Hari Syak Syaaban

Izuan
hari syak syaaban

Apa itu hari syak Syaaban?

‘Hari Syak’ (يَوْمُ الشَك) atau yang disebut “hari meragukan” ialah hari yang ke 30 bulan Sya’ban dan yang tidak diketahui dengan jelas sama ada ia sudah masuk bulan Ramadhan atau masih sebahagian daripada bulan Sya’ban, kerana rukyah mengenainya tidak sabit ataupun saksi yang melihatnya tidak diterima pengakuannya oleh pihak berkuasa disebabkan fasiknya dan sebagainya.

Imam Al-Nawawi berkata :

قَالَ أَصْحَابُنَا يَوْمُ الشَّكِّ هُوَ يَوْمُ الثَّلَاثِينَ مِنْ شَعْبَانَ

Maksudnya : Para ashab kami berkata bahawa hari syak adalah hari ke-30 dari bulan Sya’ban.

Rujuk Al-Majmu’, Al-Nawawi (6/401)

Hukum Puasa Pada Hari Syak

Hukum berpuasa pada hari syak secara umumnya adalah haram sekiranya tanpa sebarang sebab yang dibenarkan oleh syarak. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Silah beliau berkata :

كُنَّا عِنْدَ عَمَّارٍ فِي الْيَوْمِ الَّذِي يُشَكُّ فِيهِ فَأُتِيَ بِشَاةٍ فَتَنَحَّى بَعْضُ الْقَوْمِ فَقَالَ عَمَّارٌ مَنْ صَامَ هَذَا الْيَوْمَ فَقَدْ عَصَى أَبَا الْقَاسِمِ صلى الله عليه وسلم

Maksudnya : Kami berada di sisi ‘Ammar (bin Yasir R.A) pada hari syak. Kemudian beliau dihidangkan dengan daging kambing, maka sebahagian orang menjauhkan diri dari memakannya. Lalu ‘Ammar berkata : ‘’Sesiapa yang berpuasa pada hari ini (hari syak) sesungguhnya dia telah menderhakai Abu al-Qasim S.A.W’’.

Riwayat Abu Daud (2334)

Imam Al-Nawawi berkata :

وإن صام فيه عن فرض عليه كره وأجزأه

Maksudnya : Sekiranya seseorang berpuasa padanya (hari syak) yang menjadi kefardhuan ke atas dirinya, maka ia dimakruhkan dan puasa tersebut adalah sah.

Kemudian Imam Al-Nawawi berkata lagi :

لَا يَصِحُّ صَوْمُ يَوْمِ الشَّكِّ عَنْ رَمَضَانَ بِلَا خِلَافٍ لِمَا ذَكَرَهُ الْمُصَنِّفُ فَإِنْ صَامَهُ عَنْ قَضَاءٍ أَوْ نَذْرٍ أَوْ كفارة أجزأه

Maksudnya : Tidak sah berpuasa pada hari syak (sebagai puasa) Ramadhan tanpa sebarang khilaf (di sisi para ulama) berdasarkan apa yang disebutkan oleh musannif (pengarang kitab). Sekiranya seseorang itu berpuasa qadha’, nazar, atau kaffarah padanya (hari syak) maka puasanya sah.

Kesimpulannya

Sebagai kesimpulan, setelah diteliti beberapa nas dan hujahan di atas, kami menyatakan bahawa hukum berpuasa qadha’ pada hari syak adalah sah dan dibolehkan. Lebih-lebih lagi tempoh masa untuk melakukan qadha’ puasa telah sempit pada waktu tersebut, maka dibolehkan baginya untuk qadha puasa pada hari tersebut.

Wallahua’lam

sumber – muftiwp, shafiqolbu

Subscribe
Notify of
0 Comments
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini