Siapa Uwais al-Qarni?
Uwais al-Qarni ialah seorang pemuda yang hidup pada zaman Rasulullah, berasal dari kaum Qaran, termasuk dari kabilah Yaman Bani Murad.
Beliau tidak berpeluang menziarahi Nabi saw di Madinah kerana menjaga serta berkhidmat kepada ibu beliau yang sudah tua dan uzur (Hilyatul ‘Auliya 2/87). Atas sebab ini beliau tidak tergolong sebagai salah seorang sahabat nabi walaupun tinggal sezaman dengan nabi. Terdapat beberapa kriteria yang perlu dipenuhi untuk mendapat gelaran sahabat nabi.
Isi Kandungan
Kisah Uwais al-Qarni Singkat
Uwais al-Qarni bekerja sebagai pengembala kambing, namun dia bukanlah pemuda biasa, mungkin kelihatan biasa di dunia, tetapi amalan Uwais al-Qarni menjadikan dia terkenal di langit. Dia seorang pemuda yang soleh dan sangat memuliakan ibunya.
Bahkan dia merupakan salah seorang tabiin yang utama, salah seorang wali Allah,
Ini berdasarkan nas yang diriwayatkan daripada Umar al-Khattab R.A, Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ خَيْرَ التَّابِعِينَ رَجُلٌ يُقَالُ لَهُ أُوَيْسٌ وَلَهُ وَالِدَةٌ وَكَانَ بِهِ بَيَاضٌ فَمُرُوهُ فَلْيَسْتَغْفِرْ لَكُمْ
Maksudnya: “Sesungguhnya tabi’in yang terbaik ialah seorang lelaki yang bernama Uwais. Dia memiliki seorang ibu dan dahulu dia berpenyakit kulit (tubuhnya ada putih-putih). Suruhlah dia untuk memohon ampun untuk kamu semua.”
Riwayat Muslim (2542)
Hadis Uwais al-Qarni Berdoa Sentiasa Makbul
Dalam satu riwayat di dalam Sahih Muslim, dicatatkan berkenaan kisah Umar dan Uwais al-Qarni. Riwayat tersebut adalah daripada Usair bin Jabir, katanya: ‘Umar bin al-Khattab ketika didatangi oleh serombongan pasukan dari Yaman, beliau bertanya, “Apakah dalam kalangan kamu ada yang bernama Uwais bin ‘Amir?” Sehinggalah ‘Umar menemui ‘Uwais lalu bertanya, “Benarkah engkau adalah Uwais bin ‘Amir?” Uwais menjawab, “Ya, benar.” Umar bertanya lagi, “Benar engkau dari Murad, dari Qaran?” Uwais menjawab, “Ya.”
Umar bertanya lagi, “Benarkah engkau dahulu menghidap penyakit kulit, kemudian sembuh kecuali sebesar satu dirham.” Uwais menjawab, “Ya.” Umar bertanya lagi, “Benarkah engkau memiliki seorang ibu?” Uwais menjawab, “Ya.” Umar berkata, “Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda:
يَأْتِى عَلَيْكُمْ أُوَيْسُ بْنُ عَامِرٍ مَعَ أَمْدَادِ أَهْلِ الْيَمَنِ مِنْ مُرَادٍ ثُمَّ مِنْ قَرَنٍ كَانَ بِهِ بَرَصٌ فَبَرَأَ مِنْهُ إِلاَّ مَوْضِعَ دِرْهَمٍ لَهُ وَالِدَةٌ هُوَ بِهَا بَرٌّ لَوْ أَقْسَمَ عَلَى اللَّهِ لأَبَرَّهُ فَإِنِ اسْتَطَعْتَ أَنْ يَسْتَغْفِرَ لَكَ فَافْعَلْ
Maksudnya: “Nanti akan datang kepada kamu seseorang bernama Uwais bin ‘Amir bersama serombongan pasukan dari Yaman. Dia berasal dari Murad, dari Qaran. Dia menghidap penyakit kulit, kemudian dia sembuh daripadanya kecuali sebesar satu dirham. Dia memiliki seorang ibu dan sangat berbakti kepadanya. Sekiranya dia bersumpah kepada Allah, maka akan diperkenankan yang dia pinta. Jika kamu mampu agar dia memohon pada Allah keampunan bagimu, maka lakukanlah.”
Riwayat Muslim (2542)
Umar pun berkata, “Mohonlah kepada Allah agar Dia mengampuniku.” Kemudian Uwais mendoakan Umar dengan meminta ampunan kepada Allah. Umar pun bertanya kepada Uwais, “Engkau hendak ke mana?” Uwais menjawab, “Ke Kufah.” Umar pun berkata kepada Uwais, “Bagaimana jika aku menulis surat kepada Gabenor di negeri Kufah (supaya membantumu)?” Uwais menjawab, “Aku lebih suka menjadi orang yang lemah (miskin).”
Kisah Uwais al-Qarni dan ibunya
Ibunya mempunyai hajat untuk menunaikan haji di Makkah. Namun dengan kudrat yang sebegitu, ibu Uwais al-Qarani tidak mampu untuk ke Makkah berjalan seorang diri. Lalu dia mengutarakan hasratnya kepada Uwais supaya mengikhtiarkan sesuatu agar dia boleh dibawa ke Makkah menunaikan haji.
Sebagai seorang yang miskin, Uwais tidak berdaya untuk mencari perbelanjaan untuk ibunya kerana pada zaman itu kebanyakan orang pergi menunaikan haji dari Yaman ke Makkah perlu menyediakan beberapa ekor unta yang dipasang di atasnya ‘Haudat’ iaitu sebuah rumah kecil yang diletakkan di atas unta untuk melindungi panas matahari dan hujan, selesa namun harganya mahal. Uwais tidak mampu untuk menyediakan perbelanjaan yang sedemikian. Beliau tidak memiliki unta dan juga tidak mampu untuk membayar sewa.
Pada suatu hari, ibu Uwais yang semakin tua dan uzur berkata kepada anaknya: “Anakku, mungkin ibu dah tak lama lagi akan bersama dengan kamu, ikhtiarkanlah agar ibu dapat mengerjakan haji.”
Uwais mendapat suatu ilham. Dia membeli seekor anak lembu yang baru lahir dan sudah habis menyusu. Dia membuat sebuah pondok (rumah kecil) di atas sebuah ‘Tilal’ iaitu sebuah tanah tinggi (Dia buat pondok untuk lembu itu di atas bukit). Apa yang dia lakukan, pada petang hari beliau akan mendukung anak lembu untuk naik ke atas ‘Tilal’. Pagi esoknya beliau akan mendukung lembu itu turun dari ‘Tilal’ tersebut untuk diberi makan. Itulah yang dilakukannya setiap hari. Ada ketikanya dia mendukung lembu itu mengelilingi bukit tempat dia memberi lembu itu makan.
Perbuatan yang dilakukannya ini menyebabkan orang mengatakan beliau kurang waras. Memang pelik, membuatkan rumah untuk lembu di atas bukit, kemudian setiap hari mengusung lembu, petang dibawa naik, pagi dibawa turun bukit.
Namun sebenarnya jika dilihat di sebaliknya, Uwais seorang yang bijak. Lembu yang asalnya hanya 20 kilogram, selepas enam bulan lembu itu sudah menjadi 100kg. Otot-otot tangan dan badan Uwais pula menjadi kuat hinggakan dengan mudah mengangkat lembu seberat 100 kilogram turun dan naik bukit setiap hari.
Selepas lapan bulan, apabila sampai musim haji, rupa-rupanya perbuatannya itu adalah satu persediaan untuk dia membawa ibunya mengerjakan haji. Dia telah memangku ibunya dari Yaman sampai ke Makkah dengan kedua tangannya. Di belakangnya dia meletakkan barang-barang keperluan seperti air, roti dan sebagainya. Lembu yang beratnya 100 kilogram boleh didukung dan dipangku inikan pula ibunya yang lebih ringansekitar 50 kilogram.
Beliau membawa (mendukung dan memangku) ibunya dengan kedua tangannya dari Yaman ke Makkah, mengerjakan Tawaf, Saie dan di Padang Arafah dengan senang sahaja. Dan dia juga memangku ibunya dengan kedua tangannya pulang semula ke Yaman dari Makkah.
Setelah pulang semula ke Yaman, ibunya bertanya: “Uwais, apa yang kamu doakan sepanjang kamu berada di Mekah?”
Uwais menjawab: “Saya berdoa minta supaya Allah SWT mengampunkan semua dosa-dosa ibu.”
Ibunya bertanya lagi: “Bagaimana pula dengan dosa kamu?”
Uwais menjawab: “Dengan terampun dosa ibu, ibu akan masuk syurga. Cukuplah ibu redha dengan saya, maka saya juga masuk syurga.”
Ibunya berkata lagi: “Ibu inginkan supaya engkau berdoa agar Allah SWT hilangkan sakit putih (sopak) kamu ini.”
Uwais berkata: “Saya keberatan untuk berdoa kerana ini Allah yang jadikan. Kalau tidak redha dengan kejadian Allah, macam saya tidak bersyukur dengan Allah Ta’ala.”
Ibunya menambah: “Kalau ingin masuk ke syurga, mesti taat kepada perintah ibu. Ibu perintahkan engkau berdoa.”
Akhirnya Uwais tidak ada pilihan melainkan mengangkat tangan dan berdoa. Uwais lalu berdoa seperti yang diminta oleh ibunya supaya Allah SWT menyembuhkan tompok putih yang luar biasa (sopak) yang dihidapinya itu.
Namun kerana beliau takut masih ada dosa pada dirinya, beliau berdoa: “Tolonglah ya Allah! Kerana ibuku, aku berdoa hilangkan yang tompok putih pada badanku ini melainkan tinggalkanlah sedikit.”
Maka, Allah SWT segera memakbulkan doanya dan menghilangkan penyakit sopak di seluruh badannya kecuali meninggalkan setompok sebesar duit syiling di tengkuknya. Tanda tompok putih kekal pada Owais al-Qarani kerana permintaannya, kerana ini (sopak) adalah anugerah Dan tanda itulah yang disebutkan oleh Rasulullah ﷺ kepada Saidina Umar al-Khattab dan Saidina Ali untuk mengenali Uwais al-Qarni.
Wafat Uwais al-Qarni
Uwais al-Qarani meninggal syahid pada tahun ke-37 H pada usia 67 tahun dalam Peperangan Siffin. Beliau terkorban ketika menyebelahi Amirul Mukminin Ali bin Abi Thalib khalifah yang sah ketika itu diperangi Muawiyah bin Abu Sufian .
Wallahua’lam
Rujukan: