9 Kesalahan di Bulan Ramadan

Izuan
kesalahan bulan ramadan

Dalam sibuk beribadat ketika bulan Ramadan, terdapat beberapa kesalahan yang biasa dilakukan menyebabkan berkurang pahala puasa dan berkurang keberkatan.

1. Makan terlalu banyak ketika berbuka

Kita perlu lihat balik apa tujuan puasa, puasa ialah menahan diri dari makan dan minum untuk merendahkan hawa nafsu supaya dapat meningkatkan ibadat di bulan Ramadan. Jika makan banyak, perut akan kenyang dan badan merasa berat untuk melakukan ibadat.

2. Tidur berlebihan di siang hari

Para ulama menyebut bahawa tidur sepanjang siang hari pada bulan Ramadhan adalah termasuk daripada perkara yang dimakruhkan. Imam al-Hattab al-Maliki menyebut di dalam kitabnya, di antara perkara makruh ketika berpuasa adalah banyak tidur pada siang hari di bulan ramdhan. (Lihat, Mawahib al-Jalil, 2/415)

Khalifah Umar bin Khattab pernah mengingatkan  “Sekiranya kamu tidur (banyak) siang hari, maka akan melalaikan hak rakyat (masyarakat); jika kamu tidur (banyak) malam, kamu melalaikan hak Allah.” Oleh kerana itu haruslah mengimbangi dan menggunakan waktu tidur siang yang hanya seketika (Qailullah) bukan sepanjang hari.

3. Sahur tengah malam

Pernah tak lihat orang makan lewat malam dengan alasan bersahur. Seeloknya sahur itu dilakukan awal pagi sebelum Subuh. Jika payah untuk bangun pagi, boleh lihat tips di artikel ini.

Bersahur pula hendaklah dilewatkan dan menghampiri waktu fajar. Prof Dr Yusuf Al-Qardhawi menjelaskan, mengakhirkan sahur termasuk juga amalan sunnah, malah ia bermanfaat untuk memendekkan waktu lapar dan menahan diri daripada perkara ditegah ketika berpuasa.

Bersahur digalakkan bagi mereka yang berpuasa kerana ia adalah sunnah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bersahurlah, kerana sesungguhnya pada sahur (makanan) itu ada keberkatan.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

4. Solat tarawih lebih diutamakan daripada solat fardu.

Tidak mengutamakan solat fardhu berjemaah sepertimana tarawih. Ini biasa sangat. Disebabkan oleh tarawih hanya dilakukan di bulan Ramadhan, ramai yang lebih mengutamakan solah tarawih berjemaah daripada solat yang wajib iaitu solat fardhu 5 waktu.

5. Berbuka dengan merokok, atau selain makan minum

Bagi mereka yang merokok, berpuasa seharian menyebabkan mereka tidak dapat merokok, dan ramai juga di antara mereka yang berbuka bukan dengan makanan, tapi dengan merokok. Ianya adalah makruh, dan kita tahu bahawa hukum merokok itu adalah haram di sisi Islam. Berbukalah dengan makanan, dan dengan makanan yang halal hendaknya.

6. Hanya membaca doa berbuka

Sewaktu iftar hanya membaca doa berbuka sahaja tanpa penambahan doa-doa yang lain. Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Sedangkan doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka sebagaimana sabda Rasulullah ﷺ: “Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka), adalah waktu doa yang tidak akan ditolak.” (Hadis Riwayat Ibn Majah)

Emak-emak waktu nak dekat berbuka ni la sibuk memasak, mungkin kita perlu biasakan 10 minit sebelum berbuka semua dah duduk di meja makan dan berdoa.

7. Bersahur sahaja, tanpa melakukan ibadah

Siapa yang bangun untuk sahur je, lepas tu sambung tidur? Masa budak-budak dulu selalu buat macam ni.

Adalah suatu kesilapan besar melepaskan bersahur sahaja tanpa melakukan ibadah yang lain kerana pada waktu sahur dan malam Ramadan inilah di antara waktu terbaik untuk beribadah, beristighfar dan menunaikan solat malam serta salah satu waktu dimana doa mudah untuk diangkat oleh Allah سبحانه وتعالى.

Firman Allah سبحانه وتعالى ketika memuji orang mukmin:

وَبِٱلْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُونَ

“..dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar.”

(Surah Az-Zariyyat : Ayat 18)

8. Berpuasa tapi melakukan maksiat

“Yang penting kan puasa!” Nampaknya ayat ini perlu difahami dengan lebih jelas kerana, seolah-olah terhad untuk ibadah lain dan menjadikan ibadah wajib yang lain dipinggirkan. Inilah yang menyebabkan ramai melakukan maksiat di bulan Ramadhan. Syaitan memang terbelenggu, tapi syaitan dalam hati yang harus kita belenggu. Maka dari itu perlu diingat bahawa yang paling penting adalah menjaga hawa nafsu dalam diri kita. Masa yang penuh ujian selama sebulan inilah akan mendidik, menahan pandangan liar dan menahan lisan yang tidak kurang terlepas dari kawalan.

9. Sibuk Memikirkan Persiapan Hari Raya

Ramadhan belum sampai ke penghujung dan Aidil Fitri masih jauh lagi tetapi kebanyakan umat Islam sibuk melakukan persiapan Aidil Fitri dengan menghias rumah, membuat kuih-muih dan pakaian serta membeli-belah. Bahkan tidak kurang mempertaruhkan keimanannya dengan tidak puasa kerana aktivitinya.

Kalau awal Ramadan tu penuh masjid kerana ramainya orang bertarawih, sepeuluh malam terakhir bilangan jemaah boleh dikira dengan jari je.

Walaupun Hari Raya Aidil Fitri adalah hari kemenangan seluruh umat Islam selepas sebulan menahan belenggu nafsu pada dirinya, ia perlu dirayakan tetapi tidaklah secara berlebihan.

Wallahua’lam

sumber – shafiqolbu, catsfm

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini