Piagam Madinah (622M)

Izuan
piagam madinah

Piagam Madinah ialah satu perjanjian bertulis yang dibuat oleh Nabi Muhammad pada tahun 622M sebagai asas pembentukan negara Islam Madinah. Antara gelaran lain bagi piagam ini ialah Perjanjian Madinah, Dustar al-Madinah dan juga Sahifah al-Madinah. Dalam bahasa Inggeris ia dipanggil Constitution of Medina / Charter of Medina.

Selain itu Piagam Madinah juga boleh dikaitkan dengan Perlembagaan Madinah kerana kandungannya membentuk peraturan-peraturan yang berasaskan Syariat Islam bagi membentuk sebuah negara (Daulah Islamiyah) yang menempatkan penduduk yang berbilang bangsa atau kaum.

Perangkaan Piagam Madinah

Terdapat 3 fokus utama dalam merancang piagam Madinah iaitu:

Langkah Pertama

Pembinaan masjid sebagai tempat ibadah dan kemasyarakatan. Masjid yang dibina itu bukan hanya sekadar menunai sembahyang semata-mata, malah ianya adalah “Jamiah”. Padanya kaum muslimin bertemu untuk menerima ajaran Islam dan arahannya yang suci, ianya muntada(tempat pertemuan), padanya seluruh etnik dan kabilah yang berbagai dapat bertemu dan bermesra yang dahulunya berkelahian lantaran semangat jahiliah. Masjid juga adalah pengkalan kepada pelancaran dan pengurusan seluruh pergerakan dan tindakan. Ianya parlimen untuk sidang permesyuaratan, perundangan dan penguasaan undang-undang.

Langkah Kedua

Rasulullah mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar. Ini satu langkah yang bijak kerana dapat mewujudkan persefahaman dan memudahkan kaum Muhajrin memulakan hidup baru dengan bantuan kaum Ansar.

Langkah Ketiga

Membuat perjanjian dengan kaum Yahudi berkenaan isu agama, kewangan, pertahanan dan kenegaraan.

Kandungan Piagam Madinah

Piagam Madinah mengandungi 47 Fasal, secara ringkasnya terbahagi kepada lima bahagian;

  1. Fasal I merupakan pengenalan kepada piagam ini dan mengakui tentang keesaan Allah SWT dan kerasulan Nabi Muhammad SAW.
  2. Fasal 2-11 menerangkan kedudukan kaum-kaum dalam negara Islam Madinah.
  3. Fasal 12-23 menerangkan kewajipan umat Islam dari segi tanggungiawab sesama sendiri dan perkara-perkara yang patut dilakukan dan yang patut ditinggalkan.
  4. Fasal 24-38 merupakan fasal yang menyebut kedudukan kaum Yahudi dalam negara Islam Madinah.
  5. Fasal 39-47 pula menerangkan kedudukan Yathrib (Madinah) sebagai sebuah kota yang suci dan harus dipertahankan oleh penduduknya dalam segala peperangan.

Prinsip Utama Piagam Madinah

  • Wahyu Allah SWT merupakan sumber utama undang-undang negara.
  • Masyarakat di Madinah dianggap sebagai sebuah ummah yang bertanggungjawab ke atas negara mereka.
  • Nabi Muhammad SAW sebagai ketua negara.
  • Semua anggota masyarakat diberi kebebasan beragama.
  • Fungsi sahifah adalah untuk menegakkan keadilan.
  • Memberi jaminan keselamatan kepada semua penduduk selagi mana mereka patuh pada Piagam Madinah.

Tujuan Piagam Madinah

  • Menghadapi masyarakat majmuk Madinah
  • Membentuk peraturan yang dipatuhi bersama semua penduduk.
  • Ingin menyatukan masyarakat pelbagai kaum
  • Mewujudkan perdamaian dan melenyapkan permusuhan
  • Mewujudkan keamanan di Madinah
  • Menentukan hak-hak dan kewajipan Nabi Muhammad dan penduduk setempat.
  • Memberikan garis panduan pemulihan kehidupan kaum Muhajirin
  • Membentuk Kesatuan Politik dalam mempertahankan Madinah
  • Merangka persefahaman dengan penduduk bukan Islam, terutama Yahudi.
  • Memberi peruntukan pampasan kepada kaum Muhajirin yang kehilangan harta benda dan keluarga di Mekah.

Jika ingin lihat isi Piagam Madinah dan 47 fasal, boleh lihat di sini.

Wallahua’lam

Subscribe
Notify of
0 Comments
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini