Kaum Quraisy Bertemu Abu Talib Untuk Kali Terakhir

Abu talib

Pertemuan dengan Abu Talib ini berlaku setelah peristiwa pemulauan Bani Hasyim berakhir. Pada waktu ini Abu Talib sudah terlalu tua dan umurnya lebih kurang 80 tahun.

Setelah pemulauan Bani Hasyim tamat, Rasulullah kembali menjalankan usaha dakwahnya seperti biasa. Kaum Quraisy pula masih melakukan penindasan terhadap umat Islam dan menghalang usaha dakwah Nabi Muhammad.

Abu Talib ketika ini sudah tua, dengan keadaan fizikal yang lemah ditambah pula masalah-masalah besar yang datang silih berganti terhadap anak saudara kesayangannya, beliau telah jatuh sakit.

Berita tentang keadaan Abu Talib sampai ke pengetahuan pembesar Quraisy. Pada waktu itu mereka tergugat dengan perkembangan Islam yang pantas, kerana Hamzah dan Umar telah masuk Islam dan usaha dakwah semakin diterima di kalangan kabilah-kabilah Quraisy yang lain. Dalam sebuah riwayat, kata mereka “kami takut, jika orang tua itu mati, Muhammad akan menguasai keadaan, nanti habislah kewibawaan kita, dan seluruh orang Arab akan merendahkan kita”.

Maka berkumpul pemuka-pemuka Quraisy seramai 25 orang, rombongan ini diketuai Utbah bin Rabi’ah, Syaibah bin Rabi’ah, Abu Jahal bin Hisyam, Umaiyah bin Khalaf dan Abu Sufian bin Harb. Mereka pun pergi bertemu Abu Talib dan menyampaikan hajat mereka. Abu Talib kemudian menjemput Rasulullah SAW untuk berbincang.

Dialog antara Rasulullah, Abu Talib dan Pembesar Quraisy:

Kata Quraisy, “Wahai Abu Talib kau sebenarnya adalah sebahagian dari kami, sebagaimana yang diketahui, kita semua sudah pun lanjut usia, kami risau akan perkara yang bakal menimpa dirimu nanti, sebagaimana yang kau tahu hal yang terjadi di antara kami dan anak saudaramu itu, cuba kau pinta kepadanya, dan beliau boleh membuat syarat kepada kami dan beliau pula harus menerima sesuatu dari kami, supaya beliau berhenti mengecam kami dan kami pun boleh berhenti menentangnya, dan hendaklah beliau membiarkan kami dengan agama kami, dan disebaliknya kami akan membiarkan beliau dengan agamanya”.

Jawab Rasulullah, “Apa pendapat kamu sekiranya aku kemukakan kepada kamu satu perkataan yang apabila kamu ucapkannya kamu akan menguasai seluruh bangsa Arab, dan bangsa-bangsa lain akan tunduk kepada kamu”.

Setelah Rasulullah menyebut kata-katanya ini mereka semua berhenti dan kebingungan, dan bagaimana hendak menolak tawaran hanya satu kalimah yang amat berfaedah sekali bagi mereka.

Abu Jahal pun berkata, Apa dia perkataan itu? demi bapa engkau, mudah sangat, kami boleh ucapkannya dan sepuluh yang lain pun tidak mengapa

jawab Rasulullah, “Ucaplah “lailahaillallah ” di samping kamu menolak seluruh penyembahan-penyembahan yang lain”.

Mereka berkata, “Wahai Muhammad, kamu hendak kami jadikan tuhan-tuhan yang banyak itu satu tuhan sahaja? Ini tidak boleh jadi, ini perkara yang menghairankan”.

Selepas itu mereka berkata sesama mereka, demi Allah sesungguhnya orang ini(Muhammad), tidak akan memberi suatu pun kepada kamu, ayuh beredar dari sini, dan teruskan dengan agama nenek moyang kita dahulu, hingga Allah sahaja yang menghukumkan di antara kita dan dia. Setelah itu mereka semua bersurai.

Telah turun ayat al-Quran berkenaan peristiwa ini.

1. Saad; demi Al-Quran yang mempunyai kemuliaan serta mengandungi peringatan dan pengajaran.

2. (Orang-orang yang mengingkari kerasulanmu – wahai Muhammad – tidak berdasarkan kebenaran) bahkan mereka yang kafir itu bersifat sombong angkuh dan suka menentang kebenaran

3. (Tidakkah mereka menyedari) berapa banyak umat-umat (yang ingkar) yang terdahulu dari mereka, Kami binasakan? Lalu mereka meminta pertolongan, padahal saat itu bukanlah saat meminta pertolongan melepaskan diri dari azab.

4. Dan mereka (yang mengingkari kerasulan Nabi Muhammad itu) merasa hairan, bahawa mereka didatangi oleh seorang Rasul pemberi amaran, dari kalangan mereka sendiri. Dan mereka yang kafir itu berkata: “Orang ini adalah seorang ahli sihir, lagi pendusta.

5. ” Patutkah ia menafikan tuhan-tuhan yang berbilang itu dengan mengatakan: Tuhan hanya Satu? Sesungguhnya ini adalah satu perkara yang menakjubkan!”

6. Dan (ketika itu) keluarlah ketua-ketua dari kalangan mereka (memberi peransang dengan berkata): “Jalan terus (menurut cara penyembahan datuk nenek kamu) dan tetap tekunlah menyembah tuhan-tuhan kamu. Sebenarnya sikap ini adalah satu perkara yang amat dikehendaki.

7. “Kami tidak pernah mendengar tentang (soal mengesakan Tuhan) itu dalam ugama yang terakhir; perkara ini tidak lain hanyalah rekaan dan dusta semata-mata”.

8. (Mereka berkata lagi): Patutkah wahyu peringatan itu diturunkan kepada Muhammad (padahal orang-orang yang lebih layak ada) di antara kita?” (Mereka bukan sahaja ingkarkan kelayakan Nabi Muhammad menerima wahyu) bahkan mereka berada dalam keraguan tentang peringatan yang Aku wahyukan (kepada Nabi Muhammad) itu, bahkan mereka belum lagi merasai azab.

Surah Sad, ayat 1-8

Wallahua’lam

Rujukan : al-Raheeq al-Makhtum, Sirah Nabawiyah

0 Comments
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini