Cara Sujud Sahwi, Niat dan Bacaan Rumi

Izuan
sujud sahwi jakim

Siapa tahu cara sujud sahwi yang betul?

Jangan risau, di artikel ini saya akan kongsikan panduan lengkap tentang cara sujud sahwi, niat sujud sahwi dan bacaan ketika sujud sahwi.

Maksud Sujud Sahwi

Dari segi bahasa sahwi bermaksud lupa atau lalai akan sesuatu, manakala dari segi syarak ialah kecacatan solat yang dilakukan seseorang ketika bersolat sama ada disengajakan atau terlupa.

Oleh itu sujud ini yang dilakukan di penghujung solat akan menjadi penutup kepada kecacatan tersebut.

Bila Waktu Sujud Sahwi

Sujud sahwi dilakukan pada akhir solat sebelum salam dan dilakukan dengan cara sujud sebanyak dua kali sepertimana sujud-sujud di dalam solat.

Dalil Hadis Sujud Sahwi

Perbuatan sujud sahwi ini adalah bersumberkan kepada sebuah kisah yang masyhur sebagai kisah Zul Yadain, yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata:

صَلَّى بِنَا النَّبِيُّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّم الظُّهْرَ أَو الْعَصْرَ ، فَسَلَّم ، فَقَالَ لَهُ ذُو الْيَدَينِ : الصَّلَاةُ يَا رَسُولَ اللَّهِ ، أَنقصت ؟ فَقَال النبيُّ صلى الله عليه وسلم : أَحَقٌّ مَا يَقُول ؟ قالوا نعمْ ، فصلَّى ركْعَتَينِ أُخْرَيَتين ، ثمَّ سَجَدَ سَجْدَتَين

Maksudnya: Nabi S.A.W mengimamkan solat zohor atau asar bersama kami. Kemudian baginda memberi salam. Maka berkata Zul Yadain kepada Nabi : Solat wahai Rasulullah, adakah kau telah mengurangkannya ? Maka Nabi S.A.W bersabda : Benarkah apa yang dia katakan ? Maka para sahabat pun berkata : Ya. Lalu baginda melakukan dua solat yang berbaki, kemudian sujud sebanyak dua kali.

Riwayat al-Bukhari (1169).

Hukum Sujud Sahwi

Hukum sujud sahwi adalah sunat apabila terjadi salah satu daripada sebab-sebabnya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji1/443)

Antara Sebab Sujud Sahwi:

1. Sujud Sahwi Kerana Kelebihan

Barangsiapa terlupa di dalam solatnya lalu tertambah rukuk, atau sujud, dan sebagainya, maka dia perlu sujud sahwi.

2. Sujud Sahwi Kerana Kekurangan

Barangsiapa, justeru terlupa, lalu meninggalkan salah satu sunat ab’adh, maka ia harus sujud sahwi sebelum salam.

Sunnah ab’adh mengandungi tujuh perkara iaitu:

  1. Tahiyat awal (pertama)
  2. Selawat ke atas Nabi SAW dalam tahiyat awal
  3. Duduk tahiyat / tasyahud awal
  4. Doa qunut pada rakaat kedua solat subuh dan pada solat witir yang terakhir sejak malam 15 hingga akhir bulan Ramadhan.
  5. Selawat ke atas Nabi SAW dalam qunut
  6. Selawat ke atas ahli keluarga Nabi SAW dalam qunut
  7. Selawat ke atas keluarga Nabi dalam tahiyat akhir.

Misalnya, makmum terlupa tahiyyat awal dan hanya teringat setelah sempurna qiam (berdiri tegak), maka dia tidaklah perlu duduk kembali dan cukup baginya sujud sahwi.

Namun, sekiranya dia teringat sebelum separuh bangkit untuk qiam, maka bolehlah dia kembali duduk dan menyempurnakan tahiyyat awal dan tidak perlu sujud sahwi.

Jika Teritinggal Qunut

3. Sujud Sahwi Kerana Ragu-ragu

Keragu-raguan di dalam solat adalah kerana tidak meyakini sama ada terlebih atau terkurang, umpamanya seseorang ragu sama ada dia di dalam rakaat ketiga atau keempat. Maka ambillah yang sedikit, sempurnakan yang kurang dan akhiri dengan sujud sahwi.

Cara Sujud Sahwi

1. Niat Sujud Sahwi

Ketika sedar kita ada terkurang atau terlupa sesuatu masa solat, maka niatkan sujud sahwi di hujung solat sebelum salam atau selepas salam.

