Pemulauan Bani Hasyim

Izuan
Pemulauan bani hasyim

Pemulauan Bani Hasyim ialah sebuah peristiwa penting dalam sejarah Islam. Umat Islam diuji dengan kekurangan sumber makanan dan sekatan perniagaan.

Pada suatu masa beberapa tahun sebelum hijrah, terjadi empat peristiwa besar yang menggugat kaum Musyrikin Mekah iaitu pertama, Hamzah memeluk Islam, kedua Umar memeluk Islam, ketiga penolakan Rasulullah terhadap tawaran menyembah berhala yang diajukan kepadanya, keempat persetujuan Bani Abdul Mutalib dan Bani Hasyim untuk memberi perlindungan kepada Nabi Muhammad SAW.

Kaum Musyrik Quraisy pada ketika itu ingin membunuh Rasulullah SAW, namun disebabkan perlindungan dari dua kabilah yang kuat dan berpengaruh iaitu Bani Hasyim dan Bani Abdul Mutalib, mereka tidak berani melakukannya. Andai terjadi pertumpahan darah Rasulullah SAW, maka akan terjadi kemusnahan terhadap kota Makkah yang akhirnya akan merugikan semua pihak.

Pemulauan Bani Hasyim

Setelah rancangan untuk membunuh Rasulullah SAW tidak berjaya, Musyrikin Makkah merancang untuk memulaukan sesiapa yang terlibat dengan Rasulullah SAW.

Mereka berkumpul di kawasan Bani Kinanah di Lembah al-Makhsab dan bersumpah setia untuk memusuhi Bani Hasyim dan Bani Abdul Mutalib. Sebagai bukti perjanjian itu, satu piagam telah ditulis dan ditandatangani oleh mereka semua.

Mereka tidak akan menerima sebarang perdamaian dari Bani Hasyim selama-lamanya.

Mereka tidak akan mengahwini, tidak berjual beli, akan menyekat sumber rezeki dan tidak akan belas kasihan sehinggalah diserahkan Muhammad untuk dibunuh.

Isi Perjanjian

Setelah piagam selesai ditulis, ia digantung di dalam Kaabah. Maka bermulalah pemulauan Bani Hashim yang amat mencabar.

Tiga Tahun di Lorong Abu Talib

Akibat pemulauan ekonomi terhadap Bani Hasyim, Rasulullah SAW bersama-sama orang Islam berada dalam keadaan yang amat menyedihkan. Pengepungan makin ketat, bekalan makanan terputus. Sebarang makanan yang masuk ke Makkah akan dibeli oleh kaum Musyrikin terlebih dahulu, untuk mengelakkan kaum Muslimin mendapat makanan.

Diceritakan sampai suatu tahap mereka hanya makan daun-daun kering menyebabkan badan terlalu kurus dan menampakkan tulang belulang. Kadangkala terdengar keluhan dan tangisan daripada ibu-ibu dan anak-anak yang kelaparan.

Al-Suhaili menceritakan jika terdapat unta-unta perniagaan tiba di Mekah, kemudian salah seorang sahabat Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam datang untuk membelikan bahan makanan untuk keluarganya, maka Abu Lahab pun melaungkan katanya: “Wahai peniaga naikkan harga barang kamu ke atas sahabat-sahabat Muhammad supaya mereka tidak mampu membeli sesuatu pun daripada kamu.” Lantas peniaga-peniaga itu pun melipat gandakan harga jualan mereka sehingga sahabat Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam terpaksa pulang dengan tangan kosong menemui anak-anak di rumah yang menjerit kelaparan.

Rasulullah bersama kaum Muslimin akan keluar dari sana pada musim haji, untuk menyeru orang ramai kepada Islam. Dan seperti biasa Abu Lahab pasti akan mengganggu usaha dakwah Rasulullah seperti diceritakan dalam artikel ini.

Pelanggaran Piagam

Tiga tahun berlalu, tetapi keadaan masih sama. Dengan izin Allah, pada bulan Muharram tahun kesepuluh kerasulan, terjadi konflik di kalangan kaum Quraisy. Mereka mula mempersoalkan piagam yang zalim itu dan kasihan melihat pemulauan Bani Hasyim.

Orang pertama yang berusaha untuk membatalkan piagam itu ialah Hisyam bin Amru. Beliau mula mengumpulkan beberapa orang untuk melanggar piagam itu. Akhirnya terkumpul lima orang iaitu Hisyam bin Amru, Zuhair bin Abi Umayyah, al-Mut’am bin Adi, al-Bukhturi bin Hisyam dan Zam’ah bin al-Aswad. Keesokan harinya, mereka pergi ke Kaabah dan memulakan misi membatalkan pemulauan terhadap Nabi Muhammad.

Dialog antara mereka dan Abu Jahal:

Zuhair memulakan dengan berkata “Wahai penduduk Makkah, apakah kita memakan makanan dan memakai pakaian, sedang Bani Hasyim susah, kelaparan dan tidak dibenarkan berjual beli dengan mereka? Demi Allah aku tidak akan berdiam diri dan akan melanggar piagam yang zalim itu”.

Abu Jahal berkata “itu semua adalah dusta, kamu tidak akan melanggar piagam yang telah kita persetujui itu”.

Zam’ah pula berkata “kami tidak setuju dengan piagam yang dusta itu, hanya kamu yang beria-ia sangat.

Al-Bukhturi menyokong “Engkau benar wahai Zam’ah, sesungguhnya kami tidak rela dengan penulisannya dan kami tidak mengakuinya.

Kata al-Mut’am pula, “Kamu berdua benar sekali, itu semua dusta belaka, kami tidak akan bertanggungjawab di hadapan Allah dengan apa yang tertulis”.

Piagam Dimakan Anai-Anai

Pada masa yang sama Allah Subhanahuwata’ala mengutuskan anai-anai menggigit naskhah perjanjian yang tergantung di Ka’bah. Tidak ada suatu pun yang tertinggal kecuali perkataan Allah ‘Azzawajalla sahaja. Kejadian ini telah diceritakan oleh Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam kepada bapa saudaranya Abu Talib. Setelah ditanya oleh Abu Talib: “Apakah Tuhan engkau telah memberitahu kepada engkau.” Jawab Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam: “Ya”.

Kemudian Abu Talib pun bersama beberapa orang kaumnya pergi menemui kaum Quraisy dan meminta mereka membawa datang naskhah perjanjian mereka dulu. Mereka pun membawa keluar naskhah itu dalam keadaan masih berlipat. Lantas berkatalah Abu Talib: “Anak saudaraku telah memberitahu aku dan hingga kini beliau belum pernah berbohong, di mana Allah Ta’ala telah menghantar anai-anai untuk menggigit naskhah perjanjian kamu ini dan memakan setiap nas perjanjian yang zalim dan yang memutuskan hubungan silaturrahim. Sekiranya kata-katanya itu benar, sedarlah kamu dan kembalilah semula daripada jalan jahat kamu itu kepada Allah. Kami tidak akan menyerahnya kepada kamu.

Biar kami mati kesemuanya tetapi kalau apa yang diceritakannya itu dusta maka kami akan serahkannya kepada kamu dan lakukanlah apa yang kamu suka ke atasnya.” Lalu mereka menjawab: “Ya kami setuju dengan segala apa yang kamu ucapkan itu.” Mereka pun membuka naskhah perjanjian itu dan didapatinya tepat seperti mana diceritakan oleh Al-Sadiq al-Masduq (yang benar lagi membenarkan) SAW. Maka tamatlah pemulauan Bani Hashim.

Walaupun dapat melihat sebahagian tanda keagungan kenabian dengan mata kepala sendiri. Mereka masih menjawab: “Ini adalah sihir anak saudara kamu itu.” Maka mereka makin bertambah sesat dan semakin kuat menunjukkan sikap permusuhan.

Wallahua’lam

rujukan – addeen, dakwahdantarbiah

Subscribe
Notify of
0 Comments
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini