Bila Waktu Sahur dan Imsak?

Izuan
waktu sahur

Sunnah melewatkan sahur, tapi takut terlepas waktu sahur pula. Macam mana ni?

Ada orang yang bersahur terlalu awal sedang waktu subuh masih beberapa jam lagi. Ini tidak menepati amalan Nabi s.a.w. Baginda Nabi s.a.w melewatkan bersahur sehingga tinggal baki beberapa minit sebelum masuk waktu subuh. Kata Zaid bin Thabit:

“Kami bersahur bersama Rasulullah, kemudian terus pergi untuk bersolat (Subuh)”. Anas bin Malik bertanya beliau: “Berapa lama antara sahur azan dan sahur tersebut?”. Jawab Zaid: “Kadar 50 ayat (al-Quran)”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Kadang-kadang ada orang yang makan lewat malam contohnya pukul 12 atau 1 pagi dengan niat untuk bersahur kerana khuatir tidak mampu bangun esok pagi. Pemahaman ini perlu dibetulkan kerana waktu sahur itu eksklusif beberapa ketika sebelum waktu Subuh.

Perkataan sahur itu sendiri merujuk kepada akhir malam atau sepertiga akhir malam. Ini seperti firman Allah:

وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُونَ

“Pada waktu sahur mereka memohon keampunan” (Surah Ali ‘Imran: 17).

Waktu sahur pula berterusan sehingga masuk waktu Subuh. Selagi tidak masuk waktu Subuh seseorang masih boleh bersahur. Masuknya Subuh adalah waktu imsak (bermula puasa) yang sebenar, bukan beberapa minit sebelum itu. Ini dijelaskan oleh Nabi s.a.w dalam hadis baginda. Kata isteri baginda ‘Aishah r.aha:

“Sesungguh Bilal azan pada waktu malam (azan pertama Subuh, sebelum masuk waktu). Maka Rasulullah s.a.w pun bersabda: “Makan dan minumlah sehingga Ibn Ummi Maktum azan, kerana beliau tidak akan azan melainkan setelah masuk waktu fajar (subuh)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Al-Quran sendiri menjelaskan tentang hal ini dengan menyatakan:

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ

“Makan dan minumlah kamu sehingga ternyata benang putih dari benang hitam dari waktu fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sehingga waktu malam” (Surah al-Baqarah: 187)

Maka penentu bagi waktu terakhir sahur adalah masuknya waktu subuh yang sebenar, bukan beberapa minit atau belasan minit sebelum subuh. Dalam riwayat Muslim, Nabi s.a.w bersabda:

لَا يَغُرَّنَّكُمْ مِنْ سَحُورِكُمْ أَذَانُ بِلَالٍ، وَلَا بَيَاضُ الْأُفُقِ الْمُسْتَطِيلُ هَكَذَا، حَتَّى يَسْتَطِيرَ هَكَذَا

“Jangan kamu tersilap disebabkan azan Bilal, ataupun warna putih yang memanjang sehinggalah kelihatan waktu fajar (sebenar)”.

Wallahua’lam

Subscribe
Notify of
0 Comments
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini