Cara Wuduk Lengkap dan Mudah

Izuan
wuduk

Ini ialah panduan cara wuduk yang lengkap dan mudah

Semoga bermanfaat!

Pengertian Wuduk

‘Berwuduk’ atau mengambil air sembahyang ini bermaksud menggunakan air dengan berniat untuk membersihkan anggota wajib bagi menghilangkan hadas kecil.

Dalil Al-Quran tentang Wudhu

Firman Allah S.W.T:“ Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali … “ – (Surah Al-Maa’idah: 6)

Tidak sah solat seseorang itu jika dia tiada wudhu.

Syarat Sah Wuduk

Syarat sah wuduk, Dr. Muhammad Zuhaili telah membahagikan kepada beberapa perkara di antaranya ialah:

  1. Menggunakan air mutlak walaupun secara dzhan (sangkaan)
  2. Tidak terdapat perkara yang menghalang air daripada terkena pada anggota wudu’.
  3. Mengalirkan air pada anggota yang dibasuh.
  4. Tidak terdapat perkara yang ditegah untuk berwuduk seperti haid, nifas, menyentuh kemaluan dan lain-lain.
  5. Mengetahui cara-cara berwuduk
  6. Menghilang kekotoran dan najis pada anggota wudu’.

(Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e,1/70)

Rukun Wudhu

1. Niat Wuduk

niat wuduk

Baca niat wudhu di dalam hati ketika air mula terkena pada anggota wuduk yang pertama iaitu muka.

2. Membasuh muka

Bahagian wajib dibasuh ialah dari tempat tumbuh rambut di dahi sehingga ke bawah dagu dan dari anak telingga kanan hingga ke anak telinga kiri.

Seeloknya mulakan basuhan dari bahagian atas muka.

3. Membasuh tangan

Wajib meratakan air ke semua bahagian di antara hujung jari hingga ke siku.

Sebaik-baiknya dimulakan basuhan dari hujung jari hingga melebihi siku dengan mendahulukan tangan kanan.

4. Menyapu kepala

Menyapu air ke atas sebahagian kulit kepala atau sekurang-kurangnya tiga helai rambut yang berada di had kepala.

Contohnya, jika rambut anda panjang dan melepasi batas kepala, tidak sah jika membasahkan bahagian itu sahaja.

Disunnahkan membasahkan seluruh kepala.

5. Membasuh kaki

Wajib membasuh kaki dari hujung jari hingga ke buku lali.

6. Tertib

Setiap kali membasuh anggota wudhu mestilah mengikut turutan.

Tidak boleh basuh kaki, kemudian tangan, kemudian kepala sesuka hati. Mesti bermula dengan muka diakhiri dengan kaki.

Cara ambil wudhu ringkas ialah melakukan enam yang di atas ini. Cara ambil wudhu lelaki dan perempuan sama sahaja.

Perkara Sunat Wuduk


  • Baca Bismillah
  • Bersugi atau berkumur-kumur.
  • Membasuh jeri-jemari hingga pergelangan tangan
  • Mencelah jari-jari tangan dan kaki.
  • Memasukkan air ke hidung.
  • Menyapu air ke seluruh kepala atau separuh kepala bagi wanita.
  • Membasuh ke dua belah telinga, luar dan dalam.
  • Menyelati janggut yang tebal.
  • Melebihkan kawasan basuh kaki hingga ke atas buku lali.
  • Dahulukan anggota kanan.
  • Menggosok-gosokkan anggota wuduk.
  • Membasuh setiap anggota wuduk sebanyak 3 kali.
  • Muwalat (berturutan), basuh anggota kedua sebelum pertama kering.

Muwalat; iaitu membasuh anggota demi anggota tanpa diselangi di antaranya dengan berhenti yang lama, yakni bersegera membasuh anggota yang lain sebelum kering air pada anggota sebelumnya. Muwalat ini adalah wajib pada pandangan mazhab Imam Malik dan Imam Ahmad. Adapun pada pandangan mazhab Imam Syafi’ie, muwalat ini disunatkan sahaja.

Perkara Membatalkan Wuduk


  • Keluar sesuatu daripada qubul atau dubur meliputi benda yang cair, keras, kering, basah dan angin, sama ada ada sedikit atau sebanyak.
  • Tidur tidak tetap kedudukan dua papan punggung.
  • Hilang akal kerana mabuk, pengsan, gila, tidur, pitam dan lain-lain.
  • Bersentuh kulit antara lelaki dan wanita yang halal nikah (ajnabi / bukan mahram) tanpa berlapik.
  • Menyentuh kemaluan hadapan atau belakang dengan perut tapak tangan atau perut anak jari dengan tidak belapik. Kemaluan itu sama ada kepunyaan sendiri atau kepunyaan orang lain, lelaki atau perempuan, yang hidup atau yang telah mati.

Bagaimana yang dikatakan pembaziran ketika mengambil wudhu?

Pembaziran berlaku sama ada dalam penggunaan air (yakni menggunakan air secara berlebih-lebihan) atau menambahkan bilangan basuhan melebihi kadar maksima yang disunatkan iaitu tiga kali. Rasulullah s.a.w. bersabda; “Sesiapa membasuh melebihi tiga kali sesungguhnya ia melakukan kesalahan dan melampau batas”.

(Riwayat Imam Ahmad, an-Nasai, Ibnu Majah, Abu Daud dan Ibnu Khuzaimah)

video cara berwuduk

Kesimpulan

Ibadat berwudhu merupakan teras kepada kepada kehidupan umat Islam, kerana hampir setiap ibadat meletakkan wudhu sebagai syarat sah ibadat contohnya seperti solat dan tawaf. Dan sebahagian amalan disunnahkan berwuduk sebelum melakukannya contohnya seperti membaca al-Quran dan berzikir. Semoga kita dapat mengamalkan cara ambil wudhu yang betul.

Wallahua’lam

sumber – akuislam, shafiqolbu

Subscribe
Notify of
3 Comments
Oldest
Newest
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini
1 year ago

[…] Cara Wudhu Mudah […]

1 year ago

[…] perbuatan yang mengharuskan solat atau seumpamanya seperti berwudhu’ kepada sesiapa yang belum berwuduk, mandi kepada sesiapa yang diwajibkan mandi dan menghilangkan najis daripada pakaian, badan dan […]

1 year ago

[…] besar ialah dengan mandi wajib atau tayamum. Manakala cara mensucikan hadas kecil ialah dengan berwuduk atau […]