Hadis al-Ifk, Fitnah Terhadap Aisyah

Izuan
hadis-al-ifk-aisyah-difitnah

Apa kisah Hadis al-Ifk?

Cerita Fitnah (Bahasa Arab: قصة الإفك – “Qiṣṣatul Ifki” atau حديث الإفك – “Hadīth al-Ifk”) ialah peristiwa yang berlaku pada tahun keenam hijrah setelah tamatnya perang Bani Mustaliq. Ianya merupakan satu peristiwa di mana orang-orang munafik menuduh Aisyah R.Anha melakukan zina dengan seorang sahabat yang bernama Sofwan Bin Mu’attol R.A. Perkara ini pada asasnya menimbulkan kacau bilau dalam masyarakat di Madinah pada ketika itu. Ada di antara sahabat yang tidak mempercayai berita tersebut. Ada juga yang tidak mengeluarkan apa-apa pendirian dan ada juga yang mempercayai bahawa Aisyah R.Anha benar-benar berzina dengan Safwan Bin Mu’attol.

Di antara sahabat yang mempercayai berita ini dan terlibat dalam penyebaran ialah Mistoh Bin Uthathah, Hamnah Binti Jahsyi dan Hasan Bin Thabit. Keadaan ini berlarutan sehingga sebulan lamanya dan wahyu tertahan tidak turun. Sehinggalah kemudiannya Allah menurunkan ayat ke 11 daripada Surah Al-Nur membebaskan Aisyah daripada tuduhan jahat kaum munafik. Ayat Al-Quran tentang Aisyah:


إِنَّ ٱلَّذِينَ جَآءُو بِٱلْإِفْكِ عُصْبَةٌ مِّنكُمْ ۚ لَا تَحْسَبُوهُ شَرًّا لَّكُم ۖ بَلْ هُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۚ لِكُلِّ ٱمْرِئٍ مِّنْهُم مَّا ٱكْتَسَبَ مِنَ ٱلْإِثْمِ ۚ وَٱلَّذِى تَوَلَّىٰ كِبْرَهُۥ مِنْهُمْ لَهُۥ عَذَابٌ عَظِيمٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat).”

Surah Al-Nur (11)

Ringkasan Peristiwa Hadis al-Ifk

Peristiwa ini telah pun diceritakan oleh Aisyah R.Anha sendiri secara terperinci dan panjang. Kisah ini terlalu masyhur dan ianya diceritakan di dalam kebanyakan kitab hadis yang muktabar. Antaranya Sahih Al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Al-Nasaie, Al-Sunan Al-Kubra oleh Imam Al-Baihaqi dan lain-lain lagi.

Di antara yang masyhur adalah lafaz yang dinukilkan oleh Imam Al-Bukhari dengan sanadnya sendiri di dalam kitab sahihnya. Imam Al-Bukhari[2] menyebut:

Abu al-Rabi’ Sulaiman Bin Daud menceritakan kepada kami: Sebahagian cerita ini dijelaskan lagi oleh Ahmad : Fulaih Bin Sulaiman menceritakan kepada kami daripada Ibnu Syihab Al-Zuhri daripada Urwah Bin Zubair,Sa’id Bin Musayyib, Ubaidullah Bin Abdullah Bin Utbah dan Alqamah Bin Waqqas Al-Laithi daripada Aisyah R.Anha yang merupakan isteri kepada Baginda Nabi SAW ketika mana beliau ditanya oleh orang ramai tentang apa yang diperkatakan pada ketika yang mana kemudiannya Aisyah R.Anha dibebaskan daripada tuduhan tersebut. Kata Aisyah R.Anha :

Pada kebiasaaannya, apabila Rasulullah SAW pergi keluar untuk berperang atau bermusafir, Baginda SAW akan membuat undian bagi isteri-isteri Baginda SAW bagi memilih siapa dalam kalangan mereka yang akan menemani Baginda SAW dalam permusafiran tersebut. Pada ketika permusafiran Baginda SAW ke peperangan Bani Mustaliq tersebut, undian tersebut memihak kepada Saidatina Aisyah R.Anha dan beliau terpilih untuk menemani Baginda SAW.

Dalam perjalanan pulang daripada peperangan tersebut, Baginda SAW dan tentera Islam berhenti seketika di satu tempat yang tidak jauh daripada Madinah al-Munawwarah dan bermalam di situ. Apabila rombongan berhenti di situ, maka Saidatina Aisyah R.Anha keluar bagi menunaikan hajatnya dengan memakai rantai di lehernya. Setelah dia pulang daripada menunaikan hajat, dia mendapati rantai di lehernya hilang tanpa disedari olehnya. Oleh itu, dia kembali ke tempat itu semula untuk mencari rantai yang hilang tersebut.

Dalam ketika dia mencari rantainya yang hilang, rombongan yang dipimpin oleh Rasulullah SAW tersebut telah bersiap untuk bertolak pulang ke Madinah al-Munawwarah. Haudaj iaitu yang dibina untuk membawa Saidatina Aisyah di atas unta tersebut diangkat oleh para Sahabat tanpa menyedari bahawa Saidatina Aisyah tiada di dalamnya. Ini kerana keadaan fizikal Saidatina Aisyah yang kecil dan ringan menyebabkan para Sahabat tidak dapat membezakan bahawa Saidatina Aisyah ada di dalamnya ataupun tidak. Lantas, apabila rombongan tersebut mendengar sahaja panggilan untuk bergerak, mereka terus berangkat tanpa memeriksa haudaj tersebut.

Apabila Saidatina Aisyah kembali ke tempat rombongan tadi berada, dia mendapati bahawa rombongan tersebut telah pun beredar menuju ke Madinah. Lalu dia duduk dan terbaring di situ dengan membungkuskan dirinya dengan kain jilbabnya. Ini kerana apabila rombongan tersebut menyedari ketiadaan Saidatina Aisyah R.Anha, mereka akan kembali mencarinya di tempat tersebut.

Dalam keadaan Saidatina Aisyah seperti itu, maka selepas itu datang Saidina Safwan Ibn al-Mu’atthil al-Sulami RA yang ketinggalan di belakang kerana melaksanakan tugasannya. Apabila beliau sampai di tempat rombongan Rasulullah SAW tadi berada, beliau mendapati ada sebuah benda yang disangkanya barang yang tertinggal daripada rombongan Rasulullah SAW. Lalu beliau datang mendekati benda tersebut dan mendapati bahawa itu ialah isteri Baginda SAW, Saidatina Aisyah R.Anha. Beliau bertanya, apakah yang menyebabkan dia tertinggal, namun Saidatina Aisyah tidak menjawabnya. Beliau pun mendekatkan kuda kepada Saidatina Aisyah R.Anha untuk dia naik menunggangi kuda. Kemudian dia naik ke atas kuda tersebut dan Saidina Safwan menarik kepala kuda tersebut dan bertolak dengan segera menuju kepada rombongan yang telah beredar tersebut.

Fitnah ini merupakan satu peristiwa yang sangat pahit untuk dihadapi oleh Ummu al-Mukminin Aisyah R.Anha. Ia menimpa rumah tangga dan keluarga manusia yang paling mulia, iaitu Nabi Muhammad SAW dan ahli keluarga sahabat terdekat baginda SAW iaitu Saidina Abu Bakar al-Siddiq RA. Fitnah ini berlarutan selama sebulan.

Walaubagaimanapun, Aisyah R.Anha tidak tahu-menahu walaupun sedikit berkaitan fitnah yang telah tersebar mengenai kesucian maruahnya tersebut. Dia hanya merasai perubahan sikap dan suasana disekelilingnya dan juga perubahan yang ada pada Rasulullah SAW setelah kepulangannya daripada peperangan Bani Mustaliq.

Saidatina Aisyah R.Anha pada satu ketika keluar bersama-sama Ummu Misthah menuju ke tempat menunaikan hajat di malam hari. Pada ketika itu, Ummu Misthah tergelincir disebabkan pakaiannya sendiri dan beliau melatah, “Celakalah Misthah!”. Apabila Saidatina Aisyah mendengarkan perkataan itu, Saidatina Aisyah R.Anha menegurnya dengan tegas kerana Misthah merupakan ahli Badar. Lantas, Ummu Misthah menyedari bahawa Aisyah masih tidak mengetahui mengenai berita tersebut, lalu menerangkan dan menceritakan segala perkara yang berlaku dan tuduhan kaum munafiq padanya.

Lalu setelah Saidatina Aisyah mendengar cerita itu, dia segera pulang dan menemui ibunya dan meminta penjelasan. Seorang wanita Ansar pun datang menemui mereka dan menceritakan segala-galanya dengan terperinci sehinggakan kejutan yang diterima ini menyebabkan Saidatina Aisyah R.Anha jatuh pengsan. Ketika beliau sedar dari pengsan, Rasulullah SAW datang menjenguknya, namun beliau meihat perubahan pada baginda kerana bagida hanya memberi salam dan bertanyakan keadaan Aisyah lalu lantas keluar. Disebabkan melihat kepada perubahan tersebut, beliau meminta izin kepada Rasulullah SAW untuk menetap sementara waktu di rumah orang tuanya dan Rasulullah SAW membenarkan.

Apabila fitnah masih lagi berterusan yang tidak menunjukkan hentinya, Baginda SAW mengambil keputusan untuk meminta pendapat sahabatnya. Baginda SAW memanggil Saidina Ali bin Abi Thalib RA dan Usamah bin Zaid RA. Usamah bin Zaid RA menegaskan bahawa beliau tidak dapat membenarkan tuduhan tersebut terhadap Saidatina Aisyah R.Anha kerana tuduhan berat itu dianggap sebagai satu perkara yang pembohongan dan rekaan semata-mata. Tambahan pula, kesemua sahabat dan Rasulullah SAW sendiri mengenali Saidatina Aisyah sebagai seorang wanita yang solehah, taat dan bertaqwa.

Berbeza pula keadaannya dengan Saidina Ali Ibn Abi Talib disebabkan oleh rasa simpatinya dan kecintaannya kepada Rasulullah SAW, beliau menjawab: “Ya Rasulullah, masih banyak lagi wanita lain.” Lalu beliau menyarankan kepada Nabi agar bertanyakan tentang Aisyah kepada pembantu Aisyah sendiri iaitu Barirah kalau-kalau ia mengetahui tentang apa yang sebenarnya terjadi. Lalu Barirah dibawa untuk menemui Baginda SAW. Maka Baginda SAW pun bertanyakan tentang hal Saidatina Aisyah R.Anha kepada Barirah. Lalu dia berkata: “ Aku selalu menjaga pendengaran dan penglihatanku. Demi Allah, Aisyah sungguh lebih baik daripada emas yang baik.”

Setelah mendengar penjelasan Barirah, Rasulullah bertanya pula kepada isteri Baginda SAW iaitu Zainab binti Jahsy RA mengenai peribadi Ummul Mukminin, Saidatina Aisyah. Sebagaimana yang telah diketahui, Zainab Bint Jahys RA sering bersaing dengan Aisyah R.Anha memenangi hati Rasulullah SAW. Namun begitu, ketika Rasulullah SAW bertanyakan mengenai Aisyah berhubung peristiwa fitnah ini, Zainab RA menjawab dengan baik, “Wahai Rasulullah, aku selalu menjaga pendengaran dan penglihatanku. Aku tidak ketahui daripada diri Aisyah ini melainkan kebaikan semata.”

Setelah mendengar pelbagai pandangan, Rasulullah SAW mengambil keputusan untuk bertemu dengan Saidatina Aisyah R.Anha sendiri di rumah mertuanya dan bertanyakan kepadanya secara langsung. Bagi Rasulullah SAW, kaedah ini dilihat sebagai satu kaedah yang terbaik untuk memperolehi kebenaran. Di rumah Abu Bakar RA Rasulullah SAW telah berkata kepada Saidatina Aisyah R.Anha, jika dia benar melakukannya maka hendaklah dia bertaubat kepada Allah SWT, sesungguhnya Allah SWT menerima taubat yang dilakukan oleh hamba-hambaNya.

Kata-kata Rasulullah SAW tersebut membuatkan Saidatina Aisyah terluka dan berkecil hati kerana seolah-olah Baginda SAW mempercayai tuduhan tersebut. Saidatina Aisyah kemudiannya memandang kepada kedua orang tuanya,untuk melihat reaksi mereka terhadap apa yang dikatakan oleh Rasulullah SAW. Akan tetapi keduanya berdiam diri tanpa sepatah kata. Aisyah mengerti mengapa keduanya berdiam diri kerana hanya dirinya sahaja yang mampu menjawab kata-kata Rasulullah SAW tadi.

Aisyah menjawab kepada Rasulullah SAW dalam keadaan menangis dengan menafikan tuduhan tersebut dan enggan bertaubat kerana dia tidak melakukan maksiat tersebut. Dia berkata bahawa bersabar lebih baik dan hanya kepada Allah sahajalah dia memohon pertolongan atas apa yang dituduhkan kepadanya.

Ketika Rasulullah SAW ingin pulang, wajah Baginda SAW mula berubah dan keadaan Baginda SAW pada ketika itu nampak begitu berat dan berpeluh, sedangkan ketika itu adalah musim sejuk. Selepas daripada itu, lahir kegembiraan daripada wajah Rasulullah SAW, Baginda SAW tersenyum gembira dengan berkata: “Wahai Aisyah, bergembiralah kerana Allah ‘Azza wa Jalla telah membebaskan dirimu.” Lalu Saidatina Aisyah mengucapkan tahmid kepada Allah SWT.

Sesungguhnya Allah SWT telah membersihkan nama Saidatina Aisyah R.Anha daripada fitnah itu dengan turunnya wahyu iaitu ayat 11-19, Surah al-Nur bagi menjelaskan hakikat sebenar yang berlaku. Ayat selepas itu menerangkan tentang hukuman terhadap orang yang melemparkan tuduhan (qazaf) terhadap wanita yang suci dengan menghukumnya dengan hukuman sebatan. Hukuman qazaf dilaksanakan ke atas sahabat yang membicarakan dan mempercayai fitnah tersebut seperti Saidina Hasan Ibn Thabit RA, Misthah RA dan Hamnah RA.


Hukuman sebat dikenakan ke atas orang-orang yang teriibat dengan fitnah yang menuduh orang yang tidak berdosa, mereka ialah: Mistah bin Asasah, Hassan bin Thabit dan Hamnah binti Jahsy. Mereka dirotan sebanyak lapan puluh rotan, namun Abdullah bin Ubai ketua munafik yang membuat fitnah yang jahat, tidak pula dihukum, kerana boleh jadi hudud atau hukuman dera itu boleh mengurangkan penyiksaan seseorang di akhirat nanti, penyebar fitnah diugut oleh Allah dengan balasan azab yang berat di akhirat atau pun kerana kemaslahatan.

Pengajaran Dari Kisah Saidatina Aisyah

Sentiasa Bersangka Baik

Firman Allah SWT dalam ayat 12 surah al-Nur:

Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman – lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri. dan berkata: “Ini ialah tuduhan dusta yang nyata.

Kita juga boleh belajar daripada sikap Ummu al-Mukminin Zainab Binti Jahsyi ketika mana Aisyah difitnah. Ketika Rasulullah SAW bertanya kepada beliau tentang apa yang berlaku pada ketika itu beliau menyebut :

يَا رَسُولَ اللَّهِ أَحْمِي سَمْعِي وَبَصَرِي وَاللَّهِ مَا عَلِمْتُ عَلَيْهَا إِلَّا خَيْرًا قَالَتْ وَهِيَ الَّتِي كَانَتْ تُسَامِينِي فَعَصَمَهَا اللَّهُ بِالْوَرَعِ

MaksudnyaWahai Rasulullah aku menjaga telinga dan mataku. Tidak aku tahu berkenaan Aisyah melainkan yang baik-baik sahaja. Dia memang sentiasa menyaingi aku akan tetapi Allah menjaganya dengan kewarakan yang ada padanya.”

Riwayat Al-Bukhari (4381)

Tuduhan Zina perlu Pengakuan atau Empat Orang Saksi dan Menuduh Tanpa Bukti dikira Pembohong

Firman Allah SWT dalam ayat 13 surah al-Nur:

Maksudnya: Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang yang dusta.

Larangan Menyebarkan Berita Yang Tidak Pasti dan Menganggap Isu Ini Remeh

Menurut al-Zuhayli (1998) Allah SWT menyifatkan mereka yang terjebak dalam penyebaran berita palsu telah melakukan 3 dosa iaitu bercakap dan menyebarkan berita-berita bohong dengan lidah-lidah mereka, berkata-kata sesuatu perkara yang mereka tidak ketahui dan memandang kecil perbuatan itu sedangkan ianya besar di sisi Allah SWT

Wallahua’lam

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini