Kisah Mus’ab Bin Umair

Izuan
musab bin umair

Mus’ab bin Umair ialah salah seorang sahabat Nabi. Mus’ab seorang yang alim, dan pernah dihantar ke Madinah sebagai duta pertama umat Islam untuk mengajar penduduk Madinah tentang Islam.

Biodata Mus’ab Bin Umair

Mus’ab bin Umair (Arab: مصعب بن عمير) lahir dalam kalangan Banu Abd al-Dar. Tahun kelahirannya tidak diketahui, tetapi dijangka pada 594 hingga 598 Masihi kerana beliau memeluk Islam pada usia yang muda. Anak kepada Umair bin Hisyam dan Khunnas binti Malik ini tergolong dalam kalangan bangsawan sehinggakan pada usia kecil dia dibenarkan untuk menyertai mesyuarat para pembesar Quraisy.

Mus’ab Memeluk Islam

Mus’ab antara para sahabat yang masuk Islam pada penyebaran Islam secara sembunyi-sembunyi di rumah Arqam bin Abi Al-Arqam. Dia tertarik dengan bacaan al-Quran dan dakwah Rasulullah.

Kisah Mus’ab bin Umair Dan Ibunya

Pada mulanya, Mus’ab menyembunyikan keislamannya kerana tidak mahu mengguris hati ibunya. Tapi lama kelamaan ibunya tahu juga.  Mus’ab telah cuba memujuk tetapi semua tindakannya hanya menambahkan lagi kemarahan dan kebencian ibunya.

Khunas kemudian membawa anaknya Mus’ab ke sudut yang tersembunyi di rumahnya lalu dikuncilah Mus’ab dan tidak dibenarkan dia keluar daripada rumah.

Pada suatu hari Mus’ab melihat ibunya dalam keadaan pucat lesi, lalu bertanya kepada ibunya.

Kata ibunya, dia telah berniat di hadapan berhala bahawa dia tidak akan makan dan minum sehingga Mus’ab meninggalkan Islam.

Mus’ab memberitahu ibunya,

Andai kata ibu mempunyai seratus nyawa sekalipun dan nyawa ibu keluar satu demi satu, namun saya tetap tidak akan meninggalkan Islam sama sekali.

Mus’ab kemudian dihalau dari rumah, maka hilanglah segala kemewahan yang pernah dikecapi. Tidak lama selepas itu, Mus’ab telah mengikuti rombongan hijrah ke Habsyah.

Mus’ab Duta Pertama Islam

Mus’ab mempunyai akal yang cerdas, oleh itu Rasulullah telah memberi kepercayaan kepada Mus’ab untuk menjadi duta umat Islam ke Madinah. Di sana, dia ditugaskan berdakwah dan mengajar tentang Islam. Kisah lengkap di artikel ini.

Perang Yang Disertai Mus’ab Bin Umair

Mus’ab sempat menyertai Perang Badar dan Perang Uhud sahaja kerana beliau telah syahid ketika di Perang Uhud.

Keperwiraan Mus’ab di Perang Uhud

Mus’ab bin Umair pula memperlihatkan kecekalannya yang luar biasa mempertahankan diri Rasulullah dari serangan Ibni Qami’ah dan kuncu-kuncunya, di hari itu panji Islam di tangan Mus’ab, beliau telah dicantas sebelah tangan kanannya, lantas tangan kirinya mengambil panji berkenaan, penuh ketabahan hati beliau menghadapi serangan musyrikin hingga terputus tangan kirinya, sekali lagi beliau mempertahankan bendera perang Nabi Muhammad itu dari terjatuh dengan mengepitkannya ke dada dengan lehernya, akhir sekali beliau dibunuh oleh kaum musyrikin.

Kematian Mus’ab Bin Umair

Mus’ab telah mati syahid pada perang Uhud, berkenaan pengkebumiannya,

Dipetik dari kitab Raheeq al-Makhtum:

“Kata Abdul al-Rahman bin Auf: Mus’ab bin Umair terbunuh di dalam peperangan ini sedang beliau lebih istimewa dari ku, beliau pun sama juga, kerana bila hendak ditutup kakinya kepalanya akan terbuka dan kalau ditutup kepalanya kakinya akan terdedah. Dalam satu riwayat dari al-Khabbab yang menyebut: Bahawa Rasulullah telah berkata, ayuh tutup sahaja kepalanya sedang kakinya selimutkan dengan daun-daun Izkhir.

Wallahua’lam

Rujukan : https://akumuslim.asia/musab-bin-umair-sahabat-yang-meninggalkan-kekayaan/

Subscribe
Notify of
0 Comments
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini