Hukum Keluar Air Mazi Ketika Puasa?

Izuan
hukum keluar air mazi ketika puasa

Apa hukum keluar air mazi ketika puasa, batal ke?

Maksud air mazi?

Air mazi ialah air yang berwarna putih, halus dan melekit, keluar ketika bangkitnya permulaan syahwat atau ketika bergurau senda bersama isteri dan menciumnya. Ia keluar tanpa memancut dan tidak diiringi dengan lembiknya zakar, kadang-kadang ia keluar tanpa disedari. Mazi lelaki dan wanita adalah sama, wanita keluar mazi apabila bangkit syahwatnya.

Tidak wajib mandi dengan sebab keluar mazi, iaitu air yang keluar disebabkan syahwat yang paling rendah (mani adalah air kemuncak syahwat). Mazi mempunyai sifat-sifat air mani seperti yang disebutkan berdasarkan hadis riwayat Saidina Ali Karramallahu Wajhah di mana beliau berkata:

كُنْتُ رَجُلاً مَذَّاءً فَجَعَلْتُ أَغْتَسِلُ حَتَّى تَشَقَّقَ ظَهْرِى فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِلنَّبِىِّ (ص) أَوْ ذُكِرَ لَهُ – فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ (ص) لاَ تَفْعَلْ إِذَا رَأَيْتَ الْمَذْىَ فَاغْسِلْ ذَكَرَكَ وَتَوَضَّأْ وُضُوءَكَ لِلصَّلاَةِ فَإِذَا فَضَخْتَ الْمَاءَ فَاغْتَسِلْ

Maksudnya: “Aku adalah seorang lelaki yang sentiasa keluar mazi, aku sentiasa mandi pada musim sejuk sehingga belakangku kelihatan pecah-pecah. Aku bertanyakan hal itu kepada Rasulullah SAW. Rasulullah SAW bersabda: “Jangan kamu lakukan seperti itu, jika kamu melihat mazi maka basuhlah kemaluanmu dan berwuduklah sebagaimana kamu berwuduk untuk solat. Jika kamu mencurahkan air (mani) maka hendaklah kamu mandi.”

[Hadis ini adalah sahih diriwayatkan oleh Abu Daud: 1/47, Al-Nasaie: 1/93, Imam Al-Bukhari meriwayatkan maknanya seumpama hadis di atas: 1/105 (no 266), Muslim: 3/212 (no 303)]

Hukum Keluar Air Mazi Ketika Puasa

Dalam kitab Al-Mughni, dinyatakan air mazi itu tidak membatalkan puasa sekiranya kita syahwat ketika melihat perempuan dan sebagainya. Itu memang kebiasaan lelaki punya syahwat begitu. Maka, ia tidak membatalkan puasa.

Yang membatalkan puasa adalah mengeluarkan air mani dengan sengaja. Itu jelas batal. Tapi keluar air mazi, tak batal puasa. Batal wuduk sahaja.

Kalau suami isteri bercium dan berpelukan tetapi tak sampai ke tahap melakukan persetubuhan, hanya keluar air mazi sahaja, adakah ia membatalkan puasa?

Jawab Ustaz Azhar Idrus, tidak. Tetapi tidaklah digalakkan untuk buat apa saja yang sengaja menaikkan syahwat antara suami isteri. Contohnya peluk, cium atau bergurau bersama.

Jika air mazi keluar ketika kita melihat aksi lucah atau filem porno, walaupun tidak membatalkan puasa, adakah masih ada ganjaran puasa kita itu?

Antara sebab puasa jadi sia-sia , di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ، وَرُبَّ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ

Maksudnya: “Boleh jadi orang yang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan boleh jadi orang yang berqiyam itu tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya melainkan hanya berjaga malam”. [Riwayat Ibnu Majah, no. Hadith 1690][Syeikh Syu’aib menilai hadith ini sebagai sahih dan sanadnya juga baik]

Kesimpulannya tidak batal, kita perlu bijak membezakan antara air mani atau air mazi.

Wallahua’lam

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini