak-banyaknya samada dengan membaca al-Quran, solat sunat, berzikir dan lain-lain lagi.

Boleh tak bacaan yaasin nisfu Syaaban 3 kali? Boleh, tapi janganlah mengatakan bahawa itu amalan khusus nisfu Sya’ban.

Walaubagaimanapun, kesemua amalan ini tidak boleh dinisbahkan kepada Nabi SAW sebagai sunnah yang mesti dibuat dalam bentuk tuntutan kerana kesemua amalan ini adalah bersifat umum. Oleh itu, sekali lagi kami nyatakan bahawa tiada amalan khusus yang sabit daripada Nabi SAW berkaitan malam nisfu Sya’ban.

Sumber – muftiwp, akuislam

والله أعلم

Subscribe
Notify of
4 Comments
Oldest
Newest
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini
2 years ago

[…] Amalan Malam Nisfu Syaaban […]

2 years ago

[…] Amalan Malam Nisfu Syaaban […]

1 year ago

[…] berdoa jangan lupa untuk melakukan amalan Nisfu Syaaban […]

1 year ago

[…] Pada bulan ini juga ada satu hari yang dimuliakan iaitu Nisfu Syaaban pada tanggal 15 Sya’ban. Pada malam itu afdhalanya jika kita tingkatkan amalan sempena malam Nisfu Sya’ban. […]