Tiada niat khusus, memadai dengan niat dalam hati,

“Sahaja aku sujud sahwi”

2. Sujud Dua Kali

Sujud Pertama

Selepas membaca tahiyat akhir, kita tidak perlu memberi salam atau mengangkat takbir. Selepas tahiyat akhir, terus sujud dengan membaca bacaan sujud sahwi sebanyak tiga kali.

bacaan sujud sahwi rumi

Kemudian duduk antara dua sujud. Ketika ini, kita boleh diam tanpa membaca apa-apa atau membaca bacaan duduk antara dua sujud:

 رب اغْفِرلي وَارْحَمْنِى واجبرني وَارْفَعْنِي وَارْزُقْنِى وَاهْدِنِى وَعَافِنِى وَاعْفُ عَنِّى

Rabbighfirlii , warhamnii , wajburnii , warfa’nii , warzuqnii , wahdinii , wa’aafinii , wa’fuanii

Maksudnya: Ya Allah ampunilah aku, sayangi aku, tutuplah aib-aibku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, berilah aku petunjuk, jadikanlah aku sihat, maafkanlah aku.

Sujud Kedua

Seterusnya, terus sujud yang kedua dengan bacaan sujud sahwi yang sama sebanyak tiga kali. 

3. Memberi Salam

Kemudian, bangun dan beri salam seperti biasa dilakukan dalam solat. 

Alhamdulillah sujud sahwi kita telah pun lengkap.

Soal Jawab Sujud Sahwi

Adakah batal solat kalau tidak membaca tasbih ketika duduk antara dua sujud sewaktu melakukan sujud sahwi?

 Perbuatan tidak membaca zikir pada duduk antara dua sujud sahwi tidak membatalkan solat kerana ia bukan perkara rukun atau fardu dalam solat.

Apakah lafaz yang sepatutnya diucapkan ketika sujud sahwi?

Bacaan bagi sujud sahwi adalah sama seperti bacaan zikir dalam sujud ketika solat. Tetapi sebahagian ulama menjelaskan sunat mengucapkan

“سُبْحَانَ مَنْ لَا يَنَامُ وَلَا يَسْهُو”.

Bagaimana kalau kita lupa sujud sahwi?

Sekiranya seseorang itu terlupa melakukan sahwi dan teringat hanya selepas memberi salam, maka bolehlah dia melakukan sahwi dengan syarat ingatan itu timbul dalam masa yang tidak terlalu lama.

Jika terlupa hukumnya adalah dimaafkan. Ini juga kerana hukum asalnya adalah sunat.

Kalau imam tidak sujud sahwi, apa makmum perlu buat?

Seseorang imam yang tertinggal atau sengaja meninggalkan doa qunut semasa solat subuh, adalah disunatkan untuk dia melakukan sujud sahwi. Namun sekiranya dia tidak melakukannya, ini tidaklah membatalkan solatnya. Ini kerana, sujud sahwi hukumnya adalah sunat apabila berlakunya sebab-sebab yang tertentu seperti yang telah kami sebutkan.

Manakala bagi makmum pula, adalah menjadi tuntutan untuk dia mengikut imamnya dalam pergerakan solat. Sekiranya imam melakukan sujud sahwi, hendaklah dia turut melakukannya. Namun sekiranya imam tidak melakukan sujud sahwi (apabila telah berlaku sebab yang menuntut), maka tidak perlu untuk makmum melakukannya setelah imam memberi salam.

Penjelasan penuh -> https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2252-al-kafi-694-perlukah-sujud-sahwi-jika-imam-meninggalkannya?

Tertinggal rukun solat, cukup ke dengan sujud sahwi?

Sekiranya seseorang tertinggal salah satu daripada rukun solat, solat tidak boleh ditutup dengan sahwi semata-mata.

Dia hendaklah terlebih dahulu melakukan rukun yang tertinggal itu sekiranya jarak tidak jauh dan dia teringat pada waktu sebelum memberi salam.

Contohnya, jika sesorang itu terus sujud dan terlupa untuk rukuk
Maka hendaklah dia bangun semula untuk melakukan rukuk dan barulah dilakukan sujud sahwi selepas tahiyat akhir sebelum salam.

Ataupun jika dia teringat selepas salam, seumpamanya, dia terlupa membaca al-fatihah pada mana-mana rakaat, walaupun ia telah bercakap sikit, maka bolehlah ia menyambung semula solatnya dengan menambah kekurangannya tadi dan disunatkan ia sujud sahwi.

Wallahua’lam

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini