Sejarah Pembinaan Masjid Nabawi

Izuan
masjid nabawi

Apa keistimewaan Masjid Nabawi?

Masjid Nabawi  (Arab: المسجد النبوي al-Masjid al-Nabawīy), disebut “Masjid an-Nabawi” atau “Masjid Nabi” ialah masjid yang kedua paling suci bagi umat Islam, setelah Masjidil Haram. Masjid Nabawi terletak di Madinah al-Munawarah.

Betapa pentingnya Masjid Nabawi dapat dilihat melalui dalil hadis di bawah:

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

صَلَاةٌ فِي مَسْجِدِي هَذَا أَفْضَلُ مِنْ أَلْفِ صَلَاةٍ فِيمَا سِوَاهُ إِلَّا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ

Maksudnya: “Solat di masjidku ini (masjid Nabawi) lebih baik daripada seribu kali solat di tempat lain kecuali masjid al-Haram”.

[Riwayat Muslim (1394)]

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

لاَ تُشَدُّ الرِّحَالُ إِلَّا إِلَى ثَلاَثَةِ مَسَاجِدَ: المَسْجِدِ الحَرَامِ، وَمَسْجِدِ الرَّسُولِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَمَسْجِدِ الأَقْصَى

Maksudnya: “Janganlah kamu bersusah payah mengembara  (atau bermusafir bagi tujuan ibadah) melainkan pada tiga buah masjid iaitu masjid al-Haram, masjid Rasulullah SAW dan juga masjid al-Aqsa”.

 [Riwayat al-Bukhari (1189)]

Daripada Jabir bin Abdillah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

صَلَاةٌ فِي مَسْجِدِي هَذَا أَفْضَلُ مِنْ أَلْفِ صَلَاةٍ فِيمَا سِوَاهُ، إِلَّا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ، وَصَلَاةٌ فِي الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ أَفْضَلُ مِنْ مِائَةِ أَلْفِ صَلَاةٍ فِيمَا سِوَاهُ

Maksudnya: “Solat di masjidku ini (masjid Nabawi) lebih baik daripada seribu solat di tempat yang lain melainkan masjid al-Haram. Dan solat di Masjid al-Haram lebih baik daripada 100 ribu solat di tempat lain”. [Riwayat Ahmad (15271)] [Sanadnya adalah sahih mengikut syarat Imam al-Bukhari menurut Syeikh Syuaib al-Arnaouth ketika beliau mentakhrijkan hadith ini di dalam musnad Ahmad]

Sejarah Pembinaan Masjid Nabawi

Masjid Nabawi pada Zaman Rasulullah

Ketika Rasulullah tiba di Madinah(sebelumnya dikenali Yathrib), unta Baginda telah berhenti pada satu halaman rumah. Di sana ada sebidang tanah yang menjadi milik dua orang anak yatim, Suhail dan Sahil, lalu Baginda membelinya untuk dijadikan tapak Masjid Nabawi. Setelah itu Baginda bersama-sama golongan Muhajirin dan Ansar bergotong-roying membina Masjid Nabawi.

Di tapak itu terdapat kubur kaum musyirikin, kesan rumah usang, pohon tamar dan sepohon pokok gharqad. Justeru itu, Rasulullah memerintah supaya mengali kubur kaum musyirikin, bangunan yang usang yang diroboh, diratakan, pohon tamar dan gharqad ditebang dan ditetapkan arah kiblat. Kiblat pada ketika itu ke arah Baitulmaqdis, tiang mihrab dari susunan batu-batu dan temboknya dari bata-bata dan tanah, manakala bumbung masjid terdiri dari pelepah tamar, tiang dari batang tamar, lantainya diratakan dengan anak-anak batu dan pasir, dengan tiga pintu masuk iaitu “Pintu Rahmat” (باب الرحمة Bab ar-Rahmah), “Pintu Jibril” (باب جبريل Bab Jibril) dan “Pintu Wanita” (باب النساء Bab an-Nisa).

Di samping masjid dibina ruang-ruang rumah dengan biliknya dibina dari batu-bata, atapnya diperbuat dari pelepah tamar dan batangnya. Ruang-ruang ini adalah bilik isteri-isteri Rasulullah (s.a.w). Setelah selesai pembinaan bilik tersebut, barulah Baginda berpindah dari rumah Abu Ayub.

Masjid yang dibina itu bukan hanya sekadar menunai sembahyang semata-mata, malah ianya adalah “Jamiah”. Padanya kaum muslimin bertemu untuk menerima ajaran Islam dan arahannya yang suci, ianya muntada(tempat pertemuan), padanya seluruh etnik dan kabilah yang berbagai dapat bertemu dan bermesra yang dahulunya berkelahian lantaran semangat jahiliah. Masjid juga adalah pengkalan kepada pelancaran dan pengurusan seluruh pergerakan dan tindakan. Ianya parlimen untuk sidang permesyuaratan, perundangan dan penguasaan undang-undang.

Masjid Nabawi pada Zaman Khulafa ar-Rasyidin

Pada zaman Khalifah Abu Bakar tiada renovasi yang dijalankan.

Pada zaman Khalifah Umar al-Khattab, rumah di seliling kawasan masjid telah dirobohkan, kerana ingin membesarkan kawasan masjid. Hanya rumah isteri-isteri nabi yang dibiarkan utuh. Bumbung masjid ditinggikan dan tiga lagi pintu masuk ditambah.

Pada zaman Khalifah Uthman, sebahagian besar masjid diruntuhkan atas faktor ingin membesarkan masjid dan membentuk masjid menjadi segi empat sama dan mengarahkan bangunan ke Kaabah di Makkah. Pelepah tamar telah digantikan dengan batu

Masjid Nabawi pada Zaman Khilafah

Pada pemerintahan Kerajaan Bani Umaiyah, masjid dibesarkan lagi lebih kurang 30%, satu dinding telah dibina untuk memisahkan bangunan masjid dan rumah isteri nabi. Buat pertama kalinya menara(minarets) dibina, terdapat 4 menara. Barang-barang pembinaan pada waktu itu diperolehi daripada kerajaan Byzantine.

Pada pemerintahan Kerajaan Bani Abbasiyah, bahagian utara masjid dipanjangkan dalam lebih kurang 50 meter. Beberapa pembaikan dibuat di kawasan Makam Nabi dan Fatimah R.anha.

Pada zaman Kerajaan Uthmaniyah, terdapat banyak renovasi dan penambahbaikan yang dibuat. Secara ringkasnya, kawasan masjid dibesarkan, kubah dicat hijau dan sehingga kini kita dapat melihat Kubah Hijau

kubah hijau

Kemudian, pada kawasan utara Masjid Nabawi, telah dibina satu madrasah sebagai tempat pengajian al-Quran. Bahagian dalam kubah telah diukir beberapa ayat Quran dan bait-bait daripada Qasidah Burdah. Beberapa kawasan masjid diletakkan jubin marmar.

masjid nabawi uthmaniyah
Lakaran Masjid Nabi pada Kerajaan Uthmaniyah

Masjid Nabawi pada zaman Kerajaan Saudi hingga sekarang

Pada 1805, Saud bin Abdul Aziz, telah menghancurkan beberapa makam dan kubah kerana ingin mengelakkan pemujaan melampau kepada struktur binaan tersebut. Antara kubah yang dibiarkan hanyalah Kubah Hijau.

Sehingga sekarang renovasi dan pembaikan sentiasa diadakan secara berkala. Pada tahun 2012, projek membesarkan Masjid Nabawi telah diumumkan dengan anggaran kos 6 Billion USD. Buat masa ini, Masjid Nabawi mampu menampung 1.6 hingga 2 juta orang pada satu-satu masa.

Salah satu keunikan Masjid Nabawi adalah payungpayung gergasi yang dibina memenuhi ruang di seluruh kawasan datarannya. Payung hidraulik di Masjid Nabawi ini, dianggarkan berjumlah 250 unit. Setiap payung memiliki lebar 25.5 meter dan tingginya 20 meter.

said alamri kjvVr6IQAxQ unsplash
Payung Masjid Nabawi

Semoga kita semua akan mempunyai peluang menjadi tetamu Allah suatu hari nanti dan dapat menjadi tetamu Allah di Masjidil Haram dan Masjid an-Nabawi.

Wallahua’lam

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini