Perang Bani Mustaliq

Izuan
perang bani mustaliq

Perang Bani Mustaliq berlaku pada bulan Sya’ban tahun kelima hijrah (terdapat juga pandangan yang mengatakan pada tahun keenam hijrah). Perang ini juga digelar Perang al-Muraisi bersempena dengan tempat berlakunya peperangan itu.

Sebab Perang Bani Mustaliq

Sebab terjadinya peperangan ini kerana Nabi SAW mendapat maklumat bahawa pemimpin Bani Mustaliq iaitu al-Harith bin Abu Dhirar mengajak kaumnya dan kaum Arab sekeliling untuk memerangi Rasulullah SAW dan umat Islam. (Lihat al-Maghazi li al-Waqidi, 1/404)

Kemudian, Rasulullah SAW mengutuskan Buraidah bin al-Hasib al-Aslami untuk mengesahkan kebenaran maklumat tersebut. Buraidah menyamar sebagai seorang pendokong al-Harith bin Abu Dhirar untuk mendapatkan maklumat yang jelas berkenaan pelan serangan tersebut. Setelah dipastikan maklumat tersebut, beliau pulang bertemu Rasulullah SAW dan memaklumkan serta mengesahkan berita yang beliau perolehi daripada pertemuan dengan al-Harith bin Abu Dhirar. (Lihat al-Maghazi li al-Waqidi, 1/404-405)

Pada malam kedua akhir bulan Sya’aban,  Rasulullah SAW mengumpulkan para sahabat dan bergegas keluar untuk berperang. Anehnya, sebahagian besar yang turut ikut serta adalah golongan munafik. Sedangkan, pada peperangan sebelum ini mereka tidak pernah ikut serta bersama dalam peperangan.

Al-Harith bin Abu Dhirar juga menghantar pengintip untuk mengenal pasti tentera kaum muslimin, tapi kaum muslimin sempat menangkapnya dan terus dibunuh. Al-Harith bin Abu Dhirar dan pasukan tenteranya berasa takut yang tersangat apabila mengetahui bahawa Nabi SAW dan tentera umat Islam sedang bergerak menuju ke tempat mereka. Selain itu, ketakutan itu juga adalah disebabkan terbunuhnya pengintip yang dihantar oleh beliau.Ini menyebabkan beberapa kabilah Arab meninggalkan al-Harith dan pasukannya.

image 1
Lokasi perang Bani Mustaliq via Google Map

Akhirnya, Rasulullah SAW dan pasukan tentera umat Islam telah sampai di Muraisi’. Menurut ahli sejarah, Muraisi’ merupakan sebuah kawasan perairan yang dimiliki oleh Bani Mustaliq di Qudaid. Rasulullah SAW meluruskan barisan ketenteraannya dan kaum muslimin telah bersiap sedia untuk berperang. Kemudian bendera Muhajirin diserahkan kepada Abu Bakar dan bendera Ansar diserahkan kepada Sa’d bin Ubadah.

Tidak lama setelah itu mereka saling berbalas panahan, saling menyerang dan Rasulullah SAW mengarahkan agar kaum muslimin melakukan serangan secara serentak. Hal ini menyebabkan al-Harith dan pasukannya dapat dikalahkan. Ahli pasukan al-Harith kebanyakannya terbunuh, manakala kaum wanita dan kanak-kanak dijadikan tawanan dan binatang ternakan dirampas. Sedangkan, daripada kalangan kaum muslimin hanya seorang sahaja yang terbunuh. Kisah ini sebagaimana yang disebutkan oleh ahli sejarah dan tamadun.

Di antara perempuan-perempuan yang ditawan ialah Juwairiyah binti al-Harith ketua qabilah, yang menjadi tawanan Thabit b. Qais, di mana beliau menawar peluang memerdekakan diri secara mukatabah (membebaskan diri secara bayar beransur-beransur). Justeru itu Rasulullah bertanggungjawab memerdekakan beliau, kemudian Baginda mengahwininya, setelah itu tentera Islam memerdekakan pula keluarga Banu al-Mustalaq yang telah memeluk Islam, dengan kata mereka: ” Mereka adalah mertua-mertua Rasulullah”.

Antara peristiwa yang terjadi semasa Perang Bani Mustaliq ialah Peristiwa al-Ifk iaitu fitnah Abdullah bin Ubai terhadap Aisyah R.Anha. Satu lagi tentang peranan golongan munafik dalam Perang Banu Mustaliq. Sekian, semoga kita mendapat pengajaran Perang Bani Mustaliq.

Wallahua’lam

Subscribe
Notify of
0 Comments
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